Terkini

Menu

Apa Itu Asma?

Apa itu asma?
kanak-kanak asma

Asma merupakan sejenis penyakit melibatkan saluran pernafasan. Seseorang yang menghidap penyakit asma mempunyai salur pernafasan yang ‘hyperresponsive’ atau dalam erti kata lain, terlebih sensitif. Apabila terdedah kepada sesetengah faktor pencetus, saluran pernafasan menjadi sensitif, dan bertindakbalas dengan penghasilan lendir atau ‘mucus’ dan otot-otot saluran pernafasan mengecut, ‘bronchoconstriction’. Ini menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit dan seterusnya mengakibatkan susah atau sesak nafas. Asma tidak boleh berjangkit tetapi boleh diwarisi.


kanak-kanak asma
Perbezaan saluran pernafasan antara penghidap asma (sebelah kanan gambar) dan seseorang tanpa asma (sebelah kiri gambar).


Ada beberapa faktor pencetus asma seperti: 
  • Asap rokok 
  • Haiwan peliharaan (bulu anjing atau kucing
  • Lipas 
  • Habuk pada permaidani, katil, bantal, patung berbulu 
  • Ekzos kereta, sesetengah minyak wangi, ba usesetengah sabun pembersih 
  • Debunga (‘pollens’) dari pokok, bunga, rumput 
  • Cuaca atau angin sejuk, atau kadang-kadang cuaca panas dan hujan 
  • Selsema atau lain-lain jangkitan 
  • Aktiviti-aktiviti seperti berlari, bermain, bersukan. 

Setiap individu yang mengidap asma adalah berlainan. Bukan setiap pesakit asma akan alah kepada semua faktor-faktor pencetus di atas.


Apakah tanda-tanda asma? 
  • “Wheezing”- bunyi seperti orang bersiul sewaktu melepaskan nafas 
  • Batuk 
  • Berasa susah untuk bernafas 
  • Berasa kekurangan udara 
  • Dada berasa ketat 
  • Berasa letih dan kekurangan tenaga 
  • Berasa susah nafas semasa bersenam atau aktif bermain. 


Bagaimana doktor mengenalpasti pesakit asma?
Diagnosa asma didapati melalui ciri-ciri dan latar belakang (‘history’) dan pemeriksaan fizikal. Berdasarkan tanda-tanda yang dialami seseorang pesakit, penyakit asma boleh diklasifikasikan mengikut tahap keseriusan penyakit.


Bagaimanakah asma dirawat ?
Secara amnya, ada 2 jenis kumpulan ubat pam asma.


1. Ubat pam (inhaler) sebagai pelega cepat (‘quick reliever’) 
  • Apabila asma menyerang, ubat ini digunakan untuk melegakan pernafasan dan memberhentikan serangan asma. 
  • Ubat ini juga boleh digunakkan sebelum anak melakukan aktiviti bersukan sekiranya aktiviti bersukan merupakan salah satu factor pencetus asma. Ini dapat mengurangkan kemungkinan serangan asma untuk berlaku. 
  • Ubat ini berfungsi dengan meluaskan otot-otot saluran pernafasan dan melegakan pernafasan. 
  • Contoh: Salbutamol 


2. Ubat pam (inhaler) steroid sebagai pengawal and pencegah asma 
  • Ubat pam steroid akan dimulakan untuk pesakit asma di mana penyakitnya tidak terkawal dan serius. 
  • Ubat ini berfungsi dengan mengurangkan bengkak dan radang di saluran pernafasan dan seterusnya mencegah serangan asma. 
  • Ubat ini tiada fungsi pelega cepat. Ini bermaksud ia tidak sesuai digunakan waktu serangan asma sedang berlaku. Ia juga mengambil masa yang lebih panjang untuk menampakkan kesan postitif. 
  • Ubat ini perlu digunakan SETIAP HARI untuk suatu jangka masa yang lebih panjang untuk menampakkan keberkesanannya. 
  • Setelah asma menjadi terkawal dengan ubat pam steroid, doctor akan mengurangkan pengunaan ubat secara perlahan-lahan dan berkala, dan seterusnya memberhentikan penggunaan ubat tersebut. Tempoh penggunaannya bergantung kepada individu dan tahap keseriusan asma. Ini bergantung kepada keadaan dan kawalan asmanya. Kanak-kanak yang mengidap asma dan memerlukan ubat pencegahan perlulah dipantau oleh pakar kanak-kanak. 
  • Contoh: Budesonide, Fluticasone. 


kanak-kanak asma
cara pengunaan inhaler (pam) menggunakan corong untuk kanak-kanak kecil yang menghidap asma.


kanak-kanak asma
Gambar ini menunjukkan cara pengunaan inhaler (pam) menggunakan corong dan ‘mouthpiece’ untuk budak asma lebih besar.


Adakah ubat pam (inhaler) asma selamat?
Ubat asma adalah selamat, jika pengambilan dan pengunaannya adalah mengikut arahan doktor. Ubat yang diambil melalui ínhaler’ juga hanya bertindak dan diserap di salur pernafasan dan tidak melalui penyerapan darah. Ini mengurangkan kadar kesan sampingan kepada pengguna.

Ada sesetengah ibu bapa/ pesakit risau tentang pergantungan atau ‘dependent’ pada ubatan ini. Ini adalah tidak benar dan ia tidak akan berlaku.

Ada juga ibubapa yang risau pengambilan ubatan ini lama-kelamaan tidak berkesan lagi sekiranya ia diambil untuk jangkamasa yang panjang namun ini juga tidak benar.


Asma dan pergantungan kepada ubat seumur hidup?
Kebanyakan keadaan asma semakin baik dan terkawal apabila usia budak semakin meningkat. Lebih kurang 60% pesakit asma tiada tanda-tanda lagi selepas umur 6 tahun. Tetapi segelintir akan mengalami masalah asma sehingga ke dewasa.


Mengapa perlu rawat asma sekiranya asma dengan semulajadinya akan bertambah baik apabila umur semakin meningkat?
Walaupun kita mengetahui yang asma secara semulajadinya akan bertambah baik apabila umur semakin meningkat, kita masih perlu mengawal asma apabila terdapat tanda-tanda yang dialami oleh sesorang budak asma yang menunjukkan asmanya tidak terkawal. Ini adalah kerana asma yang tidak terkawal boleh mengakibatkan serangan asma yang teruk, sehingga boleh meragut nyawa. Apabila asma tidak terkawal untuk jangka masa yang lama, pertumbuhan juga terjejas, berat badan susah bertambah dan perkembangan otak turut terbantut.


Apakah matlamat merawat ASMA ? 
  • Mengelakkan kemasukan ke hospital dan keperluan mengambil gas di kecemasan 
  • Mengurangkan dan mengelakkan ketidakhadiran ke sekolah 
  • Mengelakkan tidur yang terganggu 
  • Memberi peluang budak-budak asma mengambil bahagian sepenuhnya dalam activiti harian termasuk bermain, bersenam dan bersukan. 


Dr Aileen Wee

Share This:

Post Tags:

PENAFIAN

Segala penulisan dan testimoni berkenaan produk yang dikongsi di laman ini bukan bertujuan untuk mendiagnosis, merawat atau menyembuhkan apa jenis penyakit dan masalah kesihatan. Pembaca yang mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan terlebih dahulu


Sebahagian artikel adalah dari sumber luar yang dinyatakan punca sumbernya.

No Comment to " Apa Itu Asma? "

  • To add an Emoticons Show Icons
  • To add code Use [pre]code here[/pre]
  • To add an Image Use [img]IMAGE-URL-HERE[/img]
  • To add Youtube video just paste a video link like http://www.youtube.com/watch?v=0x_gnfpL3RM