Tip Melayan Ibubapa / Mertua Yang Bertandang Ke Rumah
Tip melayan Ibubapa / Mertua bertandang ke rumah Pasangan suami isteri Gen Y
1. Objektif Ibubapa dan Mertua datang ke rumah pasangan anaknya ialah
- Untuk melepaskan rindu terhadap cucunya (jika dah bercucu)
- Melihat sendiri suasana kehudupan anak dan menantunya di rumah mereka.
2. Apabila sahaja terdengar desas desus Ibu Ayah atau Mertua nak datang ke rumah, perkara yang wajib dibuat ialah:
- Dapatkan pengesahan kedatangan mereka dengan telefon dan bercakap terus dengan mereka. Jangan gunakan SMS atau mana-mana pesanan laman sosial. Ini memberikan isyarat yang anda sangat teruja menerima kedatangan mereka.
- Jika tarikh kedatangan mereka tidak sesuai kerana anda berdua ada urusan pejabat yang tidak dapat dielakkan, maka cadangkan tarikh-tarikh lain. Supaya anda berdua lebih bersedia menerima mereka.
- Jika ibubapa atau mertua ingin juga datang pada tarikh yang tidak sesuai itu, eloklah berterus terang yang anda berdua tidak dapat memberikan layanan yang sebaik-baiknya melalui percakapan bukan dengan SMS. Hanya dengan lisan sahaja, maksud dan emosi dapat difahami oleh ibubapa dan mertua anda.
- Jika telah dapat persetujuan, maka bincanglah suami isteri menyusun strategi agar kehadiran ibubapa mertua di rumah anda akan menambahkan pahala anda berdua dan peluang mencari redha Allah.
3. Hari pejalanan Ibubapa / Mertua ke rumah
- Awal-awal lagi, siapkan bilik tidur untuk mereka mengikut kemampuan yang ada.
- Jangan aturkan tempat tidur mereka bersama-sama dengan cucu di dalam satu bilik melainkan mereka sendiri yang pelawa cucu tidur bersama.
- Jangan pula minta mereka tidur di bilik resmi tidur anda (master bedroom). Ini akan menyebabkan mereka tidak selesa.
- Salah seorang daripada anda telefon mereka yang sedang dalam perjalanan dengan mengatakan, “Nanti sampai di rumah, kita makan sama-sama”. Walaupun waktu ketibaan mereka bukan waktu makan tengahari atau makan malam. Ini bertujuan untuk menyatakan kegembiraan dia atas kesudian mereka datang ke rumah. Jika mereka “berkeras” tidak mahu dilayan sebegitu kerana mereka kenyang atau sebagainya, maka sediakan juga minuman dan kudapan untuk majlis sambutan ketibaan mereka. Sediakan juga walaupun dia sampai di waktu tengah malam.
- Jangan sekali-kali bertanya dengan menggunakan ungkapan ini, “Ayah dan Mak dah makan ke?”. Sudah pasti mereka akan jawab, “Dah, tak perlu susah-susah”. Kebanyakan ibubapa mertua memang berniat nak makan bersama-sama semasa bertemu nanti.
4. Tiba di rumah anda
- Semua hadirkan diri sambut mereka di gate atau dipintu utama rumah. Walaupun mereka sampai waktu tengah malam, suami isteri WAJIB bersalaman menyambut mereka. Sunat kejutkan anak-anak menyambut Atuk dan Opah mereka. Alangkah terhibur dan hilang penat lelah perjalanan seharian ibubapa mertua jika semua menyambut mereka.
- Jika anda tidak dapat melayan lama-lama kerana tersangat mengantuk atau ada urusan yang lain, maka mintalah kebenaran daripada mereka dua. Mereka juga memahami.
- Jangan tanya soalan ini, “Ayah dan Mak nak balik bila?’. Ini menyinggung perasaan mereka.
- Ungkapan yang baik ialah “Kami ada banyak aturcara untuk Mak dan Ayah ni.. esok ke ke ..... lusa ke ...... tulat ke ........” Tunggulah respon daripada mereka. Daripada jawapan mereka, anda berdua boleh mengagak tarikh mereka balik ke kampung. Maka bincanglah suami isteri di dalam bilik untuk melayan mereka selama mereka ada di rumah anda.
5. “Duplicate” budaya seharian ibu ayah –mertua di rumah anda untuk keselesaaan mereka
- Jika ayah kebiasaan ke masjid untuk solat subuh, sebelum tidur, ingatkan ayah itu yang anda akan kejut dia untuk persiapan ke masjid.
- Pastikan anda bangun lebih awal daripada dia dan tunggu dia di dalam kereta anda untuk ke masjid.
- Jika kebiasaan anda pergi kerja sebelum subuh, maka beritahu kepada ayah atau mertua kedudukan kunci-kunci pintu dan atau get untuk memudahkan dia keluar rumah sendirian ke masjid tanpa menganggu orang lain di dalam rumah itu.
- Jika kebiasaan ibu ayah makan pagi jam 7, maka usahakan bangun awal sama ada beli atau masak juadah untuk sarapan. Sebaik-baiknya makan pagi pertama di rumah ialah sarapan bersama-sama mereka. Jika terpaksa tinggalkan mereka sebelum makan, eloklah nyatakan kemaafan tidak dapat bersama dan pastikan semua makanan tersedia untuk mereka.
- Kebiasaannya ibu bapa metua akan bawa makanan dari kampung. Maka eloklah dihidangkan juga makanan itu dan makan bersama-sama.
- Semasa sembang pagi itu, eloklah ceritakan “Budaya Anda Berdua Seharian Di Rumah itu” kepada ibu ayah mertua agar mereka boleh menyesuaikan pula diri mereka untuk hari-hari berikutnya di rumah anda.
6. Disiplin Anak-anak Melayan Atuk Neneknya
- Sehari sebelum ibu ayah mertua datang, eloklah diberikan taklimat kepada anak-anak terutama sekali yang sudah mengerti dan memahami kerinduan orang tua kepada cucunya.
- Beri mereka latihan menyambut datuk nenek mereka di pintu, bila makan bersama datuk nenek dan semasa bermain dengan datuk nenek.
- Latih anak-anak itu agar tidak “MENGARAH” Atuk dan Opahnya itu ini mengikut kehendak mereka. Tingkah laku cucu mereka ini juga boleh memberikan persepsi dan jawapan kepada objektif kedua mereka datang bertandang ke rumah anda.
7. Ibu Ayah Mertua pulang
- Sediakan buah tangan untuk mereka bawa pulang.
- Jika anda “terlebih duit” hulurkan ala kadar kepada mereka berdua sebagai belanja tambang pulang ke kampung.
- Ungkapkan berulangkali, “Nanti datang lagi ya”.
- Semua turun melambai-lambai hingga mereka hilang daripada pandangan.
- Berdoalah berdua kepada Allah agar layanan anda itu mendapat pahala dan keredhaan Allah dan doakan agar Allah mengasihi mereka berdua kerana telah menjaga anda berdua dari kecil lagi.
Selamat mencuba..
Credit: Pak Utih
Tip Melayan Ibubapa / Mertua Yang Bertandang Ke Rumah
Tip Melayan Ibubapa / Mertua Yang Bertandang Ke Rumah
No Comment to " Tip Melayan Ibubapa / Mertua Yang Bertandang Ke Rumah "