Soalan Lazim Sekitar Penyusuan Ibu
Soalan Lazim Sekitar Penyusuan Ibu
Menyusukan anak adalah impian rata-rata ibu namun bukan semua berjaya melakukannya. Salah satu punca adalah kurangnya ilmu tentang penyusuan menyebabkan ibu tidak bersedia sepenuhnya bila masanya tiba untuk menyusukan anak. Jadi jika anda berazam untuk menyusukan anak, timbalah ilmu sebanyak mungkin lebih-lebih lagi untuk ‘first-time mommy’. Semoga info dikongsikan ini bermanfaat untuk anda.
Soalan 1: Kenapa menyusu awal itu penting?
Jawapan:
Penyusuan di peringkat awal sangat penting kerana:
- Dapat merangsang pengeluaran awal susu. Lebih banyak bayi menghisap payudara, lebih banyak susu akan dihasilkan kemudian.
- Dapat melindungi bayi dari jangkitan. Ketika bayi menyusu di hari-hari permulaan kelahirannya, dia akan menerima kolostrum yang berwarna kekuningan. Kolostrum ni dan susu sebenar yang keluar selepas beberapa hari kemudian, mengandungi kandungan anti-jangkitan yang tinggi dan sel-sel putih yang menjadi sumber perlindungan utama dari jangkitan.
- Perlu ditekankan bahawa bayi yang menyusu dengan susu ibu adalah lebih sihat dan kurang terkena sembelit, cirit birit atau penyakit lain.
Soalan 2: Bilakah waktu yang sesuai bagi ibu mula menyusukan bayinya?
Jawapan:
- Waktu terbaik untuk memulakan penyusuan ialah selepas kelahiran dan perlu dilakukan secepat mungkin jikalau ibu mampu melakukannya. Meletakkan bayi ke dada ibu sebaik sahaja bayi lahir adalah pengalaman yang cukup terindah.
- Dalam tempoh dua jam selepas bayi lahir, kemampuan menghisap berada pada tahap yang tinggi. Walau bagaimana pun, sesetengah bayi tidak berminat hendak menyusu sebaik sahaja lahir. Jangan bimbang jika mendapati bayi anda mengantuk, membiarkan dirinya dibelai atau dilihat sahaja. Mungkin selepas itu baru dia berkeinginan hendak menyusu.
- Hisapan bayi pada payudara turut merangsang pengeluaran hormon yang akan menjadikan rahim menguncup. Ini membantu menyembuhkan sakit selepas bersalin.
Soalan 3: Berapa lamakah harus saya menyusu pada sebelah payudara?
Jawapan
- Keinginan bayi menyusu boleh dijadikan sebagai panduan kepada ibu. Bayi akan menentukan dengan sendiri masanya dia ingin menyusu. Melalui cara ini, bayi akan menghisap sebelah payudara sehingga payudara itu kosong. Ini membolehkan dia mendapat khasiat susu yang kaya dan berkrim yang terhasil di hujung penyusuan.
- Susu yang keluar di ‘akhir’ setiap penyusuan digelar “hind milk”. Susu akhir ini mengandungi khasiat lemak yang diperlukan untuk pembesaran bayi. Ibu diminta supaya menyusu bayi menggunakan payudara yang sebelah lagi apabila tiba waktu penyusuan berikutnya.
- Bayi akan menunjukkan tanda-tanda sama ada hisapan pada sebelah payudara sahaja mencukupi atau tidak. Jika ia mencukupi, bayi akan menarik mulutnya keluar atau pun tertidur di payudara ibu. Jika bayi masih terjaga dan aktif mencari payudara, ini bermakna dia perlukan susu lagi. Oleh itu, berikan payudara yang sebelah lagi. Di awal kelahirannya, bayi memerlukan penyusuan yang kerap dan banyak bagi menjamin tumbesarannya.
Soalan No. 4: Bilakah susu ibu mula dihasilkan?
Jawapan
- Susu ibu mula dihasilkan pada 7 minggu pertama sewaktu bayi masih dalam kandungan dan menghasilkan kolostrum. Diantara hari pertama dan keempat selepas kelahiran, susu sebenar yang berwarna putih akan mula dikeluarkan.
- Pada peringkat ini, kolostrum akan bercampur dengan susu baru, menjadikan ia kelihatan pekat berkrim.
- Secara perlahan-lahan, iaitu kira-kira seminggu kemudian, kolostrum akan berkurangan dan susu kelihatan cair dan berkeadaan seperti air. Inilah rupa susu ibu yang sebenar.
- Sesetengah ibu mendapati payudara mereka penuh dan berat. Ini dipanggil bengkak susu.
Soalan No. 5: Kenapa bayi tidak diberi susu formula atau air sementara menunggu susu ibu terhasil sepenuhnya?
Jawapan.
- Penting untuk dipastikan bayi tidak diberi apa jua penyusuan jenis lain kerana ia akan mengganggu penyusuan susu ibu.
- Jumlah kolostrum yang sedikit dan susu awal yang diperolehi oleh bayi dari payudara adalah mencukupi untuk tempoh beberapa hari sehingga susu ibu terhasil sepenuhnya dalam kuantiti yang banyak.
Soalan No. 6: Apakah yang dimaksudkan dengan “Permintaan menyusu”?
Jawapan
- Kajian menunjukkan bahawa faktor paling penting untuk menghasilkan susu ialah membenarkan bayi menyusu sebaik sahaja selepas lahir. Ibu yang mula menyusukan sebaik sahaja selepas bersalin akan cenderung untuk terus menyusu dengan berkesan.
- Bila penyusuan lewat dimulakan, kebanyakkan ibu akan berasa putus asa untuk meneruskan penyusuan. Oleh itu, membantu ibu memulakan penyusuan secepat mungkin adalah satu cara paling berkesan bagi seseorang untuk membantu ibu menyusu.
- Perkara lain yang tidak kurang penting ialah menggalakkan ibu menyusu sekerap mungkin atau selama mungkin. Ini disebut ‘permintaan menyusu’ (demand) dan tidak perlu dihadkan berapa lama tempoh menyusu serta jarak diantara setiap penyusuan. Biarkan si Manja yang tentukan samada dia mahu atau tidak.
- Meletakkan bayi dekat dengan ibu di dalam bilik yang sama akan menjadikan keinginan menyusu semakin meningkat dan mudah. Kini, semakin banyak hospital mendapati cara ini amat praktikal (Bukan sebab nurse malas nak jaga tau!).
Soalan No. 7 : Mengapa bayi yang baru lahir menyusu dengan kerap?
Jawapan.
- Pada peringkat awal, bayi kelihatan ingin menyusu dengan kerap dan ibu menjadi letih untuk melayan permintaannya. Si ibu perlu berasa yakin bahawa dia perlu meluangkan masa dengan menyusu bayi dalam tempoh dua, tiga atau empat hari yang pertama.
- Jika dalam tempoh berkenaan, dia kerap melayan permintaan bayi untuk menyusu, susunya akan menjadi semakin banyak dan bayi akan lebih mudah menghisap di kemudian hari.
- Jika ibu hendak menjarakkan masa antara penyusuan, tempoh maksimum yang biasa dicadangkan ialah tiga jam.
- Jika jarak antara penyusuan terlalu lama iaitu melebihi empat jam, bayi akan kelihatan meragam dan tidak senang.
Credit: precioussusuibu.mommybizz.com
Soalan Lazim Sekitar Penyusuan Ibu
Soalan Lazim Sekitar Penyusuan Ibu
No Comment to " Soalan Lazim Sekitar Penyusuan Ibu "