Kaedah Membentuk Anak Baik dan Lembut Hati
Kaedah Membentuk Anak Baik dan Lembut Hati
Susu ibu memainkan peranan yang penting untuk membentuk peribadi dan perilaku yang mulia terhadap anak anak, terutama agar ia taat dan menghormati orang tua.
Susu ibu juga mendidik anak anak untuk sentiasa menjaga hati kedua ibu bapa. Membiarkan anak anak tanpa disusukan oleh ibu sendiri serta menyerahkan tanggungjawab penjagaan sepenuhnya kepada orang gaji akan menghalang pengaliran nilai nilai budi yang luhur.
Ini satu budaya yang kurang baik dalam proses kita membentuk pengukuhan institusi kekeluargaan, terutama untuk membentuk arah hubungan yang mesra antara anak anak dengan ibu mereka.
Hubungan renggang
Membiarkan anak anak dijaga sepenuhnya oleh orang gaji akan membuatkan mereka terabai daripada menikmati erti kasih dan sayang daripada ibu bapa mereka sendiri. Anak anak mungkin menjauhkan diri dari ibu bapa apabila mereka merasakan diri terabai dan kegersangan belaian.
Anak anak terbiar akan mudah memberontak dan melahirkan rasa tidak puas hati tanpa sebarang rasa hormat terhadap ibu bapa.
Kadang kadang ini menjadikan hubungan anak anak dengan ibu bapa umpama 'majikan dan pekerja' atau lebih buruk lagi umpama "hamba dan tuan".
Pemberontakan akan lebih mudah berlaku dikalangan anak anak yang mendapat kemewahan dan harta tetapi ketandusan perhatian. Mereka mungkin bersikap biadap ke atas ibu bapa tanpa mengemukakan sebab yang jelas.
Anehnya, hubungan yang renggang antara ibu bapa dan anak anak diterima sebagai prkara biasa dalam kehidupan sekarang walaupun mereka menyedari perkara tersebut amat merbahaya.
Anak anak yang mudah renggang hubungan dengan keluarga masing masing amat sukar untuk dibentuk akhlaknya, apatah lagi apabila mereka sudah dewasa kerana pepatah ada menyebut "melentur buluh biar di waktu rebungnya".
Apabila sudah berlarutan hingga dewasa, kemelut hubungan antara anak anak dan ibu bapa amat sukar untuk dipulihkan kecuali kedua dua pihak sanggup mencari jalan penyelesaiana.
Didikan semula
Islam memberi panduan untuk menghadapi realiti kekeluargaan ini dengan mengajurkan kepada usaha mendidik anak anak supaya menjadi baik semula.
Proses ini dirujuk pada sejarah dimana banyak pejuang pejuang Islam yang terkenal di zaman Rasulullah lahir dari kalangan keluarga orang kafir.
Mereka mula mulanya memiliki sikap yang bengis, kasar dan sanggup membunuh sesiapa saja tetapi akhirnya menjadi mulia setelah beriman kepada Allah.
Mereka menerima perwatakan dan sikap yang luhur dan meninggalkan segala sikap yang cela dan menjadi contoh yang unggul dalam perwatakan bagi diteladani oleh umat Islam.
Oleh itu tidak mustahil kita boleh mendidik kembali anak anak supaya menjadi baik.Seperti kata pepatah "belakang parang kalau diasah lagikan tajam" dan ibu bapa perlu berusaha dengan bertawakal kepada Allah.
Ibu bapa perlulah banyak berdoa kepada Allah dengan bertawajuh pada waktu dinihari sambil berdoa dengan memohon pertolongan dari-Nya supaya membantu mengubah perangai anak anak.
Surah al-Hasyr ayat 21- 24)
Amalkan membaca empat ayat akhir surah al-Hasyr (ayat 21, 22, 23, 24) sewaktu anak anak sedang tidur dan niatkan bacaan itu agar lembutlah hati mereka supaya taat kepada Allah dan ibu bapa.
al-Hasyr ayat 21, 22, 23, 24 |
Setelah selesai dibaca, tiupkan betul betul di ubun ubun kepala anak anak.
Surah Thoha Ayat 1-5
Sekiranya tidak berkesan maka boleh amalkan bacaan lima ayat pertama surah Thoha. Selepas itu tiupkan bertentangan dengan hidungnya sewaktu anak sedang menarik nafas ketika tidur.
Surah Thoha ayat 1-5 |
Lima ayat surah Thoha ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Dalam beberapa riwayat di mana seorang manusia yang keras hati, buruk tingkah laku dan pernah bersumpah untuk membunuh Rasulullah akhirnya berubah sikap.
Didorong oleh hasrat untuk memunuh Rasulullah, beliau pergi ke rumah adiknya dan akhirnya setelah mendengar suara orang membacakan ayat ayat tersebut, beliau merempuh masuk kerumah itu lalu dirampas tulisan ayat itu dan dibacanya sendiri.
Tiba tiba hatinya menjadi lembut dan tanpa disangka sangka, akhirnya beliau berlari pergi bertemu Rasulullah lalu melafazkan dua kalimah syahadah d an beriman kepada Allah dan rasulnya.
Manusia tersebut ialah Umar bin al-Khattab.
Ayat ayat tersebut adalah sebahagian daripada ikhtiar dan jika diizinkan Allah akan terlaksana, namun sekiranya tidak berkesan, teruskan usaha.
Doa orang soleh
Ikhtiar lain pula ialah dengan membawa anak anak degil berjumpa dengan orang orang yang salih agar didoakan kepada mereka dan ditiupkan ke kepala (otak), dada (hati), dan perut (citarasa) dengan doa doa mereka.
Disini bermula satu amalan dalam Islam yang disebutkan tahneek. (Rasulullah memamah buah tamar lalu disuapkan ke mulut bayi, didoakan kebaikan bayi lalu dicukur rambut, menyembelih kambing dan bersedekah kepada fakir miskin)
Istiadat ini kemudian dikenali di kalangan masyarakat Melayu sebagai “cukur jambul”, berakikah dan majlis keseyukuran.
Bagaimanapun dalam keadaan sekarang amalan ini lebih bersifat budaya yang hanya menekankan kepada kenduri, marhaban, hadiah bunga telur dan kalau pun ada “belah mulut” dan “cukur jambul”, amalan itu hanya sekadar ada saja. Ibu bapa tidak benar benar serius dalam mencari orang yang benar benar salih untk berdoa.
Sepatutnya ibu bapa mesti sanggup membawa orang yang benar benar salih walaupun jarak rumahnya jauh beratus batu kerana doanya memberi kebaikan kepada bayi.
Akikah juga amalan yang mulia dan ada kaitan dengan bayi hingga ulama menekankan kepada amalan tersebut agar dilaksanakan dengan sempurna.
Binatang untuk akikah mestilah dari jenis yang baik dan sihat seperti unta, lembu atau kambing.
Serah anak
Ikhtiar lain pula ialah dengan “menyerahkan” anak anak kepada orang yang salih agar diterima sebagai anak angkat, tanpa mengubah bin anak itu.
Kaedah ini tidak bercanggah dengan syarak dan amalan dilakukan dengan membawa bersama sama susu, sedikit gula, garam, beras, buah buahan segar seperti pisang serta ketupat pulut bersama rendang daging.
Makanan ini dimakan bersama sama antara keluarga anak anak dengan bapa angkat yang salih tadi sebagai tanda kesyukuran.
Sekiranya anak yang dibawa itu sudah besar maka bolehlah ia makan bersama sambil berkenalan dengan harapan perakuan anak angkat dengan bapa angkat itu akan menempiaskan berkat daripada bapa angkat yang salih itu.
Kemudian bapa angkat yang salih itu akan meminta ibu bapa supaya menjaga anak angkatnya dengan baik serta mendidiknya dengan ilmu agama yang sempurna.
PROF. DR. HARON DIN. Klinik Darussyifa, Bangi
Credit: www.grenbarabravejournal.com
Kaedah Membentuk Anak Baik dan Lembut Hati
Kaedah Membentuk Anak Baik dan Lembut Hati
No Comment to " Kaedah Membentuk Anak Baik dan Lembut Hati "