Terkini

Menu

Ketahui Simptom Kawasaki Pada Anak Anda

Ketahui Simptom Penyakit Kawasaki Pada Anak Anda


Jika anak kecil mengalami demam berpanjangan diikuti gejala sampingan seperti tumbuh ruam, tangan dan kaki bengkak serta berwarna kemerahan, sakit pada mulut dan lidah manakala kelenjar di leher dan ketiak turut membengkak, mungkin anak itu menghidap penyakit Kawasaki.

Penyakit ini menyebabkan radang pada salur darah di seluruh badan dan bahayanya jika lambat mendapatkan rawatan boleh mengakibatkan komplikasi pada jantung apabila organ penting ini menjadi lemah atau saluran darah ke jantung bengkak kerana kerosakan arteri koronari. 

Awalnya, ia dikenali sebagai sindrom kelenjar dan kulit dikenali sebagai mucocutaneous lymph node syndrome sebelum dinamakan penyakit Kawasaki sempena nama pakar kanak-kanak di Jepun, Tomikasu Kawasaki yang mengesan dan menghurai gejala penyakit ini pada 1960.

Pakar Kanak-kanak dan Pakar Jantung Kanak-kanak, Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), Dr Kamaruddin Ahmad berkata, sehingga kini punca penyakit Kawasaki dan bagaimana ia berjangkit pada kanak-kanak belum diketahui.


LIDAH menjadi merah dan berasa sakit.

Namun, katanya, kebanyakan pakar bersetuju kemungkinan besar ia berpunca daripada jangkitan virus atau kuman dan tidak diwarisi daripada keluarga secara genetik.

“Penyakit ini menyerang kanak-kanak berusia bawah lima tahun. Malah, kebanyakan pesakit kanak-kanak yang saya rawat kerana penyakit ini berusia setahun dan paling muda adalah bayi berusia enam bulan.

“Namun, bayi ini meninggal dunia kerana lambat dibawa ke hospital selepas seminggu dijangkiti penyakit Kawasaki, mengakibatkan jantungnya membengkak,” katanya.

Dr Kamaruddin berkata, kanak-kanak yang menghidap penyakit Kawasaki akan demam sehingga panas badannya mencecah suhu 40 darjah Selsius.

“Demam ini juga menyebabkan kanak-kanak menjadi gelisah dan tidak tentu arah berikutan suhu badannya turun naik.

“Selepas dua atau tiga hari mendapat demam, akan tumbuh ruam pada badannya disusuli tapak tangan dan kaki membengkak serta berwarna kemerahan.

“Mulut dan lidah pula akan sakit serta bibirnya bertukar merah terang seolah-olah disapu gincu. Seterusnya, kelenjar pada leher dan ketiak membengkak

“Ini semua tanda klasik bagi penghidap penyakit Kawasaki. Kadangkala gejalanya tidak ketara, malah ada juga penghidapnya terkena cirit-birit.

“Demam boleh berlarutan antara seminggu hingga dua minggu dan dalam keadaan ini anak kecil itu jika diberi ubat antibiotik pun tidak berkesan,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak yang mengalami demam dengan gejala penyakit Kawasaki hendaklah segera dibawa ke hospital atau menemui pakar kanak-kanak untuk mendapatkan rawatan kerana ia boleh mengundang maut jika tidak dirawat dengan kaedah betul.

“Segelintir ibu bapa gagal mengesan gejala penyakit Kawasaki kerana kurang pengetahuan. Mereka membawa anak yang menghidap penyakit ini ke klinik biasa dan diberi antibiotik. Penyakit hanya dikesan selepas demam tidak pulih dan kanak-kanak itu dibawa ke hospital.

“Doktor yang merawat kanak-kanak dengan penyakit Kawasaki lazimnya akan memeriksa terlebih dulu gejala yang timbul dan melakukan ujian darah.

“Jika hasil ujian didapati sel darah putihnya bertambah dan bilangan sel platlet dalam darah juga meningkat begitu tinggi dengan kadar dua kali ganda daripada biasa, kanak-kanak disahkan menghidap penyakit ini,” katanya.

Rawatan utama untuk penyakit Kawasaki adalah menggunakan immunoglobulin yang diberi secara intravena iaitu melalui titisan ke dalam nadi.

Dengan immunoglobulin, ia dapat mengurangkan radang pada jantung dan menghalang kerosakan arteri koronari jika ia diberi dalam tempoh 10 hari pertama menghidap penyakit ini.

Selain itu, penggunaan aspirin dapat mengurangkan kadar keradangan pada jantung dan diberi bersama immunoglobulin pada peringkat paling genting penyakit sehingga demam reda.

Kebanyakan kanak-kanak akan sembuh dan kembali seperti sediakala selepas dua hingga tiga minggu mendapat rawatan di hospital.

Namun, kira-kira 30 hingga 50 peratus pesakit kanak-kanak akan mula mendapat komplikasi akibat penyakit ini seperti aneurisma arteri koronari iaitu pembesaran arteri, jangkitan pada otot jantung atau myokarditis, injap jantung rosak dan kegagalan jantung berfungsi.

Dr Kamaruddin mengingatkan ibu bapa tidak berlengah untuk berjumpa pakar perubatan apabila melihat tanda-tanda penyakit Kawasaki pada anak. Malah, sebenarnya jika penyakit ini cepat dikesan, pesakit boleh pulih sepenuhnya dalam masa beberapa hari.

Share This:

Post Tags:

PENAFIAN

Segala penulisan dan testimoni berkenaan produk yang dikongsi di laman ini bukan bertujuan untuk mendiagnosis, merawat atau menyembuhkan apa jenis penyakit dan masalah kesihatan. Pembaca yang mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan terlebih dahulu


Sebahagian artikel adalah dari sumber luar yang dinyatakan punca sumbernya.

4 ulasan to ''Ketahui Simptom Kawasaki Pada Anak Anda"

ADD COMMENT
  1. Meremang tengkuk sy tengok gambar tu huhu

    BalasPadam
  2. Harap2 doktor2 diklinik biasa pun peka dengan gejala awal penyakit ni. Jangan dah terlambat baru nak refer pada hospital.
    Semoga anak2 kita semua dilindungi. Amin

    BalasPadam
  3. anak saya pernah mengalami nyer.....dia dimasukkan ke HKL untuk rwatan lanjut selama 2minggu pada usia seawal setahun kalau x silap saya dan saya masih simpan gambar sepanjang dia menjalani rawatan disana....betul seperti apa yg doktor cakap dari segi ubat yang digunakan oleh pihak hospital dan memantau kesiahatan anak saya selama 2 minggu dimasuk kan ke wad pediatrik HKL....dan saya amat berterima kasih kepada warga kerja Pediatrik HKL keran memantau kesihatan anak saya sepanjang menjalani rawatan.....saya pun diberitahu sepanjang rawatan anak say dieberi ubat untk jantung supaya jantung atau injap jantung dia tidak bengkak.....allhamdullillah selepas keluar dari hospital saya membawa anak saya untuk rawatan susulan jantung anak saya normal.....sekali lagik saya ucapkan berbanyak TERIMA KASIH KEPADA WARGA PEDIATRIK DAN DOKTOR yang merawat anak saya.......

    BalasPadam
    Balasan
    1. salam, anak saya umur 1 tahun 2 bulan juga terkena jangkitan ini dan baru dibenarkan keluar daripada wad. Alhamdulillah beransur pulih...
      saya nak tanya anak encik minum susu ibu x?

      Padam

  • To add an Emoticons Show Icons
  • To add code Use [pre]code here[/pre]
  • To add an Image Use [img]IMAGE-URL-HERE[/img]
  • To add Youtube video just paste a video link like http://www.youtube.com/watch?v=0x_gnfpL3RM