Terkini

Menu

Kenal Pasti Ciri Anak Dyslexia

Kenal Pasti Ciri Anak Disleksia

Seorang lelaki berusia sekitar 45 tahun berasa ada perbezaan ketara mengenai dirinya ketika masih kecil hinggalah sudah menginjak dewasa.
Dia akui sukar untuk membandingkan antara bentuk sebenar ‘b’ dan ‘d’ yang dilihat menjadi satu masalah bagi dirinya terutama ketika ingin menulis perkataan yang mengandungi huruf berkenaan.

Kenal Pasti Ciri Anak Dyslexia

Namun, dia segera memperbaikinya jika dapat mengesan perkataan yang dieja salah dan bukannya memberi maksud seperti diinginkan jika ditulis di dalam ayat lengkap. 

Bukan itu saja, malah lelaki ini juga mengalami masalah untuk memahami ayat penuh dan panjang yang berbentuk arahan terutama berkaitan tunjuk arah.

LINDA menunjukkan cara mengenal pasti penghidap disleksia menerusi huruf dan gambar.


Walaupun memahami setiap perkataan yang dibaca, dia tidak dapat mengikutinya dengan baik dan tetap berasa sukar untuk memandu dalam keadaan selesa apabila ada lokasi yang sebelum ini belum pernah dituju.

Lelaki itu juga agak keliru untuk menentukan arah jalan sama ada kiri atau kanan walaupun faham dengan perkataan yang dibacanya. 

Nampak seperti masalah biasa dan tidak berat, namun selepas mendapatkan rawatan dia disahkan menghidap masalah disleksia. 

Menurut Pakar Terapi Pertuturan Kanan, Jabatan Fizikal dan Pemulihan Perubatan Pusat Perubatan Prince Court, Linda Blankanette, disleksia bukannya penyakit, tetapi ia salah satu gangguan pembelajaran yang biasanya dialami kanak-kanak. 

Lazimnya ia membabitkan masalah seperti membaca, menulis, mengeja dan mengira. Secara umum, 10 peratus populasi di seluruh dunia ada masalah disleksia dan mungkin angka itu lebih tinggi kerana ada sesetengah kes yang tidak dikesan. 

“Disleksia merujuk kepada individu yang menghadapi masalah membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal. 

“Ia tidak dikaitkan dengan masalah komunikasi atau kecacatan lain dan ibu bapa sukar melihat kekurangan anak mereka yang berusia di bawah tujuh tahun. Malah, ada sesetengahnya kadangkala tidak sedar mereka ada disleksia sehinggalah meningkat dewasa,” ujarnya. 

Namun, jangan terkejut sebenarnya penghidap disleksia ini mempunyai tahap kecerdasan intelektual (IQ) normal atau lebih tinggi daripada kanak-kanak biasa. 



Biasanya, kanak-kanak yang menghadapi disleksia akan menunjukkan ciri-ciri seperti tidak fokus dalam pembelajaran atau perkara yang dilakukan, banyak mengelamun dan tidak dapat menyiapkan kerja sekolah dengan baik. 

Selain itu, mereka juga menunjukkan gejala lambat bercakap, sukar memahami dan sesetengah huruf ditulis secara terbalik yang menjadi kombinasi kepada masalah dis­leksia. 

Ada juga yang sukar untuk menonjolkan diri ketika berada di dalam kelas. 

Ibu bapa perlu tahu setiap penghidap masalah disleksia itu berbeza sesama mereka yang mempunyai kelemahan masing-masing. 

Justeru, apabila ibu bapa melihat anak ada masalah seperti itu apatah lagi usianya sudah melebihi tujuh tahun, dapatkan rawatan segera dan berjumpa dengan pakar. 

“Jika dibiarkan, ia akan memudaratkan si anak misalnya mereka mungkin mudah terbabit dengan masalah juvenil. Mengikut kajian, 40 hingga 50 peratus pesalah juvenil dikaitkan dengan penghidap disleksia. 

“Apabila kita tidak peka dengan masalah yang dihadapi, ini akan membuatkan mereka rasa rendah diri, sekali gus boleh bertukar kepada masalah sikap pula,” katanya. 

Ibu bapa tidak perlu menyisihkan anak yang mempunyai masalah itu kerana mereka sebenarnya boleh dibantu. Jangan panik tetapi ibu bapa perlu rajin membuat pemerhatian dan mencari maklumat sebanyak mungkin mengenai disleksia. 

Sokongan kuat daripada ibu bapa, keluarga, guru dan rakan sememangnya penting bagi mengelakkan rasa rendah diri yang akhirnya menggalakkan masalah emosi. 

Cuba lihat kekuatan yang ada pada mereka dan berilah sokongan melalui kelebihan yang dianugerahkan. 

“Penghidap disleksia mempunyai kelebihan mereka sendiri. Untuk mengetahuinya, ibu bapa seharusnya menyelidik dengan duduk berbual atau tanya perkara yang disukai. 

“Ambil masa untuk merapatkan diri dengan anak di samping melihat bakat mereka supaya boleh dikembangkan sekali gus memberi masa depan lebih cerah,” katanya. 

Ibu bapa perlu berbincang dengan anak dan jika ingin tahu kelebihan pada dirinya, boleh cuba menggunakan gambar jika mereka mempunyai masalah untuk memahami perkataan. 

Selain itu, ajak anak melihat huruf bermula ‘a’ hingga ‘z’ dan ketahui masalah yang dialami mereka bagi memudahkan ibu bapa membantu anak menyelesaikannya dengan cara berkesan. 

Jika membabitkan bacaan, cuba gunakan warna dakwat berbeza bagi menunjukkan suku kata atau huruf berlainan bagi mengurangkan kekeliruan, sekali gus dapat membantu mereka membaca dengan baik. 

Jika ibu bapa masih keliru dengan masalah disleksia, cuba dapatkan nasihat dan pandangan daripada pakar untuk membantu anak supaya boleh berdikari dan berjaya. 

Perlu diingat, ibu bapa harus kreatif dan banyak bersabar untuk mendidik anak yang mempunyai masalah disleksia. 

Masalah berkenaan mungkin tidak dapat dikesan oleh ibu bapa yang bekerja apatah lagi jika anak dijaga oleh orang gaji atau pusat penjagaan kanak-kanak. Justeru, ibu bapa perlu sentiasa memberi perhatian terhadap perkembangan anak dengan bertanya kepada orang gaji atau penjaga pusat penjagaan itu selain guru bagi mengenal pasti keadaan sebenar mereka.

Artikel ini disiarkan Harian Metro pada : 2013/09/18



Info Tambahan: Kenal Pasti Ciri Anak Disleksia

9 bulan
Biasanya kanak-kanak sudah mula menyebut beberapa patah perkataan seperti Mama, Papa, nak, susu. Anak disleksia pula tidak berkata apa-apa, hanya mengunakan isyarat dan menunjukkan sesuatu.

2 Tahun 
Secara Purata pada peringkat ini sudah boleh menyebut pelbagai perkataan dalam sehari dan sering bercakap. Kanak-kanak disleksia kurang bercakap dan masih menggunakan isyarat untuk bekomunikasi.

5 Tahun 
Pada waktu ini kanak-kanak sudah pandai menunjukkan arah atau sesuatu sedangkan anak-anak disleksia masih tidah tahu arah (contoh arah kiri dan kanan) dan sering terlupa simbol yang pernah ditemui.

6 Tahun 
Pada waktu ini biasanya sudah pandai membaca dan menulis dengan betul. Berbanding dengan kanak-kanak disleksia mereka akan menyebut sesuka hati kerana kurang faham dan masih tidak memahami kedudukan atau arah.


Bolehkan Disleksia di atasi?
Pelbagai latihan membaca, bercakap dan stimulasi boleh digunakan oleh ibubapa untuk menangani masalah ini. Berikan perhatian yang lebih dan selalu bercakap dengan mereka untuk menambahkah keyakinan. 

Kebanyakkan kanak-kanak Disleksia boleh membaca dalam tempoh beberapa bulan atau tahun (mengikut tahap keseriusan) hasil bimbingan para guru dan ibubapa.

Sumber: Facebook

Share This:

Post Tags:

PENAFIAN

Segala penulisan dan testimoni berkenaan produk yang dikongsi di laman ini bukan bertujuan untuk mendiagnosis, merawat atau menyembuhkan apa jenis penyakit dan masalah kesihatan. Pembaca yang mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan terlebih dahulu


Sebahagian artikel adalah dari sumber luar yang dinyatakan punca sumbernya.

No Comment to " Kenal Pasti Ciri Anak Dyslexia "

  • To add an Emoticons Show Icons
  • To add code Use [pre]code here[/pre]
  • To add an Image Use [img]IMAGE-URL-HERE[/img]
  • To add Youtube video just paste a video link like http://www.youtube.com/watch?v=0x_gnfpL3RM