6 Cara Pujuk Anak Makan Sayur
6 Cara Pujuk Anak Makan Sayur
Anak-anak dan sayur umpama minyak dengan air. Susah betul nak pastikan mereka makan sayur-sayuran yang baik untuk kesihatan dan tumbesaran. Tetapi anak-anak, apalah yang mereka faham kalau kita beri alasan 'tumbesaran' kepada mereka. Jadi kita sendiri perlu lebih kreatif untuk menjadikan sayur-sayuran seenak jajan yang mereka makan.
1. Masak bersama anak-anak. Beri anak anda peluang untuk melihat dan membantu anda memasak di dapur. Minta bantuannya 'mengoyak' kecil-kecil daun salad untuk dimakan segar atau beri peluang menghiris sayuran seperti lobak untuk membuat sup. Anak-anak akan merasa mereka mengambil beberapa bahagian dalam penyediaan menu, maka peluang untuk merasa adalah tinggi.
2. Berkebun bersama. Bercucuk tanam bersama-sama anak akan menjadi satu aktiviti yang sangat menarik. Anda akan mula perasaan minat anak yang semakin cenderung untuk menanam sayur-sayuran. Ambil kesempatan ini dengan menceritakan khasiat sayur-sayuran ini dan cara masakan sayuran yang menyedapkan.
3. Membeli-belah bersama. Ubah pemikiran bahawa membawa akan-anak ke pasar adalah perkara remeh. Anda perlu mengajak anak-anak untuk memberi mereka peluang memilih sayur apa yang mahu mereka rasa. Beri anak-anak minat untuk memilih dan membeli sendiri sayur-sayuran. Sekembalinya ke rumah, percayalah mereka akan teruja untuk makan hasil pilihan mereka.
4. Sedia hirisan buah dan sayuran atas pinggan. Ada hari-hari tertentu anak anda mahukan makanan ringan sekadar untuk menonton televisyen dan ketika lapar setelah balik sekolah atau sebelum tidur. Daripada memberi mereka makanan ringan yang kurang khasiat, anda perlu sediakan buah yang telah dipotong dan salad sayur yang dicampur dengan beberapa buah-buahan kegemarannya siap-siap di dalam peti ais.
5. Cipta resepi baru. Anda boleh mencipta resepi kegemarannya tetapi campur sedikit sayuran hijau ke dalam menu. Sebagai contoh, anda boleh meletakkan brokoli atau cendawan di nasi yang dibakar bersama sos berkrim dan keju. Selain itu, anda boleh memasukkan sayur sawi dan lobak merah yang dipotong halus ke dalam sup bebola ayam kegemaran anak anda.
6. Menu berwarna-warni. Anda boleh rangsang minat anak dengan menghasilkan minuman berunsurkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang pelbagai warna. Anda boleh menyembunyikan sayur-sayuran di sebalik jus buah-buahan dengan mencampurkannya dengan minuman kegemaran mereka seperti yogurt. Mana mungkin mereka sedar di dalam ada daun saderi mahupun lobak!
Jangan biarkan anak membuang atau mengasing sayur-sayuran di dalam menu mereka. Jika dibiarkan, sikap ini akan terbawa-bawa sehingga dewasa malah menu yang diambil kurang keseimbangan dari segi khasiat dan zat. Kita juga perlu menjadi ibu paling kreatif untuk tumbesaran anak-anak. Mungkin si suami juga berminat dengan resepi baru yang kita hasilkan!
No Comment to " 6 Cara Pujuk Anak Makan Sayur "