Anak Asyik Bermain
Bermain sememangnya memberi kesan positif kepada perkembangan anak tetapi kalau terlebih bermain boleh juga memudaratkan. Kadang kala keasyikan mereka bermain membuatkan mama hampir naik angin.
Bagaimana cara terbaik hendak menyedarkan si kecil bahawa masa itu berlalu pantas dan dia juga perlu melakukan urusan lain selain daripada bermain.
Dalam menyelesaikan masalah ini, satu jadual untuk si anak perlu disediakan. Mendisiplinkan anak menerusi jadual juga salah satu usaha mampu membuatkan mereka tidak leka bermain.
Maksudnya di sini, anda perlu menetapkan masa mandinya dan apa jua yang dilakukan. Sekiranya anak mandi, sebelum masuk ke bilik air tunjukkan jarum jam, beritahunya apabila jarum jam bergerak ke nombor tertentu, itu tandanya dia perlu berhenti mandi.
Jika hanya menyatakan “mandi 5 minit aje tau...” ada sebilangan kanak-kanak yang masih belum betul-betul faham. Kalau anak sudah faham itu adalah lebih baik.
Kanak-kanak sebenarnya masih tidak nampak kepentingan menghargai masa itu. Jadi, sebagai ibu bapa, kita perlu mendisiplinkan anak-anak secara konsisten. Sekiranya telah diberitahu sudah cukup masa dan masih leka bermain, jangan hanya melaungkan dari dapur atau sambil menonton televisyen.
Anda perlu menjadi sebahagian daripadanya, segeralah masuk ke bilik air dan memandikannya (menyudahkan mandiannya). Tentunya anak meraung tidak mahu diperlakukan begitu.
Sekiranya ia dilakukan setiap kali anak berperangai sedemikian, tentunya anda akan berkata “haa..nanti mama datang jirus kepala..” anak akan menyegerakan mandiannya.
Jika tidak berhasil untuk anak anda, mungkin boleh gunakan ‘star chart’ yang biasanya dilakukan untuk mendisiplinkan anak untuk tidak kencing malam atau untuk tidak memakai lampin lagi.
Setiap kali anak berjaya menepati masa yang dikehendaki, maka tampallah ‘star’ itu di jadual yang disediakan sebagai tanda penghargaan. Sekiranya banyak tanda bintang, maka hargailah dengan ciuman, pujian, atau berikan/belikan sesuatu kepadanya. Ia adalah satu cara untuk mendisiplinkan dirinya.
Sumber: pama.karangkraf.com
Sumber: pama.karangkraf.com
No Comment to " Anak Asyik Bermain "