Mitos & Fakta Tentang Susu Ibu
Mitos & Fakta Tentang Susu Ibu
Susu berwarna kekuning-kuningan yang sewaktu pertama kali bayi menyusu adalah susu basi!
FAKTA : Lazimnya di awal proses penyusuan terdapat cecair berwrna kekuningan (kolostrum) bertindak sebagai antibodi pertama
bayi. Kolostrum hanya hadir pada tiga atau empat hari yang pertama
hayat seorang bayi dan hanya sekali itu sahaja dalam tempoh enam bulan
atau tempoh dua tahun tempoh penyusuannya. Ia tidak akan berulang!.
Kolostrum adalah makan pertama yang paling baik untuk bayi. Susu formula
tidak dapat meniru kolostrum susu ibu. Kolostrum yang dijual di pasaran
adalah ekstrak kolostrum susu lembu tetapi tidak sesuai untuk bayi.
Payu dara ibu menyusu akan lebih cepat mengendur.
FAKTA : Secara alami saiz payu dara akan berisi sepanjang sembilan
bulan kehamilan. Proses pembesaran itu berlaku ekoran kerana proses
mamogenesis - pembentukan kelenjar mamari untuk persediaan menghasilkan
susu apabila bayi lahir kelak. Jika ibu tidak menyusukan bayinya selepas
bayi lahir; saiz payu dara ibu akan menurun cepat dan drastik manakala
saiz payudara ibu yang menyusukan bayinya akan menurun secara
perlahan-lahan.
Bayi akan sentiasa melekap pada ibu.
FAKTA : Ibu adalah manusia pertama bayi kenal. Manakan tidak sembilan
bulan bayi menumpang teduh di dalam rahim ibunya, setelah menjenguk
dunia bayi secara eksklusif menyusu dari payudara ibunya lebih dari 10
kali sehari. Impak dari hubungan intim itu mungkin memberi kesan kepada
keakraban hubungan di antara ibu dan anak. Usah bimbang kerana tempoh
melekap dengan ibu sebenarnya sangatlah singkat, mungkin sekitar enam
bulan sahaja, dua tahun atau mungkin lebih sehingga tida tahun atau lima
tahun. Ketahuilah wahai ibu-ibu sekalian, bayi yang menyusu ibu akan
membesar menjadi individu yang lebih berdikari, berasa selamat dan
dilindungi, lebih berkeyakinan dan kurang menangis. Ini kerana sewaktu
proses menyusu bayi berpeluang berinteraksi lebih rapat dan dakapan ibu
membuatkan si manja rasa disayangi selalu.
Susu ibu tidak sesedap susu formula.
FAKTA : Hakikat sebenar susu formula telah ditambah pelbagai rencah
untuk menyedapkannya. Sekalipun apa jua kenyataan yang mereka uar-uarkan
mengenai kehebatan setiap produk susu mereka, belum ada mana-mana susu
formula boleh menandingi khasiat yang sedia terkandung dalam susu ibu.
Gula dalam susu ibu adalah gula ringkas yang lebih mudah dicerna dan
diserap oleh usus bayi berbanding gula kompleks yang terkandung di dalam
susu formula. Oleh itu bayi mendapat nutrien lebih mudah daripada susu
ibu.
Payu dara kecil : susu kurang.
FAKTA : Semua ibu
secara semula jadi boleh menghasilkan susu yang mencukupi. Saiz payu
dara KECIL atau BESAR bukan ukuran susu yang dihasilkan banyak atau
kurang. Kelenjar mamari adalah kelenjar yang khusus menghasilkan susu
yang terdapat pada wanita, jadi tidak bermakna saiz payu dara boleh
membantutkan hasrat anda untuk menyusukan anak anda.
Apabila anda memilih untuk menyusukan anak anda sepenuhnya, anda harus mengawal dan berwaspada dengan apa yang anda makan.
FAKTA : Semua orang disarankan untuk menjaga kesihatan bukan hanya
melibatkan ibu-ibu yang menyusu secara ekslusif. Makan secara sederhana
dan mengikut keperluan badan. Bagi ibu yang menyusu yang gemarkan
minuman berkafeina (kopi), ibu boleh minum kopi sebaik sahaja selepas
menyusu. Rasionalnya ialah kafein dalam kopi telah selesai dicernakan,
dicairkan dan dikumuhkan apabila tiba masa penyusuan seterusnya iaitu
dua jam kemudian. Oleh itu kepekatan kafein dalam darah sudah menurun.
Kaedah ini juga boleh dipraktikkan bagi ibu yang perlu mengambil
ubat-ubatan tertentu.
Susu ibu terlalu cair (banyak air).
FAKTA : Jika susu ibu yang diperah ke dalam botol diletakkan di atas
meja seketika, kita akan dapat melihat susu ibu itu menjadi tiga lapisan
iaitu warna keruh di lapisan paling bawah diikuti susu kekuningan di
tengah dan susu putih pekat lemak berkrim di lapisan paling atas. Tetapi
keadaan adalah sebaliknya bagi susu formula, lapisan cair paling atas
manakala lapisan pekat di bawah (lemak berketumpatan tinggi). Bagi susu
ibu, 80 peratus kandungan adalah air. Susu ibu terdiri daripada susu awal (foremilk) untuk menghilangkan dahaga dan susu akhir (hindmilk)
untuk penyebab kenyang bayi. Naluri semula jadi manusia minum sebab
dahaga, maka itulah yang diberi oleh ibu terlebih dahulu kepada bayinya
melalui susu awal (foremilk) yang mengandungi lebih air dari laktosa.
Kemudian barulah susu akhir yang pekat (kandungan lemak tinggi) yang
akan menyebabkan kenyang.
Puting susu ibu perlu dicuci sebelum menyusukan bayi.
FAKTA : Puting payu dara bersifat antibakteria. Kajian yang dijalankan
untuk melihat reaksi bayi pada sentuhan pertama kulit ke kulit (satu jam
pertama selepas kelahiran) menunjukkan kecenderungan bayi untuk memilih
puting susu ibu yang tidak dicuci berbanding puting susu ibu yang telah
dicuci kerana aroma semulajadi ibu lebih menarik bayi. Bintik-bintik
kecil disekeliling payu dara mengandungi bahan pelincir (sebum) yang
bersifat antibakteria. Mencuci payu dara memadai dengan mandi biasa dua
kali sehari, tidak perlu mencuci dengan sabun, bahan pencuci.
Penyusuan ibu mengambil nutrien daripada ibu. Ibu perlu makan lebih.
FAKTA : Nutrien dalam susu ibu bergantung kepada nutrisi ibu. Oleh itu
ibu yang menyusu (dan sesiapa sahaja sebenarnya) perlu mengambil nutrisi
seimbang untuk mengoptimumkan kesihatannya. Ibu boleh makan apa sahaja
tetapi dalam kuantiti yang betul dan sentiasa awas jika terdapat
tanda-tanda alahan kepada bayi, maka ibu harus waspada dengan
pengambilan makanannya. Risiko osteoperosis di kalangan ibu-ibu menyusu
lebih rendah berbanding wanita yang tidak menyusu.
Menyusu boleh mengubah saiz badan ibu.
FAKTA : Ibu yang menyusukan bayi lebih mudah menurunkan berat badan,
selain itu uterus juga lebih cepat mengecut berbanding ibu-ibu yang
memilih untuk tidak menyusukan bayi secara eksklusif.
terima kasih untuk perkongsian.saya pon ada study berkenaan mitos penyusuan susu ibu ni.jemput baca
BalasPadamhttp://nastashanordin.blogspot.com/2014/09/mitos-penyusuan-susu-ibu-yang.html