Terkini

Menu

Kehamilan Luar Rahim

Kehamilan Di Luar Rahim (Ektopik)

Kehamilan Di Luar Rahim


Apakah kehamilan ektopik?
Kehamilan ektopik berasal dari perkataan Greek (ektopas) yang bermaksud 'di luar tempat’ atau kehamilan di luar rahim. 1 hingga 2 peratus kehamilan adalah kehamilan ektopik. Daripada jumlah ini, 98 peratus merupakan kehamilan ektopik dalam tiub fallopian (rajah 1). Kehamilan ektopik lain termasuklah rongga abdomen, ovari, cornu rahim dan serviks.

Kehamilan ektopik boleh mengancam nyawa. Kehamilan ektopik adalah punca nombor satu kematian dalam kalangan wanita yang hamil (bagi 3 bulan yang pertama). Bilangan kehamilan ektopik semakin meningkat. Oleh itu, perkara ini perlu difahami dengan lebih lanjut.

Siapakah yang berisiko?
Punca kehamilan ektopik tidak diketahui, namun terdapat faktor risiko yang telah dikenalpasti seperti berikut:
  • Pernah mengalami kehamilan ektopik
  • Penyakit Radang Pelvis (PID) atau Salpingitis (jangkitan pelvis)
  • Subfertility (kesukaran mengandung)
  • Pernah menjalani pembedahan abdomen atau pelvis
  • Pernah menjalani pensterilan tiub atau ligation
  • Endometriosis Pelvik
  • Menggunakan Peranti Kontraseptif Intrauterine (IUCD)
  • Menjalani rawatan kesuburan

Mengapa kehamilan ektopik berbahaya?
Embrio kehamilan ektopik kebanyakannya tidak sampai ke rahim. Sebaliknya ia tertanam dalam lapisan tiub fallopian dan menyebabkan pendarahan. Saiz embrio yang semakin membesar menyebabkan tiub fallopian meregang dan lalu pecah. Ini boleh menyebabkan pendarahan yang teruk dalam abdomen dan mengancam nyawa. Diagnosis awal dan rawatan amat diperlukan.

Tanda dan gejala
Kebanyakan kehamilan ektopik menunjukkan tanda dan gejala pada minggu kelima hingga kelapan kehamilan. Jika anda hamil dan mempunyai tanda dan gejala berikut, segera berjumpa doktor:
  • Sakit bahagian bawah perut, pada salah satu bahagian (sama ada kiri atau kanan)
  • Pendarahan faraj yang tidak normal dan darah berwarna lebih gelap
  • Sakit hujung bahu yang menunjukkan terdapat pendarahan intra-abdomen
  • Kadang-kala cirit-birit atau sakit ketika membuang air besar
Jika gagal dikesan pada peringkat awal kehamilan; tiub fallopian boleh pecah, menyebabkan pendarahan berlebihan. Pada peringkat ini, anda mungkin mempunyai gejala berikut:
  • Sakit perut yang teruk secara tiba-tiba
  • Pening, pengsan, berpeluh dan letih-lesu
  • Pengsan akibat pendarahan yang berlebihan
  • Perut membengkak
  • Pucat
Jika anda mengalami tanda dan gejala di atas segera ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Dapatkan bantuan ambulan atau seseorang untuk menghantar anda ke hospital.

Diagnosa
Kehamilan ektopik sukar untuk didiagnosa. Ia mengambil masa beberapa hari terutamanya jika hanya terdapat sedikit tanda. Doktor akan membuat pengesahan kehamilan dengan melakukan ujian air kencing (UPT). Kemudian pemeriksaan abdomen dan faraj akan dijalankan.
Selepas itu, imbasan ultrabunyi pelvis akan dilakukan, imbasan ultrabunyi yang disarankan adalah imbasan trans-faraj (TVS) kerana membolehkan doktor melihat organ pelvis dengan lebih jelas (Rajah 2). Doktor akan memeriksa samada kehamilan adalah di dalam atau di luar rahim.
Kehamilan ektopik jarang berlaku jika kehamilan rahim telah disahkan. Walau bagaimanapun kehamilan ‘heterotopic’ boleh berlaku, iaitu kehamilan kontrasepsi beserta kehamilan ektopik.
Doktor akan turut memeriksa kantung kehamilan luar rahim. Ia sukar untuk dikesan. Kehadiran cecair (darah) dalam pelvis juga menandakan kehamilan ektopik. Pada peringkat awal kehamilan, kehamilan kontrasepsi tidak kelihatan pada imbasan ultrabunyi dan doktor mungkin mahu mengulangi pemeriksaan dalam satu atau dua minggu lagi.
Dalam keadaan tertentu, ujian darah diperlukan untuk memeriksa tahap serum beta-hCG dan ujian ini biasanya perlu diulangi 2 hari kemudian. Ini membantu doktor menilai kehamilan dan menentukan samada ianya adalah kehamilan ektopik atau tidak.
Ujian darah ini mungkin tidak dapat mengesahkan kehamilan ektopik dan laparoskopi (pembedahan terbuka) perlu dilakukan untuk pengesahan secara visual. Kadang-kala apabila pengguguran tiub berlaku (apabila kantung kehamilan gugurdari tiub fallopian ke dalam abdomen), tisu kehamilan sukar dicari. Laparoskopi yang dilakukan di peringkat kehamilan ektopik yang sangat awal kadang-kala boleh menunjukkan tiub fallopian kelihatan normal.

Rawatan
Rawatan untuk kehamilan ektopik bergantung kepada penemuan klinikal. Ini mungkin termasuk: jika ektopik telah pecah atau tidak, sama ada anda klinikal stabil (tekanan darah yang normal dan kadar nadi), saiz kantung kehamilan ektopik, dan kehadiran darah di dalam pelvis dan tahap serum beta-hCG. Jarak anda tinggal dari hospital yang berdekatan, mungkin juga menjadi salah satu faktor yang dipertimbangkan oleh doktor bagi menentukan rawatan yang sesuai untuk anda.
Terdapat beberapa cara untuk merawat kehamilan ektopik:
  • Rawatan konservatif

    Sesetengah wanita dengan kehamilan ektopik boleh menjalani rawatan konservatif. Ini termasuklah wanita dengan kehamilan tiub yang asimptomatik dan tidak pecah serta tiada pendarahan pelvis. Wanita ini perlu diberi kaunseling sewajarnya. Selain itu wanita dengan tahap serum beta-hCG yang semakin berkurangan juga sesuai menajalani rawatan secara konservatif.
     
  • Rawatan perubatan

    Rawatan perubatan dengan suntikan intramuskular methotrexate, boleh dipertimbangkan untuk kumpulan terpilih dari wanita yang memenuhi kriteria tertentu. Ini termasuk kehamilan ektopik yang tidak pecah, diameter kantung kehamilan kurang dari 3cm, tahap serum beta-hCG kurang dari 3000 IU dan imbasan ultrabunyi tidak menunjukkan pendarahan dalam pelvis. Anggaran tahap serum beta-hCG yang berterusan diperlukan untuk menilai keberkesanan rawatan.
     
  • Pembedahan

    Rawatan secara pembedahan laparoskopi (pembedahan lubang kunci) disarankan bagi kebanyakan kehamilan ektopik. Namun, ia bergantung pada ketersediaan peralatan pembedahan dan kepakaran. Jika kehamilan tiub, doktor memutuskan samada menggugurkan kandungan dan membiarkan tiub fallopian atau membuang keseluruhan tiub. Keputusan ini adalah berdasarkan pemerhatian ke atas tahap kesihatan tiub lain.

    Bagi kes kehamilan tiub yang telah pecah dan keadaan wanita tidak stabil, pembedahan terbuka akan lebih dilakukan berbanding pembedahan laparoskopi kerana proses pembedahan dapat dilakukan dengan lebih cepat. Jika berlaku kes kehilangan darah yang banyak, pemindahan darah diperlukan.

Bolehkah saya hamil semula?
Peluang untuk hamil pada masa depan masih ada tetapi bergantung kepada berapa sihat tiub lain dan faktor lain seperti: umur anda, dan/atau jika anda sukar hamil sebelum ini. Jika tiub bersebelahan tidak tersekat atau rosak, peluang untuk hamil adalah masih ada tidak kira samada tiub yang terjejas oleh ektopik dikekalkan atau dibuang sepenuhnya.
Secara umum, 65 hingga 70 peratus wanita dengan sejarah kehamilan ektopik akan hamil lagi dalam tempoh 18 bulan. Walau bagaimanapun, jika kedua-dua tiub fallopian rosak atau pecah, anda perlu menjalani rawatan kemandulan (IVF) untuk hamil pada masa depan.

Adakah kehamilan ektopik yang lain boleh berlaku?
Peluang mendapat kehamilan ektopik yang lain adalah antara 12 hingga 20 peratus bergantung kepada beberapa faktor. Doktor akan mengenalpasti risiko tersebut dan memaklumkan anda.

Apa yang perlu saya lakukan apabila saya hamil sekali lagi?
Jika anda mengesyaki diri anda hamil, sahkan kehamilan melalui ujian air kencing atau rujuk dengan doktor. Penilaian awal ultrasound dapat mengesahkan jika ia adalah kehamilan biasa atau kehamilan ektopik lain.

Berapa lama saya perlu tunggu sebelum mencuba untuk hamil lagi?
Ini bergantung kepada persediaan diri anda dari aspek fizikal dan emosi. Namun, sebaik-baiknya adalah selepas 3 hingga 6 bulan selepas pembedahan (3 bulan bagi pembedahan laparoskop dan 6 bulan bagi pembedahan terbuka).

Share This:

PENAFIAN

Segala penulisan dan testimoni berkenaan produk yang dikongsi di laman ini bukan bertujuan untuk mendiagnosis, merawat atau menyembuhkan apa jenis penyakit dan masalah kesihatan. Pembaca yang mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan terlebih dahulu


Sebahagian artikel adalah dari sumber luar yang dinyatakan punca sumbernya.

No Comment to " Kehamilan Luar Rahim "

  • To add an Emoticons Show Icons
  • To add code Use [pre]code here[/pre]
  • To add an Image Use [img]IMAGE-URL-HERE[/img]
  • To add Youtube video just paste a video link like http://www.youtube.com/watch?v=0x_gnfpL3RM