Terkini

Menu

Anak Kerap Diejek & Rendah Diri

Anak Kerap Diejek & Rendah Diri 

Anak Kerap Diejek & Rendah Diri dibuli

Soalan: Dr. Norharlina, anak lelaki saya berumur 8 tahun. Dia selalu kelihatan seperti sedih apabila pulang dari sekolah. Apabila saya bertanyakan hal tersebut kepadanya, dia selalu diam sahaja. Entah kenapa saya merasakan dia tidak ada ramai kawan di sekolah kerana dia berbeza dengan anak-anak saya yang lain yang selalu bercerita tentang kawan-kawan mereka. 

Saya juga perhatikan dia tidak gemar berkawan dengan kanak-kanak lain (di kawasan kejiranan kami ramai kanak-kanak seusia). Saya pernah bertanyakan hal tersebut kepada guru kelas, tetapi saya diberitahu dia seorang yang pendiam dan pasif. 

Untuk pengetahuan doktor, anak saya seorang yang ikut cakap dan tidak pernah membantah. Baru-baru ini , saya bertanya lagi kepadanya dan dia memberitahu saya, dia tidak suka ke sekolah kerana kerap diejek ‘kontot dan pendek’. 

Anak saya rendah berbanding kanak-kanak lain kerana neneknya juga rendah. Adakah kes ini serius doktor? Apakah kesan pada mentalnya sekiranya dia terus dibuli? Apakah tindakan yang perlu saya lakukan? Ayahnya merasakan, biasalah kanak-kanak dibuli, bila besar akan okay. (Ummi)



Jawapan: Salam Pn Ummi,


Saya merasakan agak sukar untuk menjawab soalan puan secara spesifik kerana ada maklumat lanjut yang saya perlukan. Antaranya ialah:
  • Sudah berapa lama perkara ini berlaku? Adakah dari sejak kecil, sejak bersekolah atau baru-baru ini?
  • Bagaimana dengan pencapaian akademik di sekolah? 
  • Adakah kadar tumbesaran beliau sejajar dengan umurnya dan setara dengan anak-anak lain?

Oleh itu, saya akan cuba menjawab soalan puan dengan anggapan bahawa perkara ini telah berlaku semenjak anak puan mula bersekolah, dan anak puan mempunyai kadar tumbesaran yang normal.

Setiap kanak-kanak mempunyai ‘temperament’ (perangai dan ciri-ciri personaliti iaitu cara berfikir, cara berkelakuan, atau cara bertindak balas terhadap sesuatu) yang berbeza. Ada yang pendiam, ada yang suka berkawan, ada yang banyak bercakap atau bertanya.

Anak-anak yang pendiam/ pasif atau kurang keyakinan boleh dibantu untuk menambahkan keyakinan diri mereka dengan pelbagai cara. Antaranya:




Di rumah/ bersama ibubapa

  • Pasti ibubapa memberi peluang dan stimulasi yang cukup untuk anak-anak berkawan dengan kanak-kanak lain.
  • Banyakkan perbualan dan interaksi dengan anak-anak. Luangkan masa 10-15 minit secara eksklusif dengan anak dan berikan tumpuan 100%. Berbual dan dengar apa yang dikatakan. Ini memberi ruang dan peluang untuk anak belajar berbual dan bercerita dan membolehkan puan memahami apa yang dirasai oleh anak.
  • Elakkan dari bertanya soalan ‘tertutup’ yang mempunyai jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’. Contohnya: ‘Imran sudah makan?’. Gunakan soalan-soalan ‘terbuka’ atau yang membolehkan beliau bercerita lebih lanjut seperti ‘Masa makan tadi, Imran makan apa? Rasa dia macamana?’. 




Berikan mereka masa yang cukup untuk menjawab soalan-soalan puan.

  • Libatkan mereka di dalam aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan ‘team-work’ seperti bola sepak, bola keranjang dan sebagainya.
  • Kurangkan aktiviti pensendirian seperti bermain komputer, atau menonton tv.
  • Banyakkan aktiviti keluarga yang melibatkan perbualan dan interaksi antara satu sama lain. Contohnya seperti bermain ‘boardgames’ i.e monopoly, dam ular.
  • Berikan tanggungjawab yang spesifik kepada anak. Contohnya membuang sampah atau lap meja selepas makan. Berikan pujian kepada mereka. Jadikan tanggungjawab itu seolah-olah ianya sesuatu yang istimewa, hanya dia seorang sahaja yang boleh melakukannya dengan baik.‘Imran seorang aje yang pandai buang sampah dalam rumah ni, papa pun tak pandai buang sampah sebagus Imran’.Perlu diingatkan bahawa tanggungjawab/ tugasan yang diberikan perlulah bersesuaian dengan umur.
  • Banyakkan pujian kepada kelakuan yang baik, kurangkan/ mansuhkan kritikan. Kritikan adalah sesuatu yang menyebabkan anak sentiasa tidak yakin kepada diri sendiri.
  • Sekiranya anak membuat kesalahan, janganlah dihukum atau diherdik. Ini akan lebih menyebabkan beliau merasa tidak yakin kepada diri sendiri.



Di sekolah
  • Banyakkan perbincangan dengan guru untuk mendapat idea-idea bagaimana guru boleh membantu.
  • Seperti di rumah, berikan tanggungjawab/ tugasan khas untuk murid/ anak yang pendiam. Contohnya Ketua Kelas, atau Pembantu Khas Guru atau Pengawas Kantin dan apa-apa sahaja yang pihak sekolah boleh fikirkan. Yang penting ialah anak mempunyai satu jawatan dan tanggungjawab.
  • ‘Sistem Buddy’. Pasangkan setiap murid di dalam kelas supaya setiap anak-anak mempunyai kawan atau ‘buddy’ masing-masing. Sistem ini boleh dilakukan terutamanya bagi mereka yang mula memasuki sekolah di darjah satu. Anak-anak boleh melakukan apa-apa aktiviti disekolah dengan ‘buddy’ masing-masing. Sistem ini membantu mereka membuat kawan, dan juga untuk menjaga keselamatan masing-masing.
  • Anak puan perlu di’jemput’ atau ‘diarahkan’ untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang melibatkan teamwork seperti sukan berkumpulan (bolasepak dan sebagainya) disekolah. Beliau tidak akan menawarkan diri sekiranya tidak disuruh.



Diejek atau dibuli disekolah

Sekiranya puan mensyakki anak dibuli, jangan diamkan atau abaikan sahaja. Cari masa yang sesuai untuk berbual dan berbincang dengan anak. Buli adalah sesuatu yang tidak boleh diambil mudah.

Bincanglah dengan pihak sekolah dengan baik. Pastikan anda kekal tenang dan tidak beremosi tinggi semasa berbincang dengan guru. Jangan letakkan kesalahan kepada pihak guru kerana guru juga mungkin tidak mengetahui mengenai buli yang berlaku. Bincang dengan guru apa yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah. Pembuli selalunya mereka yang mempunyai masalah juga. Pastikan mereka juga dibantu.

Puan boleh menolong anak puan dengan mengajar beliau beberapa tips untuk menangani buli:-
  • Beritahu guru atau orang dewasa yang berdekatan
  • Abaikan pembuli (ignore & walk away).
  • Elakkan dari bertemu pembuli. Jauhkan diri dari mereka.
  • Sentiasa bersama ‘buddy’/ kawan-kawan yang lain. Pembuli selalunya tidak membuli mereka yang berteman.
  • Jangan membuli semula dengan memukul kembali si pembuli. Ini akan menerukkan keadaan.
  • Bantu anak untuk memberitau pembuli dengan tegas supaya berhenti mengejek atau membuli.
Semoga jawapan ini dapat membantu puan dan anak. All the best!


Dr Norharlina Bahar
Anak Kerap Diejek & Rendah Diri 

Share This:

Post Tags:

PENAFIAN

Segala penulisan dan testimoni berkenaan produk yang dikongsi di laman ini bukan bertujuan untuk mendiagnosis, merawat atau menyembuhkan apa jenis penyakit dan masalah kesihatan. Pembaca yang mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan terlebih dahulu


Sebahagian artikel adalah dari sumber luar yang dinyatakan punca sumbernya.

No Comment to " Anak Kerap Diejek & Rendah Diri "

  • To add an Emoticons Show Icons
  • To add code Use [pre]code here[/pre]
  • To add an Image Use [img]IMAGE-URL-HERE[/img]
  • To add Youtube video just paste a video link like http://www.youtube.com/watch?v=0x_gnfpL3RM