Masalah Rabun Pada Kanak-Kanak
Masalah Rabun Pada Kanak-Kanak
SEBELUM kehadiran kamera digital, kita tidak gemar melihat gambar sendiri bermata merah kesan refleksi cahaya lampu kamera. Keadaan itu membuatkan gambar nampak ‘cacat’ tetapi tahukah anda bahawa refleksi mata merah sebenarnya petanda baik kerana ia menunjukkan mata anda normal.
Ini antara petanda penting, terutama bagi kanak-kanak, kerana mereka tidak pandai memberitahu masalah dihadapi, termasuk gangguan pada penglihatan.
Perkara ini menyebabkan ramai ibu bapa tidak sedar anak mereka mengalami masalah penglihatan hinggalah si anak bersekolah, itu pun jika anak mengadu tidak nampak tulisan di papan hitam.
Pada kanak-kanak, penglihatan yang baik dan sempurna sangat penting untuk membantu mereka belajar dan mengenali alam sekeliling.
Masalah penglihatan yang tidak ditangani segera bukan saja boleh membantutkan proses pembelajaran, malah mempengaruhi pembentukan peribadi seseorang kanak-kanak
Pembangunan penglihatan sebenarnya bermula sejak kita dalam kandungan lagi. Mata akan menjalani proses perkembangan secara perlahan-lahan dan biasanya menjadi matang apabila seseorang kanak-kanak berumur sembilan tahun.
Dalam tempoh ini, masalah mata kanak-kanak perlu diberikan rawatan sewajarnya supaya penglihatan mereka boleh dipulihkan atau sekurang-kurangnya kerosakan itu tidak bertambah buruk. Untuk mengetahui, memahami dan mengharungi hidup di dunia, manusia memerlukan fungsi otak yang ditafsirkan daripada pengalaman dan penglihatan. Jika ada kecacatan dalam penglihatan, pengalaman seseorang individu terhadap dunia akan terjejas. Namun disebabkan kanak-kanak tidak pandai memberitahu ibu bapa masalah mereka, selalunya masalah mata kanak-kanak hanya dikesan pada peringkat serius. Pemeriksaan dan pengesanan awal dapat mengelak masalah lebih serius. Mengesan punca kerosakan mata di peringkat awal sangat penting.
Perkembangan sistem penglihatan berkait rapat dengan perkembangan otak dan proses ini berlaku sepanjang masa dari saat seseorang bayi dilahirkan hinggalah dia berumur sembilan tahun. Jika rawatan diberi sebelum kanak-kanak berumur sembilan tahun, kerosakan pada sistem penglihatan mungkin dapat dipulihkan. Selepas usia sembilan tahun iaitu apabila perkembangan sistem penglihatan dan otak sudah matang (tetap), sebarang masalah pada penglihatan sukar dipulihkan.
Oleh kerana kanak-kanak tidak pandai mengadu masalah mereka, ibu bapa perlu prihatin dengan tanda yang boleh menjadi petunjuk kepada masalah penglihatan seperti disenaraikan di bawah:
1. Rupa mata anak anda:
- Kedua-dua mata tidak selari atau juling. Apabila melihat sesuatu objek, sebelah matanya memandang ke arah objek manakala sebelah lagi ke arah lain; ia boleh berlaku sekali-sekala atau berterusan
- Mata merah, banyak mengeluarkan lendir dan bengkak
- Mata sentiasa berair walaupun tidak menangis
- Refleksi anak mata di dalam gambar berwarna putih (tanda katarak atau kanser). Sepatutnya apabila gambar seseorang diambil, bahagian anak mata akan berwarna merah
- Bebola mata sentiasa bergerak-gerak dan tidak boleh fokus
- Mata kelihatan lebih besar daripada kanak-kanak lain
- Perbezaan daripada segi saiz, bentuk dan warna kedua-dua mata
- Mata kelihatan kuyu
2. Tingkah laku anak
- Mengecilkan mata atau mengerutkan dahi apabila melihat objek
- Mengelipkan mata lebih kerap daripada biasa
- Memegang buku rapat dengan mata
- Tidak dapat melihat benda jauh dengan jelas
- Menutup sebelah mata atau melentukkan kepala atau menjeling untuk melihat sesuatu (disebabkan masalah juling)
- Menggosok mata dengan keterlaluan
- Tiada hubungan mata antara bayi dan ibu ketika menyusu pada bayi berumur tiga bulan
- Tidak dapat menyalin apa yang ditulis oleh guru di papan hitam dengan lengkap
3. Rungutan anak
- “Saya tidak nampak tulisan cikgu di papan hitam”,
- “Saya tidak dapat melihat dengan jelas”,
- “Semua benda nampak macam ada dua”
- “Mata saya gatal atau pedih”
- “Kepala saya sakit atau pening”
Perkembangan Mata Kanak-Kanak
Menurut Dr Suraiya, ramai ibu bapa bimbang apabila mata bayi mereka yang berumur satu hingga tiga bulan kadangkala kelihatan juling. Tidak perlu bimbang, ia perkara biasa kerana ketika ini bayi belum boleh memfokuskan pandangan mereka dengan baik.
Ketika dilahirkan, bayi tidak boleh melihat sebaik kanak-kanak yang lebih besar atau orang dewasa. Mata dan pandangan mereka belum berkembang sepenuhnya tetapi dalam beberapa bulan pertama inilah berlakunya perkembangan penglihatan yang sangat cepat.
Secara umumnya perkembangan penglihatan bayi boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat mengikut umur. Bagaimanapun harus diingat, setiap bayi itu berbeza; sesetengahnya mungkin mencapai tahap perkembangan pada umur berbeza.
a. Sehari hingga sebulan:
Sel saraf dalam retina (lapisan dalam mata yang menerima cahaya) dan bahagian otak yang mengawal penglihatan belum terbentuk sepenuhnya. Bayi hanya boleh melihat bayangan hitam, putih atau kelabu. Ketika lahir, penglihatan bayi adalah kabur. Jadi walaupun ada kalanya bayi kelihatan merenung pada objek terang, dia belum dapat membezakan antara dua objek terang yang ditunjukkan kepadanya atau mengalihkan mata daripada satu objek ke objek satu lagi.
Fokus utama mereka ialah pada objek yang diletakkan antara lapan hingga 20 hingga 25 sentimeter (lapan hingga 10 inci) dari muka mereka atau jarak mukanya dengan muka ibu ketika diberi susu badan.
Dalam bulan pertama ini, mata bayi mula bekerjasama dan penglihatan akan bertambah baik dengan cepat.
Koordinasi mata-tangan akan bermula apabila bayi boleh mengesan objek bergerak dengan matanya dan cuba mencapai objek berkenaan. Dalam tempoh ini bayi juga boleh:
- Melihat persekitaran apabila terjaga, merenung seketika pada cahaya atau objek berwarna terang
- Mengejipkan (menutup) matanya pada cahaya lampu kamera
- Mata dan kepala bergerak seiring (bayi akan menggerakkan kepala untuk melihat sesuatu)
- Sebelah mata kadangkala kelihatan juling
b. Dua hingga empat bulan
Ketika ini sekali sekala mata bayi boleh mengikuti pergerakan objek yang perlahan. Biasanya pada umur tiga bulan, bayi mula mengenali wajah orang yang selalu bersamanya dan boleh mencapai barang. Ketika umur satu hingga dua bulan, koordinasi mata belum terbentuk; matanya boleh kelihatan juling sebelah atau kedua-dua anak mata berada di hujung mata (hampir ke batang hidung atau pandangan bersilang). Jika keadaan ini berterusan selepas berusia empat bulan, bawa bayi berjumpa pakar mata kerana pada umur ini koordinasi mata sepatutnya sudah ada.
Antara perkara lain yang seharusnya boleh dilakukan oleh anak anda ialah:
- Pergerakan mata lebih meluas; maknanya dia boleh melihat dengan lebih baik tanpa perlu banyak menggerakkan kepala
- Matanya boleh mengikuti pergerakan objek atau orang; mengejipkan mata jika ada yang boleh mengancam pandangannya
- Ada hubungan mata dengan ibu bapa atau orang yang bercakap dengannya
- Mula melihat tangan sendiri dan menggapai objek tetapi belum mengambilnya
- Mengalihkan pandangan dari satu objek ke objek lain yang hampir dengannya; atau dari objek dekat ke jauh dan sebaliknya
- Mula melihat persekitaran
c. Empat hingga lapan bulan
Pakar mengagak bayi mula mempunyai penglihatan berwarna ketika berumur lima bulan walaupun ia tidak sebaik penglihatan orang dewasa.
Antara umur lima hingga lapan bulan, koordinasi mata-badan semakin bertambah baik dan pada umur tujuh hingga lapan bulan, anda boleh memerhatikan bayi anda dapat melihat dengan lebih baik dan pergerakan kepala semakin berkurang. Dia sudah boleh melihat aktiviti dengan lebih lama. Pada umur ini dia juga boleh:
- Memerhatikan atau memeriksa persekitaran dan pergerakan mata lebih simetri
- Melihat tangan, makanan dan botol susu apabila duduk; melihat objek yang lebih jauh atau secara menegak dan pepenjuru
- Mengesan pergerakan orang yang dekat dengannya dan melihat pergerakan dirinya
- Mengesan objek dan cuba mendekatinya; dapat mencapai dan memegang objek dengan tepat
- Senyum apabila melihat imejnya di cermin
d. Lapan hingga 12 bulan
Sekitar lapan hingga sembilan bulan, anda boleh perhatikan bayi anda memberi tindak balas terhadap senyuman dan suara orang lain; menggerakkan matanya untuk melihat apa berlaku di persekitarannya, merangkak ke arah objek atau permainan disukainya. Dia juga boleh:
- Menggerakkan matanya ke arah dalam apabila melihat tangannya atau alat mainan dipegangnya
- Melihat aktiviti di sekelilingnya lebih lama; mengesan orang atau objek yang perlu dielakkan apabila bergerak untuk mendapatkan sesuatu
- Mencari alat mainan yang terlepas dari tangannya; memberi tindak balas pandangan terhadap senyuman atau bunyi lain
- Memegang dan mencampakkan objek dengan lebih tepat
- Meniru pelbagai pergerakan badan; bermain intai-intai
- Mengesan objek yang biasa pada jarak enam meter
e. Satu hingga dua tahun
Pada umur setahun, ketepatan penglihatan bayi ialah pada julat 6/12. Koordinasi mata-tangan dan persepsi kedalaman terus berkembang. Pada julat umur ini, kanak-kanak sangat berminat pada persekitaran, boleh mengenali objek yang biasa padanya, berminat pada gambar dalam buku dan menuding jari pada objek yang boleh dicapainya. Mereka juga seharusnya boleh:
- Mengesan perubahan persekitaran yang biasa padanya
- Mengesan objek tertentu yang diletakkan bersama objek berlainan atau dalam persekitaran berselerak
- Menunjuk pada objek dikehendaki
- Memadankan dua objek yang sama dan bentuk mudah
- Menconteng dan meniru lakaran mudah
- Mengenali dirinya dalam gambar dan mengesan gambar tertentu dalam buku
f. Dua hingga tiga tahun
Pada umur dua tahun, pandangan kanak-kanak seharusnya normal (6/6). Anak anda juga lebih berminat mengenali persekitarannya. Antara yang boleh dilakukan ialah:
- Mengesan dua atau tiga gambar sebaris
- Menggerakkan mata ke kiri dan kanan secara sistematik
- Meniru aksi kanak-kanak lain
- Memadankan objek dengan gambar; memadankan objek besar dan kecil
- Suka melihat pergerakan objek yang bergerak cepat seperti roda
- Meneroka dan cuba mengawal pergerakan (berjalan atau memanjat tangga)
Pada umur tiga tahun, mata kanak-kanak hampir sama saiznya dengan mata orang dewasa. Jadi pada usia ini mereka boleh melakukan aktiviti yang menggunakan otot kecil seperti menutup mata apabila diminta berbuat demikian; menunjukkan bahagian muka yang tiada dalam gambar; melukis bulatan (walaupun tidak sempurna); mendekatkan kepala dan mata apabila memeriksa buku; mewarna gambar yang mudah dan meniru bentuk atau objek mudah.
g. Empat hingga lima tahun
Pada usia ini kemahiran penglihatan anak anda semakin sempurna. Ketepatan penglihatan mereka sama seperti orang dewasa. Ia ditunjukkan dengan kebolehan melukis apa yang digambarkan dalam fikirannya. Mereka juga seharusnya boleh mengenal warna, melihat objek kecil yang jauh, memadankan duit syiling, meniru bentuk segi empat dan pangkah, mewarna dalam garisan sesuatu gambar, menyusun lebih tiga gambar untuk bercerita, menggerakkan mata untuk menunjukkan emosinya, melukis dan menamakan gambar serta berminat mengenali objek baru.
Panduan Ujian Ketajaman Penglihatan.
Semua perkembangan yang disenaraikan di atas adalah panduan umum. Usah panik jika perkembangan anak anda agak lewat asalkan dia tidak menunjukkan masalah penglihatan. Malah ibu bapa juga tidak perlu membawa anak menjalani pemeriksaan mata jika bayi mereka sihat dan nampak normal.
Bagaimanapun, ibu bapa yang ada masalah mata disaran membawa anak untuk pemeriksaan di kedai cermin mata atau klinik mata kerana ada kemungkinan mereka juga mengalami masalah sama.
Jika didapati mata anak anda bermasalah, bawa anak untuk pemeriksaan lanjut bagi tahap penglihatan, penentuan sama ada si kecil perlu memakai kaca mata atau tidak dan kesihatan bebola mata.
Jika anak anda rabun pada usia tiga tahun, dia juga perlu pakai kaca mata untuk mengelak masalah mata malas. Jika kedua-dua ibu bapa rabun, kemungkinan besar anak juga ada masalah rabun. Namun biasanya ibu bapa tidak sedar masalah mata anak, terutama jika hanya sebelah mata yang bermasalah,” katanya.
Panduan untuk menguji tahap penglihatan anak iaitu:
- Bayi baru lahir hingga sebulan: Gunakan lampu suluh yang terang dan suluh mata bayi. Bayi akan menutup mata. Juga boleh digunakan lampu kamera dan bayi akan menutup matanya apabila terkena pancaran cahaya
- Bayi dua hingga tiga bulan: Guna lampu suluh kecil yang digerakkan beberapa kali dari mata bayi. Bayi akan mengikut dengan gerakan kepala ke arah lampu digerakkan
- Bayi tiga hingga empat bulan: Gunakan alat mainan sederhana besar, letakkan di depan bayi. Bayi akan mengikut pergerakan alat mainan dan cuba mencapainya
- Bayi enam hingga tujuh bulan: Letakkan gula-gula manik yang berwarna-warni atau permainan kecil pada tapak tangan anda di depan bayi. Bayi akan cuba mengutipnya. Cuba dengan beberapa saiz gula-gula atau permainan berbeza
Kanak-kanak satu tahun:
Gerakkan objek pada satu jarak dan cuba beberapa kali pada jarak berbeza
Gerakkan objek pada satu jarak dan cuba beberapa kali pada jarak berbeza
Kanak-kanak dua hingga tiga tahun:
Memadankan gambar serupa. Gunakan dua set serupa. Satu gambar dipegang oleh kanak-kanak dan anda pegang gambar satu lagi pada jarak yang jauh. Suruh anak anda memadankan gambar yang anda tunjuk. Jika anak sudah mula bercakap, suruh dia sebut objek yang tunjukkan.
Memadankan gambar serupa. Gunakan dua set serupa. Satu gambar dipegang oleh kanak-kanak dan anda pegang gambar satu lagi pada jarak yang jauh. Suruh anak anda memadankan gambar yang anda tunjuk. Jika anak sudah mula bercakap, suruh dia sebut objek yang tunjukkan.
Penyakit mata boleh berlaku pada sesiapa saja. Kanak-kanak mungkin tidak mengadu atau menunjukkan sebarang masalah mata tetapi ada beberapa kumpulan yang perlukan pemeriksaan mata iaitu bayi pra matang; mengalami masalah Sindrom Down, Serebral Palsi atau epilepsi; dilahirkan dalam keluarga yang ada masalah mata seperti buta dan rabun.
Jangan berlengah membawa anak mendapatkan rawatan mata jika perlu kerana kelewatan anda boleh menyebabkan anak kehilangan pandangan sepanjang hayatnya.
Perunding Oftalmologi, Dr Suraiya Mohamad Shafie.
Sumber Asal
Sumber Asal
=))....My son
BalasPadam