Keguguran Boleh Berlaku Jika Ada Fibroid
Keguguran Boleh Berlaku Jika Ada Fibroid
SOALAN: Saya berusia 41 tahun dan disahkan mengandung. Pada masa yang sama, doktor mendapati ada dua fibroid di dalam perut saya. Apakah yang saya boleh lakukan untuk mengelakkan fibroid daripada mengganggu kandungan saya dan kandungan saya dapat membesar dengan selamat. Adakah fibroid ini boleh dikeluarkan jika kandungan saya dilahirkan? Adakah makanan tambahan seperti spirulina dapat membantu? Terima kasih.
Ibu Risau
Pahang
JAWAPAN:
Fibroid adalah ketumbuhan (bukan barah) yang agak lazim berlaku kepada wanita berumur 40 tahun ke atas. Kira-kira 20 peratus wanita yang berada pada akhir alam reproduktif mempunyai fibroid.
Masalah fibroid lebih kerap (sembilan kali ganda) dihadapi oleh wanita berkulit hitam (blacks) malah mereka mendapat fibroid pada umur yang lebih muda. Fibroid adalah ketumbuhan daripada otot rahim dan kadang kala daripada serviks.
Kebanyakan fibroid (melebihi 50 peratus) tidak memberi sebarang masalah kepada wanita dan hanya diketahui jika pemeriksaan pelvis atau bunyi ultra dilakukan secara rutin seperti dalam kes puan.
Pemeriksaan bunyi ultra dilakukan untuk mengesan kandungan dan pada masa sama dapat mengesan kehadiran fibroid.
Antara masalah yang boleh timbul bagi seseorang wanita yang mempunyai fibroid adalah seperti berikut:
- Pendarahan haid yang banyak terutamanya apabila ada ketulan pada darah haid. Darah haid yang berketul ketul menunjukkan pendarahan yang banyak melebihi kelazimannya.
- Kesakitan pada pelvis dan kesan tekanan fibroid yang besar terhadap organ seperti pundi kencing akan menyebabkan wanita itu selalu membuang air kecil.
- Ada ketulan di perut ataupun perut semakin buncit tanpa penambahan berat badan.
- Kesukaran untuk hamil.
Pembesaran fibroid ini amat bergantung kepada kadar estrogen dalam badan wanita. Oleh sebab itu lazimnya, fibroid berlaku kepada wanita pada era reproduktif dan pembesarannya boleh berlaku selagi wanita itu tidak menopaus.
Ketika hamil, pembesaran fibroid lazimnya akan berlaku kerana ada kadar hormon yang tinggi. Pengecutan pula boleh berlaku apabila kadar hormon estrogen menurun ke tahap biasa seperti selepas melahirkan anak dan apabila seseorang wanita menopaus iaitu apabila hormon estrogen tidak lagi dikeluarkan oleh kilang ovari.
Pengecutan fibroid bergantung kepada saiznya. Jika ia terlalu besar, pengecutan tidak berlaku secara sempurna. Lazimnya, fibroid akan dibuang secara pembedahan jika ia menyebabkan permasalahan seperti yang disenaraikan tadi.
Pembedahan juga akan dilakukan jika pembesaran saiz fibroid berlaku dengan cepat ataupun jika adanya kesangsian mengenai jenis ketumbuhan.
Risiko bagi pertukaran fibroid ini menjadi barah adalah kecil iaitu 0.1 peratus saja.
Permasalahan yang mungkin berlaku ketika hamil jika ada fibroid adalah:
- Berisiko untuk mengalami keguguran.
- Bertambah risiko untuk kelahiran pramatang.
- Pembesaran fibroid. Kesakitan mungkin berlaku kerana sebahagian daripada fibroid tidak mendapat bekalan darah disebabkan pembesaran terlalu cepat. Pertukaran ini dikenali sebagai ‘red degeneration’.
- Sekatan terhadap saluran kelahiran secara normal jika ada fibroid pada bahagian bawah rahim. Bentuk ruang rahim juga berkemungkinan berubah disebabkan kewujudan fibroid.
Keadaan ini mungkin boleh menyebabkan kedudukan janin tidak normal seperti melintang, songsang atau senget.
Kandungan puan memerlukan pengawasan berkala untuk memastikan pembesaran janin berlaku dengan baik dan membuat pilihan yang terbaik di segi kaedah kelahiran bayi.
Jika kelahiran perlu dilakukan melalui pembedahan caesarian, amatlah penting supaya TIDAK melakukan pembedahan membuang fibroid (myomectomy) pada masa yang sama.
Pembedahan "myomectomy" ini tidak dilakukan pada masa yang sama dengan pembedahan caesarian kerana besar kemungkinannya pendarahan yang banyak akan berlaku ketika pembedahan myomectomy itu.
Pendarahan yang banyak ini mungkin agak sukar untuk dikawal. Keadaan ini berlaku kerana ada saluran darah yang agak banyak dan besar ketika hamil berbanding sewaktu tidak hamil.
Oleh itu, lazimnya saiz fibroid akan diawasi lagi selepas tempoh pantang apabila kadar hormon kembali normal.
Pembedahan hanya akan dilakukan jika ada permasalahan seperti dinyatakan tadi.
Lazimnya tiada ubat-ubatan yang akan diberikan ketika hamil untuk membendung pembesaran fibroid.
Sebagaimana dijelaskan, pembesaran ini tidak dapat dihalang kerana memang ada kadar hormon yang tinggi ketika hamil untuk memastikan pembesaran janin berlaku secara normal.
Kandungan puan perlu diawasi dengan teliti dan masalah yang mungkin timbul ditangani lebih awal supaya ia lebih berkesan.
Sumber: Berita Harian Online
No Comment to " Keguguran Boleh Berlaku Jika Ada Fibroid "