Biarkan Si Manja Menangis
“Kenapa Haikal ni suka menangis? Pening kepala mama tau”, rungut Shiela. “Alah, biarlah dia menangis. Baru otak dia ‘bergegar’ sikit. Itu bijak namanya”, balas Azril, suami Shiela.
Situasi ini normal berlaku di kalangan kanak-kanak. Namun jika keterlaluan, ia boleh menimbulkan tekanan kepada ibu bapa. Ada cara yang lebih bijak dan efektif untuk menangani si manja yang sedang menangis. Ingin tahu bagaimana caranya?
Pasti anda rimas dan bengang bila melihat si kecil menangis terjerit-jerit kerana inginkan sesuatu sewaktu berkunjung ke pusat membeli-belah. Bagi Si kecil, tangisannya itu adalah salah satu ‘senjata’ untuk mendapatkan sesuatu yang diingininya. Ada ibu bapa yang sudah hilang idea untuk menangani situasi ini lalu membiarkan anaknya menangis. Tidak kurang juga, ada yang mengambil jalan mudah dengan memukul atau mencubitnya sambil memberikan amaran dengan nada suara yang keras. Tapi malangnya tindakan sedemikian langsung tidak membantu. Sebaliknya, tangisan si kecil itu mungkin menjadi bertambah kuat! Orang sekeliling pula mula memerhati.
Sikap memukul atau mencubit bukanlah satu tindakan yang bijak. Sebagai individu dewasa, si ayah atau si ibu perlu menanganinya dengan tindakan yang lebih bijak. Apakah yang dimaksudkan dengan tindakan bijak itu? Faktor utama yang harus diberi perhatian ialah emosi anda!
Ibu bapa perlu bersikap lebih tenang dan tidak mudah gelisah apabila berhadapan dengan tangisan si anak. Jangan biarkan emosi ‘tertekan’ atau stres menguasai diri anda. Keadaan akan menjadi bertambah buruk apabila anda tidak mampu mengawal emosi sendiri.
Contohnya, jika si anak menangis sambil melempar botol minumannya, ibu bapa boleh berkata kepada si anak; “Adik boleh menangis. Mama tahu adik sedih sebab mama tidak membelikan mainan itu untuk adik, tapi jangan sampai membaling barang. Kalau botol itu terkena pada orang lain macam mana?”
Cari Punca
Bagi memastikan anda membuat tindakan yang tepat sewaktu menangani si anak yang sedang ‘mengamuk,’ kenal pasti situasi sebenarnya terlebih dahulu.
Contohnya; si anak sedih kerana tidak dibelikan mainan, si anak marah kerana tidak diberi kebenaran untuk bermain dengan rakan-rakannya, atau pelbagai sebab yang lain lagi. Sebagai ibu bapa yang baik, anda perlu jelaskan kepada anak anda mengapa permintaannya itu tidak dapat dipenuhi. Misalnya, si anak merengek meminta dibelikan mainan baharu dan anda tidak mahu membelikannya. Jelaskan kepada si anak bahawa permainan yang diingininya itu sudah ada di rumah atau hari tersebut bukan masa yang sesuai untuk membeli mainan baharu. Jika situasi sebegini berlaku di rumah, pimpin tangan si anak menuju ke biliknya. Katakan padanya; “Adik perlu duduk di dalam bilik ini sehingga hati adik betul-betul tenang dan tidak marah pada mama lagi.” Inilah cara terbaik untuk menunjukkan kepada si anak bahawa anda adalah pemimpinnya.
Ekspresi Diri
Biarkan si anak untuk mengekspresikan dirinya. Izinkan dia meluahkan apa yang dia sedang rasakan. Lazimnya, apabila si anak tidak berhenti menangis si ibu atau ayah akan marah kepada si anak untuk menyuruhnya diam. Ketika anda memarahinya, perasaan si anak akan jadi bertambah sakit. Si anak mula terfikir bahawa ibu atau ayahnya itu tidak memahami perasaannya. Malah, ketika si anak menangis ibu atau ayah tidak boleh mentertawakannya. Apa yang boleh anda lakukan ialah, tunjukkan ekspresi muka bahawa anda sangat tidak suka dengan perbuatannya itu.
Jangan Memukul
Berpeganglah dengan prinsip, “boleh marah, asalkan jangan merugikan orang lain!” Sewaktu si anak meraung-raung sambil melempar atau merosakkan barangnya, katakan kepadanya bahawa tindakannya itu sangat merugikan dirinya atau orang lain. Contohnya; si anak membaling buku miliknya. Mungkin balingan tersebut boleh terkena kepada orang yang ada di sekelilingnya.
Katakan kepada si anak, “kalau buku itu rosak mama perlu menggantikan dengan buku yang baru pula nanti. Bukankah ia satu pembaziran?” Beritahu juga kepada si anak bahawa tindakannya itu boleh menarik perhatian orang lain sekali gus akan memalukan dirinya.
“Adik... semua orang memerhatikan tindakan adik ini. Adik tak malu ke?” Biasanya dengan cara ini si anak boleh merendahkan sedikit suara tangisannya itu.
Buat Perjanjian
Sebelum keluar ke mana-mana, apa kata anda buat perjanjian dengan si anak terlebih dahulu. Jelaskan kepadanya apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukannya di destinasi yang bakal ditujunya itu.
Contohnya, anda mengajak si anak menemani anda ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan rumah. Tanyakan kepada si anak, apakah yang ingin dibelinya nanti bila sampai di sana. Peruntukan satu tempoh masa tertentu di pasar raya tersebut agar si anak tidak bermain terlalu lama di sana.
Setelah membuat perjanjian, anda juga perlu membuat hukuman seandainya perjanjian tersebut diingkari soleh si anak. Tindakan ini boleh mengelak sekali gus menutup peluang si anak untuk meminta hal yang lain kepada anda. Jika sejak dari awal si ibu atau si ayah sudah mengatakan ‘TIDAK,’ seharusnya sikap sedemikian haruslah konsisten. Jangan sekali-kali mengikut kehendak si anak kerana anda tidak tahan melihat dia menangis. Jika anda melakukan perkara ini, anda akan ‘KALAH’ buat selama-lamanya dengan si anak.
Selesaikan Secara Damai
Apabila si kecil berhenti menangis, dekatinya dan duduklah di sisinya. Kalau boleh, panggil si anak untuk duduk hampir dengan anda. Dengan tenang, berbincanglah dengannya tentang situasi yang telah berlaku itu. Ketahui apa alasan si anak menangis, mengapa ibu atau ayah tidak menuruti kemahuan si anak, mengapa anak tidak mahu memahami, jelaskan kepadanya bahawa dia tidak boleh bersikap memaksa dan mungkin anda boleh membuat perjanjian dengannya bahawa suatu hari nanti permintaannya itu boleh dipenuhi.
Jelaskan juga kepada si anak bahawa tindakannya itu boleh meninggalkan kesan negatif buat dirinya. Contohnya, tubuhnya menjadi letih kerana menangis dan menjerit atau anda dan dia menjadi malu apabila diperhatikan oleh orang sekeliling. Bahkan, anda juga boleh menyelitkan pesanan bermoral kepada si anak dengan mengatakan, “cuba adik ingat semula, sewaktu adik menangis dan marah tadi pasti adik terfikir tentang perkara-perkara yang tidak baik? Bukankah ALLAH SWT tidak suka dengan fikiran yang buruk seperti itu.”
Apabila si anak mampu mengawal emosinya dan jujur dengan apa yang dirasainya, pujilah dia. Katakan kepadanya, bahawa tindakannya itu adalah betul. “Ibu gembira bila adik tidak menangis dan marah-marah lagi. Itu tandanya adik sudah semakin besar.” Kemudian jangan ragu-ragu untuk meminta maaf dengannya dengan mengatakan, “ibu juga minta maaf ya, sebab tidak boleh membelikan adik mainan itu buat masa sekarang. Adik faham kan?”
Sumber: pama.karangkraf.com
No Comment to " Biarkan Si Manja Menangis "