3 Sebab Mengapa Ayah & Ibu Perlu Mengawal Penggunaan Telefon Pintar Dihadapan Anak-Anak
3 Sebab Mengapa Ayah & Ibu Perlu Mengawal Penggunaan Telefon Pintar Dihadapan Anak-Anak
“Ayah, kenapa ayah suka tengok telefon?” Tanya Khadijah pada saya satu hari.
“Allah, astaghfirullahaladzim” saya hanya mampu beristighfar di dalam hati. Apa yang telah aku lakukan selama ini hingga anak sendiri sudah nampak betapa obsesnya saya terhadap skrin telefon.
Saya tidak mempunyai jawapan terhadap soalan tersebut. Hanya mampu tersenyum dan mengangkat kedua-dua bahu.
Soalan Khadijah hari ini benar-benar satu ‘wake up call’ kepada diri sendiri.
Sejak hari itu, saya cuba mengawal penggunaan telefon di hadapan anak-anak.
Bagi yang mempunyai anak-anak yang masih kecil, terlalu banyak melihat skrin telefon pintar bukan sahaja akan memudaratkan diri, tapi akan merosakkan hubungan dengan anak-anak. Berikut adalah sebab mengapa setiap ayah dan ibu WAJIB menyimpan telefon pintar dan memberi sepenuh tumpuan kepada anak-anak ketika bersama dengan mereka:
1. Penggunaan telefon pintar oleh ibu bapa secara berlebihan di hadapan anak-anak akan menyebabkan mereka merasa mereka kurang penting.
Seorang penyelidik bernama Steiner-Adair telah menjalankan satu kajian terhadap 1000 orang kanak-kanak yang berusia antara 4-18 tahun. Kajian ini adalah berkenaan dengan pandangan mereka terhadap penggunaan telefon pintar oleh ibu bapa mereka. Hasil dari kajian tersebut, Steiner-Adair menyatakan bahawa penggunaan telefon pintar secara berlebihan oleh ibu bapa ketika bersama dengan anak-anak akan memberi mesej kepada anak-anak bahawa ibu bapa tidak berminat dengan mereka. Antara perkataan yang sering keluar dari mulut anak-anak ketika memberi pendapat terhadap penggunaan telefon pintar oleh ibu bapa mereka adalah "marah, sedih, sunyi, bosan dan telefon bodoh." Sesetengah anak-anak sanggup melemparkan telefon ayah dan ibu mereka dengan sengaja ke dinding, malahan ada yang mencampakkannya ke dalam lubang tandas!
2. Anak-anak akan sentiasa meragam.
Menurut Dr Jenny Radesky, seorang penyelidik dalam bidang pembangunan kanak-kanak, penggunaan telefon pintar oleh ibu bapa di hadapan anak-anak berpotensi untuk menyebabkan anak-anak sentiasa meragam untuk meminta perhatian. Dalam sebuah tinjauan yang dilakukan oleh beliau, didapati bahawa anak-anak yang ibu bapanya terlalu asyik menggunakan telefon pintar sentiasa meragam berbanding ibu bapa yang banyak berinteraksi dengan anak-anaknya secara 'face to face'.
3. Perkembangan sosial anak-anak akan terbantut.
Anak-anak belajar dari ibu bapa bagaimana untuk berinteraksi dengan orang lain. Mereka belajar melalui mimik muka, melalui bagaimana ibu bapa mereka berbual-bual dan melalui bahasa yang digunakan oleh ibu bapa mereka ketika bersosial. Jika perkara ini tidak berlaku kerana ibu bapa sering melekat di skrin, anak-anak tidak ada 'role model' dalam mempelajari kaedah untuk berinteraksi secara fizikal, sekaligus merencatkan perkembangan dan mungkin akan menyebabkan mereka membesar menjadi seorang yang suka menyendiri.
3 sebab di atas adalah sebab mengapa ibu bapa perlu cuba sedaya upaya untuk tidak menggunakan telefon pintar ketika bersama dengan anak-anak. Bayangkan bagaimana perasaan anak-anak ketika mereka sedang bercerita dengan kita dengan penuh perasaan tentang perkara penting yang berlaku di sekolah, kita hanya mendengar acuh tak acuh sambil sibuk menjawab mesej dari Whatsapp dan Telegram.
Justeru itu, jangan marahkan anak-anak bila mereka membesar dan sering buat acuh tak acuh terhadap arahan ibu bapa, perkara ini telah dipelajarinya lama dulu dari ayah dan ibunya yang sentiasa meletakkannya no 2 di belakang telefon pintar.
3 Sebab Mengapa Ayah & Ibu Perlu Mengawal Penggunaan Telefon Pintar Dihadapan Anak-Anak
Sumber: Hisham Sharif
No Comment to " 3 Sebab Mengapa Ayah & Ibu Perlu Mengawal Penggunaan Telefon Pintar Dihadapan Anak-Anak "