Ketahui Cara Penjagaan Bayi Baru Lahir
Keadaan Bayi Baru Lahir
- Ketika baru dilahirkan, sistem tubuh bayi anda masih belum berfungsi dengan sempurna. Dia memerlukan tempoh beberapa minggu untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru setelah kira-kira 40 minggu berada di dalam kandungan.
- Kulit mungkin sedikit kering dan mengelupas. Keadaan ini disebabkan penghasilan minyak oleh kulit bayi yang baru lahir masih belum stabil.
- Terdapat bulu halus terutama di bahagian telinga dan belakang bayi (kadangkala agak lebat). Namun jangan risau, bulu halus ini akan gugur dari semasa ke semasa.
- Anda juga akan melihat tompok-tompok merah seperti ruam di hidung dan beberapa bahagian badan yang lain. Perkara-perkara ini akan hilang apabila bayi anda semakin membesar.
- Lazimnya, bayi baru lahir akan turun berat badannya selepas tiga atau empat hari dilahirkan. Walau bagaimanapun, bayi anda akan mendapat kembali berat badan asalnya selepas dua minggu dilahirkan.
- Jangan terkejut jika kaki dan tangan bayi anda berasa sejuk semasa anda memegangnya. Hal ini berlaku kerana sistem peredaran darahnya belum sempurna.
- Warna kulit bayi anda juga akan berubah dari masa ke semasa.
- Bayi anda yang baru lahir mungkin kelihatan "mengerekot" dengan tangan dan kakinya belum betul-betul lurus. Ini adalah disebabkan kedudukannya dalam rahim ibu. Jangan risau, dengan sedikit urutan dari semasa ke semasa, ia akan lurus seperti biasa.
- Muka dan bahagian lain bayi mungkin kelihatan sedikit sembab di awal kelahiran.
- Adalah normal bagi bayi baru lahir mengalami demam kuning atau jaundis pada hari kedua hingga ketiga kelahirannya. Namun jika tidak dipantau, ia boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius.
- Kebanyakan bayi baru lahir lebih gemar untuk tidur daripada berjaga, terutama dalam minggu pertama kelahiran. Kejutkan bayi setiap 2 jam untuk disusukan untuk elakkan jaundis.
- Bayi baru lahir suka dibedung kerana berasa lebih selamat, seolah-olah berada dalam rahim ibunya.
- Kelenjar susu bayi baru lahir boleh menghasilkan susu. Ini adalah berpunca daripada hormon si ibu yang terdapat di dalam susu ibu yang diberikan kepada bayi.
Tips Penjagaan Bayi Baru Lahir
- Mandikan bayi anda dengan air suam untuk elakkan bayi sejuk.
- Sediakan segala kelengkapan lebih awal seperti pakaian, sarung tangan dan kaki, barut, minyak dsb sebelum memandikan si kecil supaya proses tersebut berjalan dgn baik dan lancar, dan anda turut berasa lebih tenang.
- Selepas mandi, lapkan tubuh bayi termasuk tali pusatnya hingga kering. Sapukan tali pusat bayi anda dengan 'alcohol swab' yang diberikan doktor. Tak perlu sapukan dengan sebarang ubat lain. Jika pangkal tali pusat itu merah dan membengkak, mintalah nasihat daripada doktor. Adalah perkara biasa jika terdapat sedikit pendarahan atau cecair keluar, tetapi ia sepatutnya hanya untuk beberapa hari sahaja.
- Tuam perut dan ari-arinya dengan kain atau daun sirih yang dipanaskan dengan seterika untuk elakkan kembung perut dan angin pasang.
- Sapukan juga perut, belakang badan, belakang betis dan tapak kaki bayi anda dengan minyak bayi untuk beri keselesaan kepadanya.
- Pakaikan barut dengan kemas, namun tidak terlalu ketat.
- Selepas itu, pakaikan bayi anda pakaian yang sesuai dan selesa.
- Jika anda memakaikan bayi anda dengan lampin pakai buang, hendaklahsentiasa peka dan menukar lampin pakai buang bayi tersebut. Jangan biarkan bayi anda memakai lampin yang basah terlalu lama bagi mengelakkan bayi mengalami kerengsaan dan ruam lampin.
- Sehinggalah dia berusia lebih kurang 4 minggu, bayi tidak berupaya mengawal pergerakan kepalanya. Jadi, pastikan anda sentiasa menyokong kepala dan lehernya. Apabila anda hendak meletakkannya pula, pastikan keseluruhan lengan anda menyokong tulang belakang, tengkuk dan kepalanya sehingga dia telah diletakkan dalam keadaan selamat di atas katilnya.
- Bedunglah si kecil untuk membantunya tidur dengan lebih selesa dan lama. Keadaan berbedung memberi rasa selesa kepadanya, seolah-oleh berada dalam perut ibunya.
- Setiap kali selepas menyusukan bayi anda, sendawakannya bagi mengelakkannya kembung atau muntah.
- Susukan bayi anda sekerap yang mungkin (setiap 2 jam) walaupun dia hanya ingin melelapkan mata. Kuis atau geletek tapak kakinya untuk kejutkan dari lena.
- Berikanlah susu ibu secara eksklusif kepada bayi anda selama 6 bulan pertama untuk pastikan dia mendapat khasiat susu ibu dengan sepenuhnya. Jangan berikan si kecil anda selain susu ibu, hatta air masak sekalipun sepanjang 6 bulan tersebut.
Share This:
PENAFIAN
Segala penulisan dan testimoni berkenaan produk yang dikongsi di laman ini bukan bertujuan untuk mendiagnosis, merawat atau menyembuhkan apa jenis penyakit dan masalah kesihatan. Pembaca yang mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan terlebih dahulu
Sebahagian artikel adalah dari sumber luar yang dinyatakan punca sumbernya.
No Comment to " Ketahui Cara Penjagaan Bayi Baru Lahir "