Kanak-Kanak Rabun?
Kanak-Kanak Rabun?
Pengenalan
Apabila seseorang kanak-kanak itu memerlukan cermin mata, memang mereka memerlukannya! Jangan beranggapan bahawa kanak-kanak terlalu kecil untuk memakai cermin mata! Sekiranya terdapat gangguan penglihatan dan boleh diperbetul dengan memakai cermin mata walaupun penglihatan tidak dapat dibaiki sepenuhnya, tidak ada alasan untuk tunggu lagi… Usia sekecil mana sekali pun boleh belajar memakai cermin mata.
Bayi atau kanak-kanak yang didapati mengalami kemerosotan penglihatan dan hanya boleh dibaiki dengan cermin mata perlu memakai cermin mata secepat mungkin. Ibu bapa tidak perlu berasa kecewa apabila mendapati anak mereka perlu memakai cermin mata di usia muda (bayi atau anak kecil).
Adalah dianggarkan 80-90% proses pembelajaran memerlukan penglihatan. Tahap penglihatan yang berkurangan boleh menjejaskan pembelajaran dan perkembangan tumbesaran.
Mengapa perlu memakai cermin mata?
Bayi atau kanak-kanak memerlukan cermin mata untuk membaiki rabun jauh, rabun dekat, astigmatism atau bagi sesetengah kes juling. Selain itu, cermin mata dapat mengelakkan daripada penglihatan menjadi lebih teruk serta mata malas.
Bilakah kanak-kanak boleh mula memakai cermin mata?
Kanak-kanak boleh mula memakai cermin mata seawal umur 1 tahun. Bagi perkembangan bola mata yang sihat, imej yang jelas perlu terbentuk di retina mata.
Apa akan terjadi sekiranya tidak memakai cermin mata awal?
Perkembangan sistem penglihatan bayi dan kanak-kanak bermula dari lahir sehingga umur lebih kurang 8 tahun. Sekiranya bayi atau kanak-kanak mengalami rabun pada usia sebelum 8 tahun dan tidak diperbaiki dengan cermin mata, perkembangan penglihatan normal akan terjejas.
Adakah pemakaian cermin mata akan mengakibatkan penglihatan anak saya menjadi lebih teruk dan akan terlalu bergantung kepada pemakaian cermin mata?
Tidak. Pendapat sebegini tidak benar sama sekali. Sekiranya kanak-kanak tidak memakai cermin mata sepertimana yang dicadangkan, perkembangan penglihatan normal akan terjejas dan boleh mengakibatkan mata malas atau penglihatan terhad.
Adakah anak saya berkemungkinan memakai cermin mata sekiranya saya memakai cermin mata atas faktor keturunan?
Ya,sekiranya ibu bapa memakai cermin mata, anak anda juga mungkin memerlukan cermin mata
Bagaimana optometris menentukan tahap penglihatan dan kuasa cermin mata bagi golongan bayi dan kanak-kanak kecil?
Tidak dapat dinafikan bahawa adalah sukar untuk mengukur tahap penglihatan bayi atau kanak-kanak terutama di bawah umur 4 tahun. Walau bagaimanapun, optometris boleh menilai tahap penglihatan dan kuasa cermin mata secara objektif menggunakan peralatan tertentu.
Bilakah cermin mata perlu dipakai? Berapa kerap cermin mata perlu dipakai?
Bagi kebanyakan kes, kanak-kanak perlu memakai cermin mata sekerap mungkin.
Kebanyakan kanak-kanak akan gemar memakai cermin mata apabila menyedari bahawa tahap penglihatan mereka jauh lebih baik dengan pemakaian cermin mata. Sekiranya kanak-kanak mendapati penglihatan mereka lebih baik dengan cermin mata,mereka akan sentiasa memakai cermin mata dan perkara pertama yang akan diminta pada awal pagi adalah cermin mata.
Bagaimana mengajar kanak-kanak menjaga cermin mata mereka?
Kanak-kanak perlu diajar menanggalkan cermin mata menggunakan kedua belah tangan dengan betul. Gunakan air dan sabun untuk membasuh cermin mata dan gunakan kain yang lembut untuk mengelapnya bagi mengelakkan calar pada kanta cermin mata. Bingkai cermin mata kanak-kanak perlu kerap dibaiki kedudukannya.
Apakah yang perlu anda lakukan sekiranya anak anda tidak mahu memakai cermin mata?
Sokongan dan dorongan ibu bapa amat penting dalam membantu anak mereka untuk memakai cermin mata.
Terdapat beberapa cara bagi untuk memastikan anak anda memakai cermin mata :
- Pastikan preskripsi cermin mata adalah betul. Sekiranya preskripsi adalah betul, cuba terangkan keperluan memakai cermin mata kepada anak anda.
- Pastikan bingkai cermin mata anak anda sesuai dan selesa dipakai.
- Periksa kedudukan cermin mata secara berkala bagi memastikan tidak terdapat sebarang alahan pada kulit.
- Pilih bingkai cermin mata yang tahan lama serta mempunyai bingkai cermin mata dengan tangkai yang boleh dililit di belakang telinga. Ini boleh membuatkan bingkai cermin mata berada pada kedudukan yang baik dan sukar ditanggalkan oleh kanak-kanak.
- Pastikan kanak-kanak selesa dengan pemakaian cermin mata. Mulakan dengan memakai cermin mata untuk tempoh satu jam atau lebih dan tambahkan waktu pemakaian sehingga kanak-kanak tersebut boleh mengadaptasi dan memakainya untuk jangka masa yang lebih lama. Adakalanya walaupun preskripsi cermin mata adalah betul, kanak-kanak mungkin berasa sakit mata atau pening kepala semasa proses adaptasi memakai cermin mata baru.
Kata-kata yang boleh menggalakkan kanak-kanak memakai cermin mata
- Beri komen atau tumpuan pada sesuatu yang lain bukan hanya pada cermin mata. Kebanyakan ibu bapa memberi komen berkaitan cermin mata. Sebagai contoh, beri pujian pada mata yang cantik, senyuman yang menawan dan perangai yang baik.
- Beri komen pada aspek tertentu pada cermin mata
Tidak cukup dengan hanya mengatakan kanak-kanak kelihatan menarik dengan cermin mata. Ibu bapa perlu memberi komen mengenai warna cermin mata, bentuk cermin mata sesuai dengan bentuk muka dan personaliti kanak-kanak.
Tanpa komen yang baik, kanak-kanak mungkin rasa malu atau sedih untuk memakai cermin mata
Kanak-Kanak Rabun?
Sumber: www.myhealth.gov.my
Kesian tgk kanak-kanak yg pakai cermin mata...kita yg besar ni pun tk brape selesa apa lg diorg...perlu sokongan yg kuat bg diorg...
BalasPadampada awalnye memang kesian...tapi anak2 yg rabun memang sangat2 memerlukan cermin pada bg mereka yg rabun...sebab agak susah untuk mereka meneruskan pembelajaran terutama didalam kelas..akan menyebabkan pembelajaran yang merosot disebabkan penglihatan mereka.. mediakal check up mata pada peringkat awal kanak2 seawal 3 tahun adalah sangat penting...agar mereka tidak terasa kabur dan confius dengan penglihatan mereka sendiri..
Padamanak saya aada hyperopia... rabun dekat if not mistaken..dont know what to do and the next step...
BalasPadam