Terkini

Menu

Penjagaan Luka Selepas Bersalin

Luka Selepas Bersalin


Episotomi dan caesarean merupakan 2 jenis luka bersalin yang biasa didengar. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang penjagaannya, Dr. Khairiah bt Seman, Pakar Perunding O&G dari Pusat Bersalin Barakah, Bandar Puteri Klang ada maklumat lanjut.
Menurut beliau, secara umumnya, episotomi adalah luka yang dikaitkan dengan bersalin secara normal. Walaupun begitu, tidak semua kelahiran normal akan dilakukan episotomi. Episotomi berbeza dengan luka biasa. Episotomi adalah luka akibat digunting oleh doktor. Manakala luka biasa adalah yang berlaku secara semula jadi semasa proses kelahiran. “Dahulu, hampir kebanyakan wanita yang bersalin anak sulung secara normal akan dilakukan episotomi. Kini tidak lagi kerana kesakitan yang dialami oleh mereka lebih daripada luka sendiri,” tegas Dr. Khairiah. Tambahnya, banyak kajian yang telah dilakukan menunjukkan bahawa episotomi menyebabkan risiko luka menjadi lebih besar. Hal ini berbeza dengan luka yang terjadi dengan sendirinya. Sakitnya hanya sedikit kerana tidak melibatkan otot yang banyak.
Luka caesarean pula adalah luka akibat pembedahan dan terdapat dua jenis iaitu  jenis menegak dan melintang. Biasanya seboleh-boleh doktor akan memilih cara melintang kerana lebih cepat sembuh dan kurang sakit.
Dr. Khairiah memberitahu bahawa biasanya luka bagi episotomi akan sembuh dalam tempoh 10 hingga 14 hari. Manakala bagi luka pembedahan, tempoh tersebut cukup untuk kulit bercantum kembali. Walau bagaimanapun, tempoh penyembuhan ini boleh diguna pakai selagi tidak ada sebarang jangkitan kuman pada bahagian pembedahan. Umumnya, semua jenis luka boleh sembuh sepenuhnya dalam masa 42 hari iaitu 6 minggu.
Bagi menjahit luka pula, ada beberapa jenis benang digunakan. Untuk episotomi benang yang digunakan adalah daripada jenis yang akan menyerap sendiri. Tidak perlu dibuka. Antara jenis benangnya yang digunakan ialah cat gut dan vicryl. Menurut beliau lagi, setiap jenis benang ada tahap kelembutan dan kekuatannya sendiri. Makin mahal benang tersebut bermakna benangnya lebih lembut dan tahan. Kesakitan pada tempat jahitan pun kurang.
“Seperti yang diketahui ramai, luka episotomi lebih cepat sembuh berbanding luka pembedahan kerana lukanya hanya sedikit. Manakala luka pembedahan melibatkan banyak lapisan. Lapisan dalam rahim itu sendiri, lapisan pada selaput kemudian baru kulit. Hal ini menyebabkan tempoh penyembuhan sepenuhnya luka tersebut adalah 6 minggu. Untuk episotomi biasanya masa 2 minggu sudah mencukupi untuk pulih seperti sedia kala,” terang Dr. Khairiah.


Luka sembuh
Tentang bagaimana untuk memastikan luka tersebut cepat sembuh pula, beliau menekan tentang pentingnya memastikan kawasan luka sentiasa kering. “Bagi luka episotomi, pastikan luka dilapkan kering-kering selepas ke tandas dan sapukan ubat luka yang diberi oleh doktor. Begitu juga dengan luka caesarean. Selepas mandi, pastikan luka tersebut dilapkan kering-kering. Kalau ingin gunakan barut, letakkan lapisan kapas atau tisu yang tidak melekat supaya boleh menyerap peluh agar kawasan luka sentiasa kering. Hal ini sangat penting kerana jika lembap, jangkitan mudah berlaku.”
Dalam pada itu, Dr. Khairiah mengakui ada sesetengah orang gemar menggunakan ubat-ubatan tradisional seperti minyak atau herba untuk menyembuhkan luka. Dari segi klinikal, hal ini tidak digalakkan kerana dikhuatiri minyak tersebut akan mengganggu percantuman semula kulit. Doktor lazimnya akan menasihatkan agar mereka tidak meletakkan sebarang ubat-ubatan tradisional dalam tempoh 10 hari pertama selepas luka dijahit. Setelah yakin luka sudah bercantum, barulah doktor memberikan kebebasan untuk membuat apa yang diingini pada luka tersebut.
Apabila bercerita tentang luka, kita tidak akan terlepas daripada bercerita tentang parut. Untuk mengurangkan parut atau juga dikenali sebagai ‘keloid’ terutama pada luka caesarean, eloklah disapu dengan vitamin E. Dr. Khairiah memberitahu bahawa ‘keloid’ wujud akibat reaksi tubuh terhadap luka. Hal ini berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain. Walau bagaimanapun, sebelum vitamin E disapu, pastikan luka tersebut sudah kering.
Ketika ditanya tentang jahitan yang terbuka, beliau mengakui kes ini adalah biasa. Jahitan terbuka disebabkan oleh beberapa perkara. Antara penyebabnya ialah benang yang digunakan kerana ada benang yang cepat menyerap iaitu sebelum kulit bercantum kembali. Selain itu, bergantung juga pada jenis tisu pada kawasan luka tersebut. Ada orang yang tisunya terlalu nipis dan mudah terkoyak. Mereka-mereka ini memang berisiko untuk luka terbuka kembali selepas dijahit. Satu lagi perkara yang turut menyebabkan jahitan terbuka ialah cara jahitan. Sekiranya jahitan terlalu ketat, masalah boleh timbul.
Sekiranya seseorang wanita itu mendapati jahitannya terbuka, beliau menasihatkannya agar bertemu doktor untuk pemeriksaan lanjut. Doktor akan memeriksa untuk memastikan adakah perlu dijahit semula ataupun tidak. Sekiranya bahagian yang terbuka tidak terlalu besar, doktor akan biarkan sembuh dengan sendiri. Akan tetapi, sekiranya yang jahitan yang terbuka itu besar, doktor akan menjahit semula. Memang kalau dibiarkan memang akan sembuh tetapi tidak cantik dan otot tidak akan bercantum balik dan tidak kuat. Akan timbul masalah lain di kemudian hari.
Mengenai wanita yang menghidap diabetes, Dr. Khairiah mengakui luka mereka mengambil masa untuk sembuh. Oleh yang demikian, mereka perlu pastikan tahap kencing manis dikawal. Kandungan gula dalam darah penting agar proses penyembuhan cepat.
“Sekiranya inginkan luka cepat sembuh, pengambilan makanan seimbang penting.   Pastikan tubuh cukup vitamin terutama vitamin C kerana dapat mempercepatkan proses penyembuhan. Selepas bersalin digalakkan mengambil multivitamin. Makan sayur dan buah-buah banyak kerana kandungan seratnya boleh mengurangkan sembelit. Akan tetapi sekiranya sudah lebih 14 hari namun luka masih tidak sembuh, jumpalah doktor segera kerana takut ada jangkitan,”tambah beliau.
Turut ditekankan di sini ialah tentang pengambilan ubat-ubatan tradisional yang dimakan. Wanita selepas bersalin perlu berhati-hati terutamanya dari segi kebersihan ubatan yang diambil itu. Dikhuatiri kandungannya akan membahayakan kesihatan. Sebelum mengakhiri pertemuan kami, Dr. Khairiah menasihatkan agar ibu-ibu hamil mengambil makanan yang berzat dan pastikan kandungan hemoglobin mencukupi agar dapat mempercepatkan proses penyembuhan luka selepas bersalin kelak. Menurut beliau, dari segi perubatan, tidak ada pantang larang terhadap pengambilan makanan-makanan tertentu kerana semua makanan kaya dengan zat yang diperlukan tubuh. Cuma sekiranya anda alah kepada sesetengah jenis makanan, eloklah dielakkan.


Tahukah anda:
Biasa rasa sakit akibat episotomi hanyalah selama 2 hari. Tetapi sekiranya kesakitan itu berterusan, mungkin ada jangkitan.


Luka Selepas Bersalin

Share This:

PENAFIAN

Segala penulisan dan testimoni berkenaan produk yang dikongsi di laman ini bukan bertujuan untuk mendiagnosis, merawat atau menyembuhkan apa jenis penyakit dan masalah kesihatan. Pembaca yang mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan terlebih dahulu


Sebahagian artikel adalah dari sumber luar yang dinyatakan punca sumbernya.

No Comment to " Penjagaan Luka Selepas Bersalin "

  • To add an Emoticons Show Icons
  • To add code Use [pre]code here[/pre]
  • To add an Image Use [img]IMAGE-URL-HERE[/img]
  • To add Youtube video just paste a video link like http://www.youtube.com/watch?v=0x_gnfpL3RM