Makna Tangisan Bayi
Makna Tangisan Bayi
MENGAPA bayi anda selalu menangis? Ibu bapa perlu memahami bahawa bayi menangis kerana ia adalah satu-satunya cara untuk mereka berkomunikasi. Bagi mereka yang baru menimang cahaya mata mungkin tangisan yang didengari seperti ia memerlukan sesuatu daripada anda. Peredaran waktu dalam membesarkannya memudahkan anda memahami erti setiap tangisan bayi sehingga diri tidak lagi panik atau putus asa kerana tangisannya.
Apa yang dilakukan ibu setiap kali bayinya menangis? Kalau tidak menyusui usaha terakhir yang dilakukan ibu adalah mendukung bayinya. Namun, apa yang harus dilakukan jika ternyata kedua-dua cara tersebut tidak berkesan?
Memahami makna tangisan si kecil adalah kuncinya. Setiap ibu perlu tahu, bahawa tangisan adalah alat komunikasi pertama yang dikuasai oleh bayi. Melalui tangisan, bayi berusaha mengutarakan keinginan dan keperluannya kepada si ibu.
Hakikatnya, bayi sememangnya memerlukan belaian kasih sayang ibu bapa dan tangisan berkenaan menjadi penghubung kepada komunikasi berkenaan.Berikut beberapa punca mengapa bayi menangis:
Lapar
- Tangisan kerana lapar biasanya terus-menerus, iramanya teratur, lama-kelamaan bertambah keras. Periksa bila waktu terakhir anda memberi makanan atau susu kepada bayi anda. Jika bayi belum disusui selepas satu hingga dua jam atau dengan susu formula sekitar dua jam ia mungkin disebabkan bayi menangis kerana lapar.
Minta digantikan lampin
- Bayi tidak selesa jika mereka dalam keadaan kotor atau basah. Tangisannya mirip seperti tangisan lapar. Jika bayi masih menangis walaupun sudah diberikan susu itu tandanya dia tidak selesa. Jika bayi tidak menangis walaupun lampinnya basah atau kotor, ibu bapa perlu melakukan pemeriksaan berkala bagi mengelakkan dia terdedah kepada penyakit.
Kesejukan
- Bayi baru lahir lebih selesa dibungkus dengan kain sehingga menjadi hangat. Ini kerana mereka sudah biasa dihangatkan dan selesa sewaktu dalam rahim ibu. Tangisannya dapat didengar jika anda membuka bajunya untuk dimandikan atau menukar lampin kerana dia kehilangan kehangatan dan keselesaan. Tangisannya kedengaran seperti rintihan.Bagaimanapun, selepas dipakaikan baju atau selimut bayi berhenti menangis. Jangan membungkus terlalu kuat atau memberikan baju berlebihan kerana bayi boleh kepanasan.
Minta didukung atau dipeluk
- Bayi sangat suka melihat wajah ibu bapanya, mendengar suara, degupan jantung dan mencium bau tubuh ibu (terutama bau daripada air susu ibu). Mereka selesa dipeluk selepas menyusu, dimandikan atau digantikan lampin dan yakinlah bayi anda boleh tertidur dalam pelukan anda. Bayi menangis untuk menarik perhatian anda.
Keletihan
- Ada bayi yang tidak biasa dengan suasana baru menangis kerana mereka berasa penat dan sukar tidur. Mereka mula menangis jika ada gangguan kecil. Kita boleh menilai bayi keletihan dengan melihat bayi mengusap mata atau telinganya. Anda dapat menghindarinya dengan sering memberikan waktu rutin untuk bayi berehat atau tidur.
Pendedahan berlebihan
- Tidak semua bayi boleh berdepan persekitaran barunya. Jika bayi berada di tempat baru dan ramai orang ingin mendukungnya secara bergilir-gilir ia menyebabkan bayi tidak selesa.
- Bayi menangis kerana berdepan ramai orang. Dalam situasi seperti ini tenangkan si kecil, dukung, bawa ke tempat sunyi dan bataskan orang yang ingin mendukungnya.
Bosan
- Jangan fikir bayi hanya menangis kerana lapar dan basah lampinnya sahaja. Sesekali bayi juga boleh bosan dengan rutin harian dilaluinya. Cuba bawa bayi anda berjalan-jalan. Bayi suka melihat warna jadi apabila dia sudah boleh meniarap letakkan mainan atau buku dengan gambar menarik.
Tangisan kerana sakit
- Tangisan bayi dalam kesakitan berbeza dengan tangisan kelaparan. Bayi menangis dengan keras, menahan nafas sebentar kerana tidak selesa dan sekali-sekala menangis dengan nada tinggi. Jika tidak tahu puncanya bawalah bertemu doktor untuk rawatan.
Secara keseluruhan tangisan bayi adalah proses komunikasi antara bayi dan ibu bapa terutama dalam menghantar mesej dialaminya.
Sumber: Harian Metro
Makna Tangisan Bayi
Makna Tangisan Bayi
No Comment to " Makna Tangisan Bayi "