Kenapa bayi muntah?
Kenapa bayi sering muntah?
Muntah merupakan suatu kebiasaan bagi bayi yang baru lahir sehinggalah ia berumur 6 bulan. Mungkin anda tertanya-tanya apakah ia sesuatu yang normal atau merisaukan.
Muntah bagaimana yang normal?
Kebanyakan bayi di antara 0 hingga 6 bulan akan muntah selepas menyusu. Kuantiti muntah bergantung kepada individu. Walaubagaimana pun, senario ini adalah normal. Di hujung esofagus (laluan makanan dari mulut ke perut) terdapat bahagian yang berfungsi seperti “pintu” yang boleh terbuka dan tertutup untuk mengasingkan esofagus dan perut. Bagi bayi yang baru lahir, “pintu” ini selalunya tidak akan tertutup dengan baik sebagaimana orang dewasa. Akibatnya, kandungan perut akan terkeluar balik sebagai muntah.
Sebagai ibu bapa, tentulah merisaukan jika kita lihat bayi kesayangan memuntahkan sebagian besar susunya. Tetapi, selagi bayi tidak menangis dan menunjukkan peningkatan berat badan, tiada apa yang perlu dirisaukan. Selalunya, keadaan ini akan semakin berkurangan apabila usia bayi mencecah 6 bulan di mana bahagian esofagusnya akan berfungsi dengan lebih baik.
Apa yang perlu dilakukan?
- Sebaiknya, sebelum bersalin, beli kain khas untuk mengelap muntah. Tuala “Good Morning” yang murah sudah memadai.
- Apabila mengelap muntah pada mulut atau bahagian badan bayi, jangan terlalu kasar kerana kulit bayi sangat lembut.
- Sediakan juga bib bayi untuk melindungi pakaian bayi dari terkena muntah.
- Sewaktu memandikan bayi, pastikan anda membasuh dengan baik di celah lipatan-lipatan lehernya kerana sisa-sisa muntah boleh menyebabkan ruam atau sebarang masaalah kulit.
- Posisikan bayi anda pada sudut 30 darjah sewaktu menyusu dan jangan lupa untuk “burp” (dilakukan dengan menepuk lembut belakang bayi sehingga bayi sendawa) bayi.
- Sesudah menyusu, elakkan membaringkan bayi secara mendatar. Letakkan bantal atau kain di bawah kepala bayi sehingga ia berada pada sudut 30 darjah.
Bila perlu berjumpa doktor?
Apabila bayi menangis sewaktu muntah atau berat bayi tidak meningkat, cepat-cepat berjumpa doktor. Ia mungkin disebabkan oleh alahan makanan atau keadaan yang dipanggil “refluks esofagus”.
Bagi bayi yang mempunyai alahan makanan, ibu yang menyusu harus memantau apa yang dimakannya. Kebiasaannya, makanan yang boleh menyebabkan alahan termasuklah makanan laut, susu, kopi atau sebarang makanan pedas. Senaraikan makanan yang berpotensi menyebabkan alahan dan cuba elakkan salah satu daripada makanan tersebut selama 7 hari dan pantau jika ada sebarang perubahan pada bayi anda. Jika tiada perubahan, cuba elakkan makanan yang seterusnya. Sebaik-baiknya, elakkan mengambil sebarang benda yang berkafein seperti kopi dan teh.
Refluks esophagus kebiasaannya boleh dirawati dengan ubat khas. Jika bayi anda muntah terlalu banyak, segeralah berjumpa doktor kerana bayi mungkin mempunyai gangguan di bahagian bawah perut.
alhamdulillah, satu perkongsian yang menarik.aspek kesihatan, kebersihan dalam menguruskan baby amat penting & alhamdulillah time anak sy dulu..memang kami sangat2 menjaga segala aspek.moga akan2 datang pun macam tu.in shaa Allah
BalasPadam