Cara Merangsang Bayi Membaca Dari Umur 0 hingga 6 Bulan
Cara Merangsang Bayi Membaca Dari Umur 0 hingga 6 Bulan
Apa Yang Saya Lakukan Semasa Bayi Berumur 0 - 3 Bulan
1. Usap, Peluk & Cium Bayi
Saya banyak mencurahkan kasih sayang saya melalui pelukan, ciuman dan usapan. Menurut neurosaintis, sentuhan, usapan dan ciuman ibu bapa akan merangsang otak bayi untuk mengeluarkanhorman yang membantu perkembangan & pertumbuhan bayi . Kasih sayang yang anda curahkan juga akan membantu pertumbuhan dendrait bayi anda.
Usaplah badan bayi anda menggunakan paf bedak atau kapas dan pelbagai fabrik (satin, sifon, baldu, dll) daripada kepala ke kaki. Usapan daripada kepala ke kaki membantu pembentukan myelin pada neuron dan dendrait. Pembentukan myelin membolehkan rangsangan yang diterima dendraitdihantar ke otak dengan lebih cepat. Menurut Dr Susan Ludington-Hoe, ia juga membantu pengawalan koordinasi anggota badan dan perkembangan otot.
Menurut Tony Buzan, enulis buku 'Brain Child' , kasih sayang adalah 'makanan otak'(brain food) anak anda. Hal ini bermakna bayi anda amat memerlukan kasih sayang untuk menjadi anak yang pintar. Jangan sesekali risau anda terlalu manjakan(spoil) bayi anda pada tahap ini.
2. Menyusu
Susu ibu adalah makanan terbaik bayi anda. Ia mengandungi semua bahan berkhasiat seperti protin, karbohidarat, lemak, vitamin, mineral dan air. Kolustrum yang dihasilkan pada beberapa hari pertama akan membekalkan antibodi untuk bayi anda melawan penyakit.
Pada tahun 2007 saya dan 5 orang anak saya diserang denggi. Saya, anak saya yang ketiga dan kelima, Athirah & Amirah dimasukkan ke wad kerana 'platelet' kurang daripada 100. Tetapi anak yang lain, Amalia, Abdul Adzim & Amir Haziq dapat bertahan dan 'platelet' mereka tidak turun ke bawah 100. Ketiga-tiga anak ini saya menyusu selama 2 tahun! Susu ibu sebenarnya anugerah Allah. Kajian menunjukkan susu ibu mengandungi lemak DHA yang amat penting dalam membantu pertumbuhan & perkembangan tisu otak. Susu ibu juga mengandungi 'taurine' yang membantu perkembangan otak & saraf.
Menurut Tony Buzan, selain daripada kasih sayang, makanan yang berzat adalah juga makanan otak (brain food) anak anda. Sehingga anak anda berumur 2 tahun, susu ibu merupakan makanan yang terbaik untuknya. Jadi jangan lepas peluang menyusu bayi anda sehingga dia berumur 2 tahun.
3. Berbual-bual
Menurut kajian terkini, banyak mana anda berbual-bual dengan bayi anda akan mempengaruhi IQ dan kejayaannya nanti. Semasa saya mendapat anak pertama dan kedua, saya tidak pandai berbual dengan bayi. Tetapi setelah menyedari betapa pentingnya kita perlu berbual dengan bayi, saya mula melatih diri saya.
- Saya menceritakan kepada bayi apa saja yang sedang saya lakukan seperti 'mama sedang kemas katil. Katil Mama besar daripada katil baby...".
- Sambil saya mandikan bayi, saya akan memberitahunya "Mama bersihkan mata baby dulu. Sekarang mama bersih telinga baby pula. Sekarang mama nak syampu rambut baby pula. Hmm wanginya syampu...".
- Saya juga menanya soalan "Mana mata baby mama?" dan menamakan objek di sekeliling "Ini buku. Ini bola...".
Jangan lupa menggunakan pelbagai intonasi & nada suara apabila berbual dengan bayi. Ia akan menarik tumpuan bayi anda.
Berbual-bual dengan bayi sebegini akan menambah kecerdasan bahasanya. Anak akan terdedah dengan perbendaharaan kata yang luas dan ini akan membantunya memahami perkataan, bertutur, membaca dan menulis nanti.
Menurut kajian terkini, anak sehingga umur 3 tahun perlu mendengar 17000 hingga 20000 perkataan sehari!
Becoklah mulut mama dan papa semuanya!
4. Menggantung Mobile
Gantungkan 'mobile' hitam-putih, 25cm(10 inci) daripada mata bayi. Ia akan merangsang penglihatan bayi anda.
Kajian daripada Dr Robert Fanzt, Dr T.G.R Bower dan Dr Philip Salapatek membuktikan bayi yang baru lahir lebih gemar memerhatikan bentuk geometri hitam- putih daripada gambar berwarna terang mau pun pastel.
5. Mengimbas Kad / Objek Hitam-Putih
Peluk bayi erat di pangkuan sambil menamakan objek hitam-putih di dalam buku atau kad imbas. Aktiviti ini akan merangsang penglihatan dan pendengaran bayi anda.
Letakkan kad atau objek hitam-putih di tengah penglihatan bayi pada jarak 25cm daripada matanya. Gerakkan 6 inci ke kanan. Berhenti. Gerakkan kad kembali ke tengah. Berhenti. Gerakkan 6 inci ke kiri dan berhenti.Rangsang Bayi Membaca Dengan
Saya hanya berpeluang melakukan aktiviti ini pada anak keenam. Saya mencuba rangsangan hitam-putih ini ketika dia berumur 7 hari. Saya cukup teruja melihat matanya mengikut pergerakan gambar ke kanan dan ke kiri. Dan hari ini Amir memang cekap kemahiran motornya. Menendang bola pada umur setahun dan amat gemar bermain 'mengikat tali' semenjak umur 1 1/2 tahun lagi.
6. Bernyanyi & Menari
Nyanyikan lagu kanak-kanak dengan nada suara yang berbeza-beza. Menari, dodoi atau gerakkan badan bayi sambil menyanyi. Menyanyi juga membantu meningkatkan kecerdasan bahasa anak anda.
Mendodoi bayi perlahan-lahan ke atas ke bawah dan ke kiri ke kanan, akan merangsang sistem vestibular yang mengawal koordinasi dan keseimbangan. menurut kajian mendodoi sebegini membantu perkembangan penglihatan dan pendengaran bayi, membantu bayi tidur dengan lebih nyenyak dan membantu pertambahan berat badan.
Anda juga boleh mendukung bayi sambil berpusing perlahan-lahan.
7. Senaman Otak
Selepas saya mandikan bayi, saya gemar melakukan senaman otak (brain Gym) dengan menggerakkan anggota tangan dan kaki bayi saya secara bersilang. Saya membilang 1, 2, 3... sambil melakukan senaman ini. Menurut Dr Paul Dennison, pengasas Brain Gym, pergerakan sebegini akan mengkoordinasikan otak kanak dan kiri bayi. Dengan itu bayi dapat berkembang sebaiknya apabila kedua-dua otak berfungsi bersama (whole brain functioning).
Menurut Dr Carla Hannaford, senaman sebegini akan membantu anak anda belajar membaca, menulis, mengeja dan memahami karangan nanti.
Apa Yang Saya Lakukan Semasa Bayi Berumur 3 - 6 Bulan
Pada peringkat ini, saya masih teruskan amalan-amalan semasa bayi saya berumur 0-3 bulan. Apabila menjangkau umur 3 bulan, penglihatan bayi bertambah baik.
8. Menggantung Mobile Berwarna Terang
Tukarkan mobile hitam-putih kepada mobile berwarna-warni. Pada tahap umur ini bayi lebih peka kepada warna terang daripada warna pastel. Bayi juga boleh melihat objek dengan menggerakkan kepalanya.
Anda juga boleh menggantungkan mobile merentasi katil bayi menggunakan tali elastik untuk menggalakkan bayi anda melibat (swipe) & menarik mobile. Mobile elastik ini akan merangsang perkembangan fizikal bayi anda. Apabila bayi pandai menarik mobile, berlaku perkembangan motor halus (koordinasi mata & tangan) yang akan membantu anak anda belajar membaca nanti.
9. Menggenggam Pelbagai Objek
Tunjukkan pelbagai objek menarik yang berwarna-warni & berbunyi seperti kerincing (rattle), mainan lembut (soft toys), mainan picit (squeeze toys) dan mainan / gegelang getah untuk menggalak bayi mencapai & menggenggam objek tersebut. Kemahiran menggenggam akan membantu anak anda menulis nanti.
Artikel ditulis oleh: Nik Eliani Nik Nawi, Mother of 6 ranging from 8 to 25 years of age. Co-writer of Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku & Readeasy Early Reading Series, Reading Specialist & Nursery & Preschool Curriculum Designer. Holds B.A. Economics from Brock University, Canada(1985)& Diploma in Education(English) from International Islamic University Malaysia(1990), Phonics Consultant for Dewan Bahasa & Pustaka 2011
No Comment to " Cara Merangsang Bayi Membaca Dari Umur 0 hingga 6 Bulan "