Teknik Merawat Anak Yang Penakut
Teknik Merawat Anak Yang Penakut
Anak yang penakut boleh juga dikaitkan dengan fobia atau dilema mereka terhadap sesuatu situasi yang pernah mencemaskan emosi mereka. Ada disebabkan selalu mendapat ‘mind tortured’, mangsa buli adik-beradik atau kawan di taska dan sebagainya.
TEKNIK AIR
Teknik Air antara perkara yang menyeronokkan buat anak-anak. Apatah lagi bila diberi peluang bermain air dalam bilik air ataupun air hujan. Berlainan bagi anak yang penakut, terapi air boleh digunakan untuk mengembalikan keyakinan diri mereka daripada perkara-perkara yang menakutkan.
Caranya :
- Tadahkan air dalam besen atau tab mandi di rumah. Ajar anak untuk kocak-kocakkan air tersebut untuk mengukuhkan kemahiran motor mereka. Ia juga secara tak langsung untuk mengurangkan tekanan dan ketakutan anak.
- Selang beberapa hari, belikan kolam renang yang boleh mereka bermain bersama adik-beradik atau kawan yang lain. Bagi mereka ada interaksi sosial yang membuatkan mereka seronok dan minda mereka juga tenang.
- Kemudian, buat percubaan pertama kali untuk membawa mereka ke taman tema air/waterpark dengan memberi gambaran seronok bermain di situ pada hari sebelumnya. Buatkan mereka tak sabar. Mungkin pada permulaannya, mereka akan tarik diri dan takut untuk mencuba, pujuk baik-baik sambil sentiasa memeluk mereka untuk mengurangkan ketakutan anak.
- Apabila mereka semakin berani, bawalah pula ke pantai untuk mereka bermandi di laut sebagai terapi terakhir mengurangkan sikap penakut mereka. Lakukan aktiviti ini secara konsisten inshaAllah kita pasti mendapat hasil yang memuaskan. Anak semakin berani dan kedepan.
TEKNIK PASIR
Pasir mempunyai pelbagai kegunaan dalam seluruh kehidupan kita, terutama dalam bidang perubatan secara alami. Contohnya, kita biasa lihat mereka menimbus sebahagian atau keseluruhan badan dengan pasir.
Cara ini kadangkala memberi kesan kepada si penyakit dan juga salah satu alternatif secara semulajadi untuk menyembuhkan penyakit.
Bagi anak-anak yang mempunyai gangguan tumbesaran, terapi melalui pasir ini juga boleh diaplikasikan. Jika kita amati, pasir merupakan bahan yang selamat dan tidak membahayakan anak.
Melalui teksturnya yang halus dan tidak mendatangkan kecederaan, ia boleh membantu memberi stimulasi yang baik kepada anak jika digunakan dengan kaedah yang betul.
Kebiasaannya juga, anak-anak kita memang sukakan pasir terutama jika dibawa bermain pasir di pantai. Saya percaya, kadangkala cara kita mengatasi masalah yang ada dengan berbalik kepada apa yang alam semulajadi telah sediakan antara penawar yang terbaik.
4 Manfaat Terapi Pasir Kepada Anak
Emosi - Apa sahaja aktiviti yang melibatkan permainan, pasti menjadi kesukaan anak. Oleh itu, melalui aktiviti terapi pasir ini secara langsung meningkatkan perkembangan emosi anak. Disarankan berkesan bagi anak yang pendiam, panas baran dan hiperaktif. Anak yang pendiam akan cuba berinteraksi dan bersosial antara kawan kumpulan atau ibubapa mereka sendiri secara perlahan-lahan. Yang hiperaktif pula, mereka akan belajar mengawal diri dan saling bekerjasama sesama rakan
Fizikal - Aktiviti seperti mengangkat atau menuang pasir dapat membantu pergerakkan anggota badan anak menjadi aktif dan fleksibel. Kita juga boleh latih anak untuk meramas atau mengenggam pasir itu bersama untuk latihan otot tangan. Jika hendak menanam diri dalam pasir juga apa salahnya kan.
IQ & Imaginasi - Selain itu, latih imaginasi dan kreativiti si manja dengan membina ‘istana pasir’ dan juga boleh sama-sama melakar dan melukis abjad atau apa sahaja di pasir samada menggunakan tangan ataupun kayu. Juga boleh lakukan aktiviti mencari benda tersembunyi di dalam pasir, isi pasir di dalam bekas atau membina bentuk melalui acuan. Kita jadikan aktiviti itu menyeronokkan untuk mereka terokai. Learning should be fun, mummy !
Fokus - Aktiviti ini dapat membantu anak dalam melatih pengamatan mereka. Kemahiran ini dapat dicapai melalui aktiviti membina ‘istana pasir’ atau binaan lain yang mampu mengoptimumkan kesemua deria pendengaran, penglihatan dan sentuhan. Anak akan fokus untuk menyiapkan istana mereka itu sehingga siap. Mereka khusyuk menyudahkannya yang membantu memberi daya pengamatan yang efektif kepada mereka.
Bahan-bahan Yang Boleh Digunakan Untuk Aktiviti Ini
Aktiviti ini boleh dilakukan di halaman rumah sahaja tanpa perlu ke pantai. Samada kita boleh letakkan pasir di dalam bekas seperti ini ataupun bekas pasir sendiri atau sand tray yang boleh di dapati di kedai-kedai alatan bantuan mengajar atau secara online.
Letakkan barang-barang permainan mereka untuk mereka bermain bersama pasir. Jika anak lelaki, mainan seperti kereta atau lori pasir pasti menjadi pilihan mereka.
Tugas kita bermain dan bercerita bersama mereka seolah-olah kita berada di dalam dunia anak-anak kita. Pasti mereka teruja !
Yang perempuan pula, berikan mereka alatan masak seperti bekas cupcake, sudu dan garfu plastik, mangkuk kecil yang umpama mereka sedang membuat kek untuk minum petang.
Hasilnya, melalui aktiviti santai ini yang boleh dilakukan di rumah sahaja, secara tak langsung ia melatih komunikasi anak dengan baik. Anak kita akan cuba belajar untuk menyebut perkataan yang mereka dengar dari kita kerana aktiviti ini menenangkan otak mereka yang membantu kelancaran saraf atau otot mulut anak.
Jika berkesempatan membawa anak ke pantai ia memberi keseronokkan yang lebih buat anak-anak kita yang mempunyai masalah komunikasi ataupun penakut.
Desiran ombak dan angin yang segar akan memberi lebih ketenangan buat si anak. Biarkan mereka berlari-lari di pantai untuk mereka sendiri merasai kebebasan untuk menerokai alam Allah ini.
Untuk lebih menarik, lakukan aktiviti bermain pasir seperti membina ‘istana pasir’ ini bersama mereka. Bawalah alatan permainan mereka seperti baldi, penyodok, sudu atau garfu, cawan dan sebagainya untuk aktiviti ini.
Juga aktiviti ini sebenarnya memberi kesemua kemahiran yang diperlukan oleh anak kita yang sangat berguna untuk kehidupan mereka di alam persekolahan nanti.
Aktiviti ini bukan sahaja membuatkan mereka seronok dan tenang, tetapi yang paling penting ianya dapat menangani perasaan marah atau tidak puas hati mereka / tantrums yang ada dalam diri mereka.
Begitu banyak anak-anak kecil ini mempunyai perwatakan yang unik dan tersendiri, begitulah juga uniknya cara kita dalam mendidik mereka.
wah.. tq atas perkongsian.. tapi masalah saya.. anak takut pada keadaan gelap n katanya ada HANTU yang dulu dah bawa berubat ke darul shifa dan di rawat agar pandangan ke arah itu tertutup, tapi mereka masih fobia. Ada tips tak?
BalasPadam