42 Cara Mencungkil Keistimewaan & Kepintaran Anak Anda
42 Cara Mencungkil Keistimewaan & Kepintaran Anak Anda
Kajian di Universiti Harvard mendapati bahawa kanak-kanak mempamerkan keistimewaan atau kepintaran melalui banyak cabang iaitu bahasa, matematik, muzik, gambaran, fizikal dan sosial. Seperti kata seorang cendikiawan, “Semua kanak-kanak adalah pintar, hanya sesetengah dari mereka memperlihatkannya sedikit lewat dari yang lain”
Anda boleh memainkan peranan yang amat penting untuk mendedahkan keistimewaan yang terpendam atau mengembangkan bakat yang sedia ada melalui pengalaman yang anda berikan kepada anak-anak anda di rumah. Senarai di bawah adalah 42 cara terbaik untuk mencungkil keistimewaan mereka:-
1. Biarkan anak anda mencari sendiri minatnya. Beri perhatian kepada aktiviti yang ia pilih diwaktu lapang. Semua ini dapat memberi petunjuk kepada anda tentang bidang yang ia paling minati.
2. Dedahkan anak anda kepada pengalaman yang pelbagai. Ini mungkin akan membangkitkan keistimewaannya yang terpendam selama ini. Jangan sesekali membuat kesimpulan bahawa anak anda tiada kelebihan di dalam sesuatu bidang jika dia belum menunjukkan minat.
3. Beri peluang kepada anak anda untuk membuat kesilapan. Jika ia dipaksa melakukan sesuatu tanpa kesilapan, ia akan membesar tanpa berani mengambil risiko yang sepatutnya untuk mencari dan mengembangkan keistimewaannya.
4. Kemukakan pertanyaan. Bantu anak anda menjelajah keajaiban alam ini dengan bertanya kepadanya soalan-soalan yang merangsangkan pemikiran. Contohnya; Kenapa langit berwarna biru? Cari jawapannya bersama-sama anak anda.
5. Rancangkan satu projek kreatif khas yang melibatkan semua ahli keluarga. Perkongsian kreativiti boleh membangkit dan mengembangkan bakat baru.
6. Jangan memberi tekanan kepada anak anda untuk belajar. Jika anak-anak dihantar untuk pelajaran khas setiap hari dengan harapan untuk mengembangkan keistimewaannya, mereka mungkin akan menjadi terlalu tertekan dan letih untuk menyerlah. Beri galakan tetapi jangan memberi tekanan.
8. Kongsikan pengalaman pekerjaan anda. Dedahkan gambaran kejayaan kepada anak anda dengan membawanya ke tempat anda bekerja. Biarkan anak anda melihat anda melakukan aktiviti yang bermakna dan benarkan dia terlibat dalam aktiviti tersebut.
9. Wujudkan persekitaran yang kaya dengan rangsangan deria. Sediakan bahan-bahan di rumah yang boleh menggalakkan perkembangan deria pendengaran, sentuhan, penglihatan, rasa dan bau. Contohnya adalah seperti cat jari, boneka tangan dan alat-alat bunyian.
10. Kekalkan semangat dan minat anda terhadap ilmu dan pendidikan kerana ia akan menjadi teladan baik kepada anak anda.
11. Jangan memanggil atau melabel anak anda dengan sesuatu panggilan atau label yang negatif kerana ia akan menghadkan keazamannya untuk mengembangkan keistimewaan dalamannya.
12. Adakan aktiviti permainan bersama sekeluarga.
13. Wujudkan masa sekeluarga yang tetap untuk membaca, berhibur dan berbincang bersama-sama.
14. Sediakan bahan-bahan rujukan untuk anak anda menjelajah dunia ini.
15. Benarkan anak anda mengambil bahagian dalam aktiviti komuniti yang ia minati.
16. Gunakan senda-gurau, jenaka dan cerita rekaan untuk menggalakkan kreativiti mereka.
17. Jangan cepat mengkritik atau menghakimi perkara yang anak anda lakukan. Ia mungkin akan berputus asa untuk mengembangkan bakatnya.
18. Bermainlah dengan anak anda untuk menunjukkan sifat periang anda.
19. Berkongsilah kejayaan bersama keluarga. Adakan sesi berbincang berkenaan perkara baik yang terjadi setiap hari untuk meningkatkan keyakinan diri
20. Bekalkan anak anda dengan kemudahan komputer di rumah atau sekolah.
21. Dengar dengan teliti perkataan anak anda. Perkara yang ia paling ambil berat mungkin memberi petunjuk kepada bakat istimewanya.
22. Berikan anak anda kawasan khas di rumah untuk melakukan aktiviti kreatifnya.
23. Pujilah sikap tanggungjawabnya apabila ia berjaya melengkapkan kerja di rumah yang diberikan.
24. Adakan lawatan sekeluarga ke tempat-tempat baru.
25. Berikan anak anda permainan yang terbuka (cara bermain yang tidak mempunyai had). Mainan seperti blok (Lego dsb.) dan boneka menggalakkan imiginasi.
26. Berikan anak anda masa bebas untuk berfikir dan berangan-angan tentang masa depan.
27. Berkongsilah kisah-kisah inspirasi tentang orang-orang yang telah berjaya dalam masyarakat.
28. Elakkan merasuah anak anda untuk belajar. Berbuat demikian akan memberi mesej bahawa pembelajaran itu bukan sesuatu yang memberi kepuasan sendiri.
29. Cadangkan anak anda untuk menyertai perkumpulan yang memfokus pada bakat semulajadinya.
30. Bincangkan berita-berita semasa untuk mencetus minatnya.
31. Jangan terlalu tonjolkan perbezaan peranan umum dari segi jantina. Dedahkan anak anda dengan kedua-dua mainan dan aktiviti untuk lelaki dan perempuan.
32. Elakkan membanding anak anda dengan orang lain. Bantu anak anda membandingkan dirinya dengan pencapaian lampaunya sendiri.
33. Jadilah ibu atau bapa yang anak anda boleh bergantung, meluah perasaan dan berbincang.
34. Gunakan acara dan institusi komuniti untuk menghidupkan minatnya. Selalulah membuat lawatan ke perpustakaan, muzium, pameran dan sebagainya.
35. Berikan hadiah yang boleh menyuburkan kekuatan bakat anak anda.
36. Galakkan anak anda untuk berfikir tentang masa depannya. Sokong cita-citanya tanpa memaksanya untuk menjurus kepada bidang-bidang yang terlalu spesifik.
37. Perkenalkan anak anda kepada orang yang berperwatakan menarik dan hebat.
38. Jadikan rumah anda sebagai tempat belajar. Contohnya, dapur boleh dijadikan tempat belajar matematik dan sains melalui aktiviti memasak.
39. Kongsi perasaan. Bakat anak anda mungkin terus dipendam jika emosinya tertekan.
40. Galakkan anak anda membaca.
41. Hargai hasil-hasil ciptaan dan rekaan anak anda.
42. Adakan aktiviti bersama-sama anak anda di dalam bidang-bidang yang ia minati.
(Artikel asal 42 Cara Mencungkil Keistimewaan & Kepintaran Anak Anda ini ditulis oleh Thomas Amstrong, Phd. Diterbitkan oleh majalah Family Circle, February 2, 1993. Terjemahan dan olahan oleh S.Anuar)
Credit: bacalahanakku.wordpress.com
Credit: bacalahanakku.wordpress.com
terbaik dan bermanfaat
BalasPadamThanks for sharing
BalasPadamhttp://nutribiolife.blogspot.com