Terkini

Menu

Anak Sukar Tidur

Anak Sukar Tidur

anak sukar tidur

Masalah bayi yang meragam serta enggan tidur pada waktunya memang sering berlaku. Ia boleh memberi kesan yang mendalam hingga menjejaskan kualiti kehidupan sekeluarga terutama kepada ibu bapa yang kepenatan akibat tidak cukup tidur sehingga berbulan lamanya.



Jika setiap hari ibu bapa hanya ‘tidur-tidur ayam’ sekitar tiga atau empat jam sehari, tentulah ia mengganggu emosi selain menjejaskan tumpuan menguruskan kerjaya dan kehidupan seharian.


Bagi bayi pula, masalah tidak cukup tidur atau waktu tidur yang tidak tetap menyebabkan mereka sering meragam, merengek serta kurang ceria. Keadaan itu sudah pasti memberi kesan kepada pertumbuhan diri, emosi serta tahap intelektual kerana tumpuan terganggu dan menjejaskan pertambahan berat badan.


Pakar tidur bayi dan kanak-kanak, Sarah Ong berkata, masalah sukar tidur bukan satu perkara yang asing dalam kalangan bayi malah kira-kira seorang daripada empat bayi mengalaminya.



ANNA Karina (kiri) dan Sarah membantu Maira untuk tidur dengan lebih nyenyak pada waktu malam.

Bagaimanapun katanya, biarpun masalah itu sesuatu yang normal, ia tidak seharusnya dipandang mudah atau dibiarkan berlarutan kerana kesannya pada seluruh ahli keluarga.

“Apabila bayi tidak cukup tidur dan sering merengek, bukan saja dirinya sendiri menjadi tidak tenteram, malah seluruh keluarga juga tidak cukup tidur dan itu boleh memberikan kesan yang kurang baik kepada semua orang.


“Ibu bapa terutama yang bekerja akan merasai kesannya kerana tidak cukup rehat dan keadaan itu boleh me­nyebabkan suasana keluarga menjadi tertekan sehingga berbulan lamanya,” katanya.


Menurut Sarah, membenarkan bayi atau kanak-kanak kecil menonton televisyen atau menggunakan barangan elektronik seperti iPad, telefon bimbit atau komputer sedangkan waktu tidurnya semakin hampir adalah satu kesilapan yang sering dilakukan oleh ibu bapa.


Katanya, apabila bayi didedahkan dengan suasana yang merangsang minda­nya, ia berada dalam keadaan berjaga dan apabila dipaksa tidur, tentu si bayi itu tidak mahu dan akan meragam.


“Apabila waktu tidur semakin hampir, bayi dan kanak-kanak perlu didedahkan kepada persekitaran yang menenangkan supaya dia akan mula rasa mengantuk dengan sendirinya, seterusnya memudahkannya tidur tanpa perlu dipaksa,” katanya.


Antara cara yang boleh digunakan bagi membuat­kan anak kecil mudah tidur adalah dendangan nyanyian yang lembut daripada ibu bapa, memberikan urutan, mengaji atau membacakan buku cerita sebelum tidur.


Semua aktiviti berkenaan bertujuan untuk membuat­kan bayi berasa tenang dan mudah mengantuk di mana rutin itu harus dipraktikkan sehinggalah masa tidur bayi menjadi teratur dan tidur tepat pada waktunya.


Sarah yang membantu ibu bapa dengan memberikan teknik yang betul untuk menidurkan anak mereka berkata, sehingga kini dia sudah membantu kira-kira 80 bayi dan kanak-kanak berusia antara enam bulan sehingga lima tahun untuk tidur pada waktu yang tetap.


Katanya, profesion sebagai pakar tidur bayi dan kanak-kanak kelihatan agak asing di negara ini, tetapi ia adalah satu daripada bidang yang meluas di luar negara. Malah dia memilih profesion berkenaan atas dasar membantu ibu bapa lain menangani masalah anak sukar tidur berdasarkan pengalamannya sendiri sebagai ibu kepada dua anak.


“Saya memilih bidang ini untuk membantu ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah tidur kerana saya sendiri sudah mengalaminya dan tahu kesannya kepada ibu bapa dan keluarga.


“Ketika anak saya sendiri sukar tidur, saya tercari-cari pakar yang dapat membantu. Akhirnya saya bertemu dengan seorang pakar tidur bayi dan kanak-kanak dan kemudian saya sendiri me­ngambil kursus dan peperiksaan supaya mendapat kelayakan untuk membantu ibu bapa lain,” katanya.



Setiap bayi ada teknik berbeza

Menurutnya, ada yang berpendapat corak tidur anak mereka akan berubah menjadi lebih teratur seiring usia, namun sebenarnya ia adalah anggapan yang salah kerana corak tidur ketika kecil boleh berterusan dan mempengaruhi pertumbuhan fizikal dan mental.


Katanya, buku berkaitan teknik menidurkan bayi memang banyak di pasaran selain boleh dicari di Internet, tetapi ia ditulis secara am dan tidak khusus kepada setiap keadaan bayi itu sendiri.


“Malah buku yang ada terlalu banyak sehinggakan kita tidak mampu membaca kesemuanya untuk mendapatkan tip dan teknik terbaik untuk anak masing-masing,” katanya.


Sarah berkata, biarpun ada sesetengah ibu bapa lebih selesa mendapatkan teknik daripadanya menerusi media sosial seperti Skype, dia lebih gemar bertemu pelanggan dan melihat sendiri rumah serta aktiviti mereka sebelum waktu tidur anak supaya mendapat gambaran tepat dan mencari penyelesaian kepada masalah itu.


Katanya, setiap bayi yang bermasalah tidur mempu­nyai keperluan teknik yang berbeza kerana ia juga bergantung kepada cara layanan dan aturan yang sudah ditentukan oleh ibu bapa.


Teknik menidurkan bayi yang dirangka oleh Sarah juga bergantung kepada suasana sekeliling bayi berkenaan dan sama ada ibu bayi bekerja atau tidak serta usia bayi atau kanak-kanak itu sendiri.


“Bayi yang lebih kecil tidur lebih banyak dan sekitar jam 10 malam, mereka sepatutnya sudah melelapkan mata tetapi ada bayi yang berjaga sekitar tengah malam dan enggan tidur.


“Bayi hanya akan tidur jika ia berhadapan dengan keadaan rutin, misalnya jika ia sudah biasa dibuai atau didodoi, jadi ibu bapa perlu melakukan perkara itu untuk memastikan bayi mereka berasa selesa dan mudah tidur.


“Namun ada ibu bapa yang mahu anak mereka tidur sebilik di dalam katil bayi, ada pula yang mahu anak mereka tidur asing di bilik sendiri. Itu tidak menjadi masalah asalkan anak mereka dapat tidur dengan selesa, begitu juga mereka,” katanya.


Sarah berkata, bagi memastikan corak tidur bayi berubah dan tidur pada masanya, ibu bapa perlu bersabar dan bertahan dengan perubahan rutin untuk beberapa hari atau minggu bagi menyesuaikan rutin itu ­dengan bayi mereka.


Katanya, peratusan kejayaan bergantung kepada kesanggupan ibu bapa me­ngikut teknik dan rutin yang digariskan. Sekiranya mereka hanya mengikutnya separuh jalan, usaha membantu anak tidur mengikut jadual akan menemui jalan buntu.


“Bagi saya, lebih baik bayi dilatih untuk tidur sendiri tanpa memerlukan sebarang ‘bantuan’ misalnya puting. Selalunya bayi yang berusia enam bulan ke atas boleh dilatih dan dibiarkan tidur dengan sendirinya.


“Jika ibu bapa mengikut rutin yang disarankan kepada bayi mereka, perubahan corak tidur boleh dilihat hanya dalam tempoh antara tiga hingga empat hari. Jika selalunya bayi terjaga setiap dua jam dan menangis, mereka boleh tidur lebih lama dan sepanjang malam,” katanya.


Komitmen ibu bapa dalam membantu bayi mereka untuk tidur secara teratur sememangnya penting untuk kesan yang berpanjangan dan tidak mengamalkan teknik yang diberi separuh jalan.


Amat penting untuk bayi mendapatkan tidur yang cukup, bukannya bangun menangis setiap beberapa jam di tengah malam kerana perkembangan otak berlaku ketika tidur.


Sekira­nya bayi atau kanak-kanak kecil tidak mendapat tidur yang cukup, tumpuan belajar dan perkembangan intelektual mereka boleh terganggu terutama bagi yang sudah mula menghadiri kelas prasekolah.


Menurut Sarah, selain ‘mood’ anak akan berubah dan gemar meragam dan merengek, berat badan mereka juga boleh meningkat mendadak sekiranya dibiarkan berlarutan lama akibat metabolisma yang terganggu kerana tidak cukup rehat.


Sementara itu, ibu muda, Anna Karina Ariffin, 32, yang mempunyai seorang anak perempuan, Maira, yang sukar tidur berkata, biarpun diletakkan dalam bilik berasingan, tangisan bayinya itu setiap malam membuatkan dia dan suami tidak cukup tidur selama berbulan-bulan.


Katanya yang mendapatkan bantuan daripada Sarah, Maira yang berusia 19 bulan sebelum itu sering terjaga di tengah malam dan menangis mahu didukung biarpun dia tidak lapar.


“Salah satu kesilapan yang saya sedari ketika mula-mula mendapatkan bantuan daripada Sarah adalah saya membenarkan anak saya menonton televisyen atau menonton kartun di iPad sebelum tidur.


“Setiap kali saya mahu menidurkannya, dia meragam dan tidak mahu tidur. Malah, bila sudah tidur pula, dia sering terjaga malam,” katanya yang meletakkan jawatan untuk memberi perhatian khusus kepada anaknya itu.


Katanya, selepas mendapatkan teknik yang betul cara menidurkan bayi daripada Sarah, dia gembira dengan perubahan yang dialami Maira dan kurang seminggu mempraktikkan rutin yang diberi, anaknya menunjukkan perubahan positif dan kini tidur sepanjang malam.


Rutin yang dipraktikkan oleh Anna Karina dalam usaha memujuk bayinya tidur adalah tidak lagi mendedahkannya dengan suasana yang membuatkan mindanya ligat sebelum tidur, memberi minum, memakaikan baju tidur dan membacakan buku cerita sebelum anaknya mula mengantuk dan kemudian terus diletakkan dalam katil bayi dalam bilik berlainan.


“Ketika Maira sukar tidur malam, saya juga tidak cukup rehat. Suami juga tidak cukup tidur sehingga suasana rumah menjadi kurang ceria. Apabila tidak cukup rehat, masing-masing jadi mudah marah.


“Tetapi kini apabila anak saya sudah boleh tidur mengikut waktu yang sama setiap hari, ia secara langsung memberi peluang pada kami suami isteri untuk berehat selepas masing-masing penat menguruskan urusan seharian,” katanya.


Sumber: www.hmetro.com.my
Anak Sukar Tidur

Share This:

PENAFIAN

Segala penulisan dan testimoni berkenaan produk yang dikongsi di laman ini bukan bertujuan untuk mendiagnosis, merawat atau menyembuhkan apa jenis penyakit dan masalah kesihatan. Pembaca yang mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan terlebih dahulu


Sebahagian artikel adalah dari sumber luar yang dinyatakan punca sumbernya.

2 ulasan to ''Anak Sukar Tidur"

ADD COMMENT
  1. Nak tau macm mana nak hubungi sarah? Sy sbg seorang ibu mengalami masal yg sama sehingga memberi teknan kepada saya

    BalasPadam
    Balasan
    1. Maternity & Child Sleep Consultant, Miss Sarah Ong dari The Sleep Champ Baby. http://sleepchampbaby.com/

      Padam

  • To add an Emoticons Show Icons
  • To add code Use [pre]code here[/pre]
  • To add an Image Use [img]IMAGE-URL-HERE[/img]
  • To add Youtube video just paste a video link like http://www.youtube.com/watch?v=0x_gnfpL3RM