Alahan Semasa Hamil
Alahan Semasa Hamil
Kerap kali pesakit saya mengalami alahan atau morning sickness yang teruk sehinggakan mereka takut untuk hamil lagi. Alahan adalah perkara biasa dan hampir semua wanita akan mengalaminya dalam keseriusan yang berbeza-beza. Alahan ini selalunya berlaku pada usia kandungan 6 minggu keatas dan biasanya berakhir pada usia kandungan 16 minggu.
Punca alahan semasa hamil, kami percaya ada kaitannya dengan peningkatan selepas persenyawaan dan ianya penting untuk menampung janin semasa peringkat awal pertumbuhan mereka. Paras B-hCG ini akan memuncak pada 16 minggu kehamilan dan akan menurun selepas itu.
Istilah morning sickness adalah tidak tepat kerana hanya 5 peratus sahaja wanita yang hamil mengalami alahan diwaktu pagi tetapi pada hakikatnya ianya boleh berlaku pada bila-bila masa.
Kesan alahan pada ibu
Alahan yang sederhana tidak banyak memberi kesan negatif pada ibu. Hanya yang serius sahaja mempunyai kesan kesan terhadap mereka dan TIDAK kepada bayi didalam rahim. Alahan yang serius di panggil Hyperemesis Gravidarum dan ini hanya berlaku kurang dari 2 peratus dari semua wanita yang hamil.
Impak yang pertama adalah pada fizikal dan emosi. Ibu-ibu yang mengalami alahan yang berpanjangan selama 3 hingga 4 bulan hamil akan mengalami gangguan self well being dan aktiviti-aktiviti harian mereka. Keletihan, kurang bermaya, lesu, tidak bertenaga dan pedih di ulu hati adalah perkara-perkara yang selalu berlaku. Ini semua akan menyebabkan keresahan dan kebimbangan terhadap bayi dan kerja di pejabat mereka.
Impak yang kedua adalah kecelaruan metabolisma dan elektrolit dalam badan. Kesan alahan yang teruk menyebabkan ibu mengalami dihidrasi, gangguan elektrolit, ketosis dan juga penurunan berat badan. Akibat dari muntah yang tiada penghujungnya dan tidak makan dan minum, menyebabkan badan akan menggunakan sumber-sumber lain seperti glikogen dalam hati, protin dari otot-otot dan lemak dari bawah kulit dan usus sebagai alternatif sumber tenaga.
Cara mengatasi alahan
Modifikasi cara hidup adalah pendekatan yang boleh diambil terlebih dahulu sebelum cara perubatan digunakan.
Diet - Nasihat saya tentang ini ialah “makan apa yang kita mahu, dalam amaun yang sedikit tetapi kerap”. Kebiasaannya naluri kita akan beritahu kita apakah makanan atau minuman yang kita boleh ambil semasa hamil. Wanita yang hamil selalu akan berasa loya dan mungkin muntah dengan makanan berminyak dan berbau kuat. Sudah tentu sekali ini perlu dielakkan. Mungkin ianya boleh diganti dengan makanan yang di rebus bukannya yang di goreng. Makan sepinggan nasi berkemungkinan besar menyebabkan si ibu muntah kalau dibandingkan makan sesuap nasi. Oleh kerana itu makan sedikit-sedikit tetapi kerap. Cara ini membolehkan ibu boleh mendapat sumber karbohidrat, protin dan lemak semasa hamil.
Dari segi minuman pula, minuman berperisa masam seperti lemonade, Ribena boleh diminum jika dibandingkan dengan air kosong. Kalau teringin air bersoda pastikan gas CO2 dilepaskan dahulu kerana ia boleh menyebabkan pedih ulu hati. Waspada dengan kandungan gula dalam minuman ini dan bagi saya tidaklah memudaratkan kalau diambil untuk masa yang pendek.
Bau-bauan - Mereka amat peka pada bau-bauan seperti parfum, makanan dan juga bau badan suami. Ini mereka perlu berbincangkan dengan suami cara mengatasinya tanpa suami ambil hati. Masalahnya tentang bauan ini apabila si ibu duduk di apartmen, kondo dan rumah pangsa kerana terlaku sukar menghidari bau masakan jiran-jiran tetangga!
Halia, jeruk masam boleh membantu mengurangkan rasa mual dan loya ini. Bagi saya apa cara bagi mengurangkan masalah alahan ianya OK.
Saya rasa pada waktu ini si ibu perlu mendapat sokongan dari suami dan juga kawan sepejabat dan jiran unutk membantu mereka.
Bilakah anda perlu mendapatkan pertolongan dari doktor?
Perkara ini adalah subjektif kerana terlalu banyak faktor-faktor lain yang perlu dikira. Bagi saya jika seseorang itu sudah merasakan mereka tidak mampu kerana alahan yang berpanjangan, keletihan dan tidak boleh makan maka mereka mesti mendapatkan pertolongan dari doktor. Dihidrasi boleh menyebabkan kita tidak dapat memberi tumpuan pada kerja dan kita terasa amat lemah.
Dalam kes-kes yang sederhana, mengambil pil-pil anti-emetik / tahan muntah sudah memadai tetapi kes-kes yang teruk memerlukan infusi air garam kedalam badan bagi memulihkan air badan yang kering dan memulihkan ketidakimbangan elektrolit dalam darah. Suntikan anti-emetik diperlukan bagi memberhentikan alahan bagi 24 jam yang pertama. Saya juga memberikan suntikan gastrik bagi mengurangkan paras asid dalam perut yang menyebabkan pedih ulu hati. Ini semua boleh dilakukan dalam masa 24 jam dan bila pulang saya akan membekalkan anti-emetik dan anti-gastrik dalam bentuk tablet. Saya cadangkan ambil ubat anti-emetik untuk beberapa minggu sebelum boleh diberhentikan.
Apakah ubat anti-emetik yang digunakan dan apakah pula kesan sampingannya?
Terlalu banyak ubat anti-emetik berada dipasaran. Saya nasihatkan berjumpa dengan doktor dahulu sebelum mengambilnya kerana ada ubat yang tidak bolehdiambil kerana kesan pada janin.
- Kombinasi Pyridoxine dan Doxylamine - Ini dikira sebagai rawatan 1st line. Pyridoxine tidak diketahui mempunyai kesan teratogenik / kecacatan pada janin.
- Antihistamin seperti Meclizine, Promethazine. Anti-histamin boleh menyebabkan drowsiness, dizziness, incoordination, mulut kering, mata kabur, constipation, palpitation.
- Phenothiazines seperti Chorpromazine. Ianya boleh menyebabkan mulut kering, mata kabur, constipation, tekanan darah rendah.
- Agen Prokinetik seperti Metoclopramide. Ianya boleh menyebabkan drowsiness, dizziness, sakit kepala, restlessness dan depression. Dan juga cirirt birit.
- Serotonin Antagonis seperti Ondansetron bagi kes-kes yang teruk.
Kesimpulannya, alahan adalah perkara yang normal pada wanita yang hamil dan perbezaan diantara seseorang adalah keseriusannya ada ibu-ibu tersebut. Jika ibu mendapati mereka tidak dapat mengawal alahan ini dan mampu makan dan minum, segeralah mendapatkan pertolongan dari doktor. Rehidrasi dan antiemetic adalah rawatan yang penting bagi kes-kes yang serius.
Sumber
Alahan Semasa Hamil
Alahan Semasa Hamil
No Comment to " Alahan Semasa Hamil "