Terkini

Menu

Strok Haba: Pembunuh Senyap

Strok Haba: Pembunuh Senyap

Kadangkala kita mengalami kesukaran mendapatkan parkir kenderaan ketika hendak mengambil dobi atau membayar bil yang pada perkiraan kita ianya mengambil masa yang amat singkat. Pernahkah anda terfikir untuk meninggalkan anak anda, atau binatang peliharaan anda di dalam kereta seketika? Tindakan ini sebenarnya boleh mengundang padah.


Malaysia pernah digemparkan dengan kematian seorang kanak-kanak berusia 3 tahun tidak berapa lama dahulu. Kanak-kanak malang tersebut terperangkap di dalam kereta. Siasatan lanjut mendapati ibunya merupakan seorang guru yang bergegas ke mesyuarat di sekolah beliau, meninggalkan mangsa yang sedang tidur di kerusi belakang kereta. Ketika dijumpai 5 jam kemudian, kanak-kanak malang tersebut telah pun meninggal dunia.

Apa yang saya hendak kongsikan bersama ialah, apakah kemungkinan yang menyebabkan kematian kanak-kanak tersebut berlaku dan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan ia terjadi kepada kita atau keluarga kita.

Kajian menunjukkan bahawa suhu dalam sebuah kereta akan meningkat secara mendadak sekiranya kereta dibiarkan di bawah panas matahari. Suhu atau tahap kepanasan boleh meningkat antara 10 ke 20 darjah dalam masa 20 minit sahaja. Keadaan ini akan menyebabkan kepanasan melampau kepada bayi atau kanak-kanak yang terperangkap di dalam kereta. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan suhu dalaman badan seseorang secara mendadak sehingga 41 darjah Celsius.

Kepanasan ini akan menyebabkan proses berpeluh berlaku secara semulajadi (proses ‘normal regulation’ bagi menyejukkan badan kita) yang seterusnya menyebabkan kekurangan kandungan air dalam badan (dehydration), sawan, kekeliruan (confusion), kerosakan otak dan organ dalam badan dan seterusnya kematian. Fenomena ini dikenali sebagai Strok Haba atau ‘Heat Stroke’.

Seseorang boleh lemas dan seterusnya mengakibatkan kematian sekiranya mereka mengalami (suffocation) kekurangan udara (oksigen) akibat tingkap ditutup rapat. Membuka tingkap sekadar beberapa inci atau membiarkan penghawadingin (aircond) dalam keadaan berfungsi juga tidak dapat memastikan keadaan ini tidak berlaku.

 Video Berhubung Strok Haba 

Heat Stroke berlaku di seluruh dunia. Data dari Amerika Syarikat menunjukkan 33 kematian pada tahun 2012 dan 22 kes pada tahun 2013 (setakat ini). Sejak tahun 1998 terdapat 583 kematian akibat Heat Stroke bagi kanak-kanak atau bayi yang ditinggalkan di dalam kereta.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil bagi memastikan kita tidak lupa kepada anak atau bayi kita yang sedang tidur di kerusi belakang ialah:
  • Meletakkan beg kerja atau fail penting di tempat duduk belakang, kerana ini boleh membantu atau memberi peringatan kepada kita sekiranya anak kita berada di tempat duduk belakang kereta.
  • Meletakkan tanda ‘Baby On Board’ atau apa-apa barangan bayi di stering, dashboard atau cermin depan kereta.
  • Menjadikan pemeriksaan kereta sebagai rutin yang perlu dilakukan sebagaimana seperti kita hendak meninggalkan rumah. Ketika hendak meninggalkan rumah, sudah pasti kita akan memastikan pintu berkunci, suiz elektrik dan paip air ditutup dan sebagainya.
  • Bagi kenderaan awam (seperti van sekolah), pemandu bertanggungjawab melakukan kiraan kepala (head-count) dan mempunyai senarai nama kanak-kanak yang menaiki van tersebut untuk mengelakan kemalangan yang tidak diingini.
  • Pastikan kunci kereta sentiasa berada ditempat yang selamat dan anak-anak kerana terdapat kes dimana kanak-kanak ini sendiri masuk ke dalam kereta tanpa disedari.
  • Hubungi pihak berkuasa sekiranya anda terlihat kanak-kanak keseorangan di dalam kereta yang ditinggalkan.
  • NAMUN, PERKARA YANG PALING UTAMA DAN TERBAIK IALAH, JANGAN SESEKALI MENINGGALKAN ANAK-ANAK KITA KESEORANGAN DI DALAM KERETA.

Strok haba ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, malah ia juga boleh berlaku kepada binatang peliharaan seperti kucing dan anjing. Adalah amat penting bagi kita mengetahui mengenai fenomena ini. Pepatah lama ada mengatakan ‘Biar lambat asal selamat’, kesukaran membawa anak-anak atau binatang peliharaan keluar seketika adalah lebih baik daripada kehilangan mereka selama-lamanya.

Share This:

Post Tags:

PENAFIAN

Segala penulisan dan testimoni berkenaan produk yang dikongsi di laman ini bukan bertujuan untuk mendiagnosis, merawat atau menyembuhkan apa jenis penyakit dan masalah kesihatan. Pembaca yang mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan terlebih dahulu


Sebahagian artikel adalah dari sumber luar yang dinyatakan punca sumbernya.

No Comment to " Strok Haba: Pembunuh Senyap "

  • To add an Emoticons Show Icons
  • To add code Use [pre]code here[/pre]
  • To add an Image Use [img]IMAGE-URL-HERE[/img]
  • To add Youtube video just paste a video link like http://www.youtube.com/watch?v=0x_gnfpL3RM