Bolehkan Anak Umur Lebih 2 Tahun Menyusu Badan?
Bolehkan Anak Umur Lebih 2 Tahun Menyusu Badan?
Jawapan:
Wa alaikum mus salam.
Wa alaikum mus salam.
Menurut kaedah Islam, tidak ada masalah menyusukan anak lebih dari 2 tahun, jika perkara itu tidak mendatangkan mudharat kepada bayi, dan dengan persetujuan suami dan isteri.
Cuma kebiasaannya anak apabila sampai umur 2 tahun dia memerlukan makanan tambahan yang lain. Dalam al-Quran dari surah al-Baqarah ayat 233:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ
Maksudnya: “Dan para ibu itu menyusukan anak-anak mereka selama sempurna 2 tahun, bagi sesiapa yang menyempurnakan susuan.”
Ayat ini hanya berupa panduan dan bukan menunjukkan suatu kewajipan yang membawa dosa jika menyalahinya.
Al-Imam al-Qurtubiy ketika menafsirkan ayat 233 dari surah al-Baqarah di atas menyatakan: “Tambahan lebih dari 2 tahun (menyusukan anak) atau menguranginya (tempoh tersebut), boleh jika tidak ada kemudharatan kepada bayi dan dengan kerelaan suami dan isteri.”
Cuma ada sebahagian ulama seperti Ibn ‘Asyur (ابن عاشور) yang berpandangan tidak perlu ditambah susuan lebih dari 2 tahun, kerana perbuatan ini tidak ada keperluan lagi.
Dari segi perubatan, penyusuan jangka panjang (atau disebut extended breastfeeding) adalah apabila seorang ibu menyusukan bayi mereka selepas tahun pertama. Kebanyakan ibu-ibu terutama di Eropah yang memahami kepentingan penyusuan ibu, hanya akan menghentikan penyusuan anak antara dua tahun hingga empat tahun.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri menasihati ibu-ibu untuk menyusukan selama dua tahun.
Walaupun bayi puan mula mendapat makanan dari makanan pejal , susu ibu masih merupakan makanan yang terbaik kerana menyediakan antibodi secara semulajadi, nutrien dan vitamin.
Bayi dan kanak-kanak kecil yang mendapat susu ibu jarang mendapatkan sakit berbanding dengan bayi yang tidak mendapat susu ibu.
Jika anak puan sedang sakit galakkan mereka menyusu ibu kerana ia akan membantu melawan penyakit yang dihadapi.
Saya menasihatkan puan agar meneruskan penyusuan selagi anak puan belum bersedia untuk menghentikan penyusuan. Penyususan ibu bukan saja merapakan hubungan emosi antara ibu dan anak, malah ia membentuk keyakinan diri pada anak puan.
Tidak perlu mendengar komen-komen negatif terhadap penyusuan ibu kepada anak yang melebihi umur dua tahun, kerana penyusuan itu dibenarkan syara’ dan memberi manfaat pada bayi dan anak puan.
Puan juga akan merasa lebih tenang ketika menysusukan bayi kerana ketika itu hormon prolaktin dan oxytocin akan keluar dengan banyak dan membantu puan berasa tenang dan damai.
Wallahu a’lam.
Credit: drzubaidi.com
No Comment to " Bolehkan Anak Umur Lebih 2 Tahun Menyusu Badan? "