Terkini

Menu

Asingkan Anak-Anak Tidur Dari Bilik Ibu Bapa. Kenapa?

Asingkan Anak-Anak Tidur Dari Bilik Ibu Bapa. Kenapa?

Walaupun anak-anak ini kelihatan begitu lena, namun kita tidak dapat menjamin bahawa mereka tidak akan tersedar sehingga ke pagi. Maka berwaspadalah sentiasa!

Anak Tidur Dengan Ibu BapaPendidikan seks, apa yang anda fikirkan apabila disebut perkataan ini? Ramai yang rasa ia adalah satu perkara yang lucah dan memalukan. Namun, ketika saya ingin menulis tentang mengasingkan anak tidur dari ibu bapa, saya menyelak buku Pendidikan Anak-Anak Islam tulisan Dr Nasih Ulwan. Saya dapati, Dr Nasih Ulwan telah menerangkan tentang perkara terbut di dalam satu bab yang panjang iaitu bab pendidikan seks


Setelah diteliti, ternyata bahawa pendidikan seks di dalam keluarga islam sangat-sangat dipentingkan untuk menjaga anak-anak dari terdedah kepada gejala sosial yang amat membimbangkan sebagaimana yang berlaku di dalam masyarakat pada masa kini.

Melihat kepada gejala sosial yang berlaku kini seperti penzinaan, pembuangan anak, seks di luar tabii dan banyak lagi jenayah yang berlaku di kalangan remaja Islam, saya merasakan bahawa pendidikan seks di dalam Islam yang banyak berkisar kepada penjagaan aurat dan adab-adab sesama ahli keluarga dan individu lain perlulah ditekankan oleh ibu bapa sejak anak-anak masih kecil

Memetik sebuah ayat alquran dari surah An-Nur ayat 58 

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah budak-budak (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) yaitu: sebelum sembahyang subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar) mu di tengah hari dan sesudah sembahyang Isya. (Itulah) tiga 'aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain dari (tiga waktu) itu. Mereka melayani kamu, sebahagian kamu (ada keperluan) kepada sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”


Daripada ayat di atas, Allah telah membimbing tentang asas pendidikan di dalam rumah. Maka sejak kecil lagi, anak-anak mestilah dibiasakan untuk meminta izin, pada masa-masa dimana seorang lelaki dan seorang perempuan sedang duduk bersama-sama, supaya anak-anak kecil ini tidak terserempak dengan sesuatu keadaan yang dia tidak sepatut melihatnya.


Adab ini mestilah diajar kepada anak-anak sebelum umur baligh mereka dan mereka mestilah mememinta izin dalam tiga keadaan iaitu

  1. Di waktu sebelum sembahyang subuh kerana pada ketika itu manusia sedang tidur di atas tempat peraduan mereka
  2. Di waktu tengah hari, kerana manusia mungkin sedang menanggalkan pakaiannya ketika itu, dan sedang duduk bersama-sama isterinya
  3. Di waktu sesudah sembahyang isyak kerana waktu itu adalah waktu tidur dan waktu berehat


Sekiranya anak-anak sudah baligh dan cukup akal, maka wajiblah kepada para ibu bapa dan pendidik untuk mengajar mereka meminta izin pada ketiga-tiga waktu tersebut sesuai dengan firman Allah yang bermaksud

“Dan apabila anak-anakmu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin, seperti orang-orang yang sebelum mereka meminta izin. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”


Anak-anak kecil sebelum baligh lagi sudah diarahkan untuk meminta izin untuk memasuki bilik tidur, jadi bagi ibu bapa, peraturan ini perlulah dilaksanakan di dalam rumahtangga. Maka, pengasingan bilik tidur antara anak-anak dan ibu bapa perlulah dibuat sejak anak-anak kecil. Jika masih tidur sebilik, bagaimanakah kita dapat mengajar anak-anak tentang adab meminta izin ini?

Melalui pengamatan saya, setelah berkecimpung di dalam arena pendidikan anak-anak selama hampir sepuluh tahun, saya dapati ramai di kalangan ibu bapa yang melihat proses mengasingkan anak-anak tidur dari bilik ibu bapa sebagai satu perkara yang remeh.

Saya mendapati ramai ibu bapa yang masih tidur sebilik dengan anak-anak walaupun anak-anak telah menjangkau usia lima dan enam tahun, bahkan saya juga pernah bertemu dengan anak yang masih tidur di bilik ibu bapa walaupun sudah berumur tujuh atau lapan tahun.


Asingkan Anak Tidur
Saya ingin menarik perhatian ibu bapa diluar sana tentang satu peristiwa yang saya lalui sendiri.


Pada suatu hari, seorang guru datang menemui saya.


“Kak syifa, ada seorang pelajar lelaki lima tahun dari kelas saya selalu berkelakuan yang tidak sopan terhadap rakan-rakan perempuannya. Saya dah cuba untuk menasihatinya, tetapi ia tidak memberi kesan. Dia tetap melakukan perkara yang sama berulang kali, dan ia sangat membimbangkan saya.” Cikgu Ida memulakan cerita dengan wajah penuh kebimbangan. Saya mendengar dengan teliti.


“Kelakuan yang tidak sopan? Dia buat macammana?” Hati saya sudah berdetap kencang, namun saya cuba mengawal perasaan agar kebimbangan saya itu tidak menambah kerisauan yang bersarang di dalam diri Cikgu Ida. Cikgu Ida merupakan seorang guru yang sangat prihatin, apa jua masalah yang berlaku di tadika, pasti akan dibawa berbincang untuk menyelesaikannya.


“Dia buat benda-benda yang tak senonoh la kak, saya nak cerita pun rasa malu.” Cikgu Ida cuba berbahasa dengan saya, wajahnya tertunduk mungkin tidak sanggup hendak menceritakan perihal anak muridnya itu.


“Dia buat macamana Ida? Akak tak boleh nak tangkap apa yang Ida cakap ni. Demi kebaikan anak-anak di tadika kita ni, cuba Ida ceritakan apa yang berlaku sebenarnya.” Saya memujuk Cikgu Ida untuk bercerita dengan lebih jelas. Perkataan ‘tidak senonoh itu terlalu umum untuk saya terjemahkan.


“Mmm… Mmm… Dia suka cium dan pegang-pegang budak perempuan la kak… Pelajar-pelajar perempuan selalu mengadu dengan cikgu-cikgu, saya bimbang jika perkara ini berlarutan ibu bapa akan membuat aduan, dan saya bimbang jika pelajar perempuan yang diganggu itu tidak mahu lagi ke sekolah.”


Saya mengangguk-angguk sambil menumpukan sepenuh perhatian kepada aduan beliau.
“Baru-baru ini, dia bermain dengan kawan-kawan di bawah meja, kemudian tidak semena-mena dia mencium pipi seorang budak perempuan ni, pelajar-pelajar lain yang melihat kejadian ini menjerit-jerit memberitahu cikgu-cikgu manakala pelajar perempuan tadi sudah menangis, mungkin terasa malu dan tidak selesa dengan kelakuan rakannya itu tadi.”


“Bila cikgu-cikgu bertanya kenapa dia buat begitu, dia hanya terkulat-kulat memandang cikgu dan hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu bercakap, cikgu –cikgu sudah menasihatinya dan berpesan kepada pelajar-pelajar lain agar tidak melakukan perkara yang sama. Namun, ia berulang lagi tengahhari tadi. Nampaknya kita perlu melakukan sesuatu untuk membendung perkara sebegini.” Panjang lebar Cikgu Ida menjelaskan kepada saya. Saya menelan air liur yang terasa pahit.


“Oh begiitu, ada apa-apa lagi kelakuan yang tidak menyenangkan?” Saya bertanya lagi


“Mmm… Dia juga selalu menyebut-nyebut perkatan “cium mulut”.. Ish akak, saya nak sebut pun malu rasanya.” Merona warna kemerahan di wajah Cikgu Ida, malu. Tersirap juga darah saya dibuatnya. Tidak menyangka anak sekecil lima tahun sudah tahu perkataan-perkataan sebegitu. Saya beristighfar berulang kali.


“Berat juga masalah ni, tapi Insya Allah masih boleh diubati dan diselesaikan. Insya Allah, sama-sama kita hadapi masalah ini dengan berhikmah dan bijaksana.” Saya menutup perbincangan dengan menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah ini secara serius.


Selepas perbincangan saya dengan Cikgu Ida hari itu, saya banyak meluangkan masa untuk melihat sendiri apa yang dilakukan oleh pelajar tersebut tanpa dia menyedari dia sedang diperhati. 


Setelah beberapa waktu menyiasat perkara tersebut, terkejut saya apabila saya bertanya : “Kamu tengok siapa buat macam ni? Kamu tengok di televisyen?”


Anak kecil itu menggeleng lalu berkata: “Ibu dan ayah.” Terkedu saya sebentar lalu beristighfar panjang.


“Kamu tidur di bilik kamu atau di bilik ibu ayah kamu?” Saya bertanya lagi


“Bilik ibu ayah.” Pendek sahaja jawapannya


Bagi menyelesaikan masalah tersebut, saya tiada cara lain selain memanggil ibu bapa berkenaan untuk berbincang, dan ternyata ibu bapa itu sendiri terkejut kerana mereka membayangkan bahawa anak-anak sudah tidur sewaktu mereka ‘bersama’.


Kisah-kisah sebegini sebenarnya banyak saya dengar dari rakan taulan pengusaha tadika yang lain. Bahkan satu kisah yang lebih teruk saya dengar, seorang pelajar lelaki telah duduk di atas perut seorang pelajar perempuan ketika pelajar itu tidur kerana melihat bapanya berbuat begitu terhadap ibunya. Na’uzubillah.

Perkara sebeginilah yang perlu kita elakkan, jangan biar sudah berlaku sedemikian, baru lah kita ingin mengambil tindakan. Pada saya, bukan mudah untuk membaiki keadaan, kerana anak itu berkelakuan sedemikian diatas faktor pernah melihatnya sendiri. Malah, ia dilakukan oleh orang yang paling mereka percayai iaitu ibu bapa mereka sendiri! Bagi mereka apa yang dibuat oleh ibu bapa bukanlah perkara yang salah.


Yang lebih membimbangkan, anak kita bukanlah seperti komputer yang boleh kita hapuskan sahaja maklumat yang tidak kita ingini lagi dengan menekan butang ‘delete’. Sekali ia tersimpan di dalam memori mereka, apakah caranya untuk memadamkannya?

Oleh itu wahai ibu bapa yang budiman, asingkanlah anak-anak dari bilik tidur kalian seawal mungkin, iaitu apabila anak sudah pandai meniru kata-kata dan tingkah laku kita. Walaupun ia proses yang agak sukar, namun kita mestilah serius untuk menjayakannya.


Jangan biarkan nasi menjadi bubur, kerana kita tidak tahu mungkin anak kita tersedar dari tidur dan terlihat perkara yang tidak sepatutnya. Berjaga-jagalah dari awal lagi.


Oleh itu, bagi kita umat Islam yang meyakini bahawa Al-Quran adalah manual kehidupan yang paling lengkap dan terbaik, kita perlulah meyakini bahawa Islam amat mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak dari sejak mereka mula mengenal sifat malu, dan akhlak pergaulan yang baik serta budiperketi Islam yang mulia. 


Sehingga, apabila anak mencapai usia remaja, dia akan menjadi satu contoh teladan yang mulia dalam kelakuan dan akhlaknya.


Betapa kerap berlaku sesuatu yang memalukan, apabila si anak masuk ke dalam bilik tidur, dan terserempak melihat kedua ibu bapanya sedang asyik dalam perhubungan seks. Kemudian si anak itu keluar dari situ seraya bercerita sesama teman-temannya yang kecil. Dan berapa banyak pula yang mengkhayalkan lakonan itu di dalam lintasan fikirannya ketika gambaran itu berulang di dalam otaknya


Dan betapa banyak pula anak yang menyeleweng disebabkan dari kecil telah merasa keinginan kepada seks dan telah melihat bagaimana caranya berhubungan seks serta merasa kelazatannya.


Lantaran itu, maka wajiblah atas ibu bapa dan para pendidik teguh dengan adab Al-Quran Al-Karim dalam hal mengajar anak meminta izin sejak dia mula berakal. Mudah-mudahan anak-anak akan mempunyai akhlak yang mulia, mempunyai peribadi Islam yang berbeza dengan yang lain serta menjadi penyejuk mata kita di dunia dan akhirat.

Wallahua’lam

Share This:

Post Tags:

PENAFIAN

Segala penulisan dan testimoni berkenaan produk yang dikongsi di laman ini bukan bertujuan untuk mendiagnosis, merawat atau menyembuhkan apa jenis penyakit dan masalah kesihatan. Pembaca yang mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan terlebih dahulu


Sebahagian artikel adalah dari sumber luar yang dinyatakan punca sumbernya.

No Comment to " Asingkan Anak-Anak Tidur Dari Bilik Ibu Bapa. Kenapa? "

  • To add an Emoticons Show Icons
  • To add code Use [pre]code here[/pre]
  • To add an Image Use [img]IMAGE-URL-HERE[/img]
  • To add Youtube video just paste a video link like http://www.youtube.com/watch?v=0x_gnfpL3RM