Tips Mengasingkan Anak Tidur Dari Bilik Ibu Bapa
Tips Mengasingkan Anak Tidur Dari Bilik Ibu Bapa
Memisahkan anak-anak tidur di bilik sendiri bukanlah perkara yang mudah, tetapi jika betul cara dan kaedahnya, Insya Allah urusan yang bisa memeningkan kepala ini akan berjaya ibu bapa laksanakan. Jika anda buntu, jom kita cuba tips-tips dibawah. Moga membantu dan bermanfaat!
Sepakat
Ibu dan bapa mestilah sepakat di dalam hal ini, setiap orang mesti menyampaikan mesej yang sama dengan kerap setiap hari. Berbual dengan anak tentang perkara ini setiap pagi selepas mandi, ketika makan, ketika pergi bersiar-siar, di dalam kereta, sebelum tidurkan anak-anak dan bila-bila sahaja yang dirasakan sesuai.
Ibu bapa boleh katakan kepada anak-anak :
“Seminggu lagi adik dah 3 tahun, adik dah besar, cantik dan berani, jadi adik kena tidur di bilik sendiri tau…”
“Mulai minggu depan, adik tidur di bilik adik tau, bilik ayah dan ibu ni bukan lagi bilik adik, nanti kita hiaskan bilik adik cantik-cantik ok? Adik nak cadar warna apa ye?”
Bila dia melakukan sesuatu secara berdikari seperti makan sendiri, katakan kepadanya:
“Wah! Nampaknya anak ibu dan ayah ni dah besar la… kalau adik tidur bilik sendiri lagi bagus! Bilik ibu dan ayah tak seronok, dah la tak cantik, tak ada mainan pula tu.. katil pun sempit kalau tidur tiga orang, malam ni adik tidur di bilik adik ye?”
Pendek kata, banyakkan ayat-ayat provokasi dan menanamkan keyakinan bahawa dia sudah cukup besar dan bersedia untuk tidur di biliknya sendiri.
Jangan sesekali salah seorang dari ibu atau bapa yang berkata dihadapan anak yang terlibat seperti : “Eh tak mengapalah dia tidur dengan kita, bukankah dia masih kecil?” Kata-kata ini akan menjadi modal untuk anak-anak untuk terus tidur barsama ibu bapa dan usaha untuk memisahkan anak dari tempat tidur ibu bapa akan menjadi sedikit sukar.
Hiaskan bilik tidur
Jadikan bilik tidur anak satu tempat yang sangat istimewa untuk si kecil. Pilihlah cadar mengikut warna kesukaannya, dan hiasan-hiasan yang sepatutnya mengikut kemampuan ibu bapa.
Pada pendapat saya, tidak perlu kepada hiasan yang mahal-mahal, cukup sekadar apa yang anak suka seperti ada teddy bear atau anak patung yang digemari. Di dalam hal ini, banyakkan berbual dengan anak apa yang dia suka dan cuba hias bilik anak bersama-sama.
Jika ingin membeli keperluan bilik tidur, ajaklah anak bersama untuk memilihnya, jadi ia akan menjadi ayat penguat kepada ibu bapa untuk memujuk mereka tidur di atas katil atau cadar yang dipilihnya. Mungkin boleh dilekatkan juga bintang dan bulan yang bercahaya di dalam gelap di bilik anak-anak. Jadi anak-anak akan rasa biliknya lebih hebat dari bilik ibu dan ayah. Pendek kata, gunakan kreativiti anda sebagai ibu bapa.
Membiasakan diri anak tidur di biliknya
Bila kita dapati anak mengantuk, terus bawa dia masuk ke biliknya. Jangan tidurkan anak di bilik ibu bapa kemudian baru diangkat ke bilik mereka. Ini akan melambatkan proses untuk dia merasa selesa untuk melelapkan mata di bilik mereka sendiri. Tidak kira siang atau malam, biasakan mereka tidur di bilik mereka sendiri.
Jika mereka menolak untuk masuk ke bilik mereka, gunakan taktik seperti memancing mereka dengan permainan dan sebagainya. Jika mereka tidak mahu juga, ibu bapa masuk sahaja ke bilik anak dan baringkan diri di atas katil mereka.
Jangan sesekali masuk ke bilik ibu bapa kerana rengekan atau tangisan anak, jika mereka menangis buat tak tahu sahaja. Bila mereka masuk ke bilik mereka, peluklah mereka dan ajak mereka tidur bersama di atas katil mereka yang selesa itu.
Apa yang penting, ibu bapa perlulah tegas dalam hal ini, jangan mengalah jika anak memujuk atau menangis tidak mahu tidur di bilik mereka. Ingatlah, mereka sedang menguji ketahanan diri anda!
Temankan anak-anak tidur
Aktiviti ini sangat membantu membina keyakinan anak-anak untuk tidur di bilik sendiri. Sebelum tidur, berbuallah dengan mereka tentang hari yang dilaluinya. Bacakan buku cerita, atau ceritakan kepada mereka cerita yang menarik, jangan pula bercerita cerita seram kepada anak-anak.
Sebaik-baiknya ceritakan kisah nabi atau kisah-kisah teladan. Mungkin juga ibu bapa boleh menceritakan cerita rekaan kepada mereka. Sebagai contoh kisah kucing yang berani tidur di bilik sendiri, kemudian kaitkan dengan diri mereka. Di dalam hal ini, ibu bapa mestilah kreatif! Walaupun cerita kita tu macam tak logik, tetapi anak-anak suka apa jua cerita yang dikisahkan oleh ibu bapa mereka.
Bacakan juga bersama mereka doa sebelum tidur dan surah-surah pendek seperti Al-Fatihah dan tiga Qul. Katakan kepadanya, walaupun ibu dan ayah tidak tidur bersama mereka, tetapi Allah dan malaikat ada untuk menjaga mereka.
Temankanlah mereka sehingga mereka terlelap. Setelah mereka terlelap, kucuplah dahi mereka dan katakan kepada mereka sekali lagi bahawa Allah dan Malaikat sentiasa menjaga mereka.
Jika anak menangis di tengah malam, apa perlu dilakukan
Pada hari-hari awal memisahkan anak-anak tidur dari bilik ibu bapa, saya pasti kebiasaannya anak-anak akan menangis di tengah malam kerana rasa takut. Anak-anak mungkin akan mengetuk bilik tidur kita. Jika ini berlaku, bawa anak semula ke bilik mereka dan tidurkan mereka semula di atas katil mereka. Jangan ajak mereka tidur bersama ibu bapa pula!
Jika setelah seminggu dan anak-anak masih lagi menangis malam, apabila ibu atau bapa mendengar anak menangis, biarkan sahaja mereka menangis dalam masa sepuluh minit, jika tidak berhenti menangis juga dalam masa itu, barulah ibu atau bapa pergi menjenguk mereka (panjangkan masa menunggu ini dari masa ke masa).
Ibu bapa tidak perlu terus pergi kepada anak-anak kerana perbuatan begitu akan mengajar anak bahawa jika menangis, ibu atau ayah akan datang kepada mereka.
Insya Allah jika ibu bapa konsisten, dalam masa seminggu atau dua, anak-anak tidak lagi menangis apabila tersedar di tengah malam. Mereka akan berputus asa untuk menangis lagi kerana ia tidak akan mendapat perhatian dari ibu bapa.
Di dalam soal ini, ibu bapa mestilah kuatkan hati, demi kebaikan anak-anak kadang-kadang ibu bapa perlu menunjukkan ketegasan mereka.
Fahamkan mereka kenapa dan kenapa
Jika anak sudah berumur 4 tahun ke atas, nyatakan sebab-sebab anak-anak tidak boleh lagi tidur sebilik dengan ibu bapa. Antara sebabnya ialah:
- Bilik ibu dan ayah adalah bilik peribadi ibu dan ayah, jadi ibu dan ayah ada aurat yang perlu dijaga.
- Ajaran agama menyuruh anak-anak meminta izin daripada ibu bapa jika ingin memasuki bilik tidur ibu bapa pada masa-masa tertentu seperti selepas subuh, sewaktu tengahhari dan selepas isyak. Jadi jika anak-anak masih tidur sebilik dengan ibu bapa adalah sangat sukar untuk kita mengajar anak-anak untuk meminta izin kerana mereka akan merasakan bahawa bilik ibu bapa adalah bilik dia juga.
- Anak sudah meningkat usia, jadi tidak manis jika masih tidur sebilik
Berilah pujian dan penghargaan
Berilah pujian atau penghargaan sekiranya anak berjaya tidur sendiri. Jangan tunggu lama, tetapi sebaik sahaja dia bangkit dari tidur atau ketika ibu atau ayah mengejutkan anak di pagi hari, peluklah dan ucapkan tahniah atas keberaniannya malam tadi. Katakan juga kepada anak bahawa anda sangat bangga dengan keberaniannya itu.
Pujilah dengan bersungguh-sungguh seolah-olah dia telah melakukan sesuatu yang amat membanggakan anda. Puji berulang kali, dan berikan galakan untuk dia tidur di biliknya lagi malam nanti.
Ibu bapa juga boleh memberi hadiah jika anak berjaya tidur di bilik mereka dalam beberapa malam contohnya selama seminggu. Ini akan menaikkan semangat mereka untuk terus tidur di bilik sendiri. Berilah pujian dan pernghargaan yang dirasakan sesuai dengan anak anda.
******
Cadangan-cadangan di atas Insya Allah akan berkesan jika ibu bapa konsisten melaksanakannya. Namun begitu, ia tidak sama jangka waktu antara anak-anak. Mungkin ada yang hanya mengambil masa seminggu, mungkin juga mengambil masa berbulan-bulan, apa yang penting ialah ibu bapa mestilah meletakkan peraturan di dalam rumahtangga dan anak-anak perlu mematuhinya.
Gunakanlah seluruh kebijaksanaan kita di dalam mendidik anak-anak dan mengasingkan anak-anak dari tempat tidur ibu bapa merupakan salah satu dari pendidikan seks di dalam Islam. Kita perlu memandang perkara ini sebagai satu perkara yang penting. (Untuk mengetahui dengan lanjut berkenaannya, nantikan artikel akan datang, Insya Allah)
Mudah-mudahan ibu bapa berjaya dan mohonlah kepada Allah agar dimudahkan dalam urusan ini. MOGA BERJAYA!
Wallahua’lam
tips yang sangat baik, terima kasih
BalasPadamTips yg sangat bagus tapi kalau bilik tak mencukupi..mcmana yer?
BalasPadamSedang cuba mempraktikkan pda anak2. Terima kasih atas perkongsian tips nie. ��
BalasPadamMenarik..nak cuba apply..tq ;)
BalasPadam