Terkini

Menu

Kesan Buruk Jika Terlupa Mengeluarkan Tampon



Ada beberapa soalan yang hendak saya kemukakan kepada doktor. 
  • Apakah yang menyebabkan haid tidak tetap. 
  • Apakah penggunaan tampon akan memberi kesan sampingan terhadap faraj? 
  • Faraj saya selalu gatal, apakah ubat yang sesuai saya beli? 
  • Faraj saya selalu keluar cairan putih dan ini menyebabkan saya terpaksa memakai tuala wanita. Apakah jenis cairan ini? 
  • Saya ingin tahu apakah pelapik seluar dalam yang dijual di kedai. Saya ingin tahu kegunaannya. 
Wati.
Kuantan.


JAWAPAN:

Pendarahan haid lazimnya berlaku selama lima hingga tujuh hari setiap bulan bagi wanita yang mempunyai kitaran haid yang normal. Pendarahan haid ini biasanya tidak melebihi 80 ml dan puratanya ialah sebanyak 40 ml untuk tempoh lima dan tujuh hari.

Untuk memastikan pendarahan ini tidak mengotori pakaian luaran, wanita menggunakan tuala wanita. Penggunaan tuala wanita amat popular di kalangan wanita dan pelbagai jenis jenama ada di pasaran.

Kebanyakan tuala ini diubahsuai untuk pelbagai keadaan seperti pendarahan yang banyak atau mempunyai lipatan untuk mengurangkan kebocoran.

Tampon adalah satu lagi cara untuk menahan darah haid daripada meleleh keluar dan membasahi pakaian luaran.

Tampon adalah sebatang kapas kecil yang dimasukkan ke dalam faraj ketika pendarahan haid. Penggunaan tampon tidak sesuai jika pendarahan haid terlalu banyak iaitu pendarahan yang melebihi 80 ml setiap bulan.

Tampon juga perlu ditukarkan secara berkala lebih kerap jika pendarahan agak banyak seperti pada hari pertama atau kedua.

Permasalahan dengan penggunaan tampon boleh berlaku jika ia lupa dikeluarkan. Tampon yang lupa dikeluarkan oleh seseorang wanita boleh menyebabkan jangkitan kuman pada faraj dan kemungkinan jangkitan merebak ke atas menjangkiti rahim, tiub fallopia dan seterusnya ke dalam ruang abdomen.

Keadaan ini boleh menyebabkan cairan berbau keluar daripada faraj.

Tahap jangkitan yang paling serius adalah dipanggil toxic shock syndrome. Pesakit akan demam panas, menggigil, kesakitan perut yang teruk, nadi yang laju, pengeluaran cairan daripada faraj yang berbau busuk dan kadangkala muntah-muntah.

Keadaan ini boleh berlaku kerana tampon adalah barang asing yang berada di dalam faraj untuk masa yang lama dan kapas yang mengandungi darah adalah medium yang paling baik untuk pembiakan kuman.

Jangkitan kuman yang merebak ke tiub fallopia boleh menyebabkannya tersumbat atau menjadi rosak.

Kerosakan tiub pula boleh menjejaskan keupayaan untuk hamil. Kerosakan tiub juga boleh meninggikan risiko seseorang wanita untuk hamil di luar rahim.

Oleh itu, amatlah penting bagi seseorang wanita yang menggunakan tampon sewaktu pendarahan haid untuk mengeluarkannya secara berkala untuk memastikan tiada tampon tertinggal di dalam faraj bagi mengelakkan komplikasi seperti di atas.

Lazimnya, faraj dan serviks mengeluarkan cairan disebabkan oleh rangsangan hormon estrogen.

Kadar hormon ini tertinggi ketika subur (pengovulan) dan menyebabkan cairan keluar dengan banyaknya. Selepas pengovulan berlaku hormon progesterone pula dirembes dan fungsinya adalah untuk memekatkan cairan yang keluar.

Sesetengah wanita mempunyai cairan yang berlebihan daripada yang normal. Keadaan ini berkemungkinan disebabkan oleh jangkitan kuman, virus dan lain-lain.

Anda dinasihatkan berjumpa doktor untuk pemeriksaan supaya dapat dikenal pasti punca cairan dialami. Anda juga boleh menggunakan pelapik seluar dalam untuk melindungi seluar dalam daripada dicemari oleh cairan yang dikeluarkan oleh faraj.

Pelapik itu digunakan oleh wanita yang mempunyai masalah pengeluaran cairan faraj secara berlebihan. Ia juga digunakan pada masa akhir haid apabila pendarahan tidak banyak dan hanya ada tompok darah ataupun digunakan oleh wanita yang tidak inginkan seluar dalamnya bertompok kekuningan.

Share This:

Post Tags:

PENAFIAN

Segala penulisan dan testimoni berkenaan produk yang dikongsi di laman ini bukan bertujuan untuk mendiagnosis, merawat atau menyembuhkan apa jenis penyakit dan masalah kesihatan. Pembaca yang mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan terlebih dahulu


Sebahagian artikel adalah dari sumber luar yang dinyatakan punca sumbernya.

No Comment to " Kesan Buruk Jika Terlupa Mengeluarkan Tampon "

  • To add an Emoticons Show Icons
  • To add code Use [pre]code here[/pre]
  • To add an Image Use [img]IMAGE-URL-HERE[/img]
  • To add Youtube video just paste a video link like http://www.youtube.com/watch?v=0x_gnfpL3RM