Terkini

Menu

Petua Bagi Menggalakkan Anak Membantu Kerja Rumah

Petua Bagi Menggalakkan Anak Membantu Kerja Rumah 


Salah satu cara mudah untuk membantu anak-anak berkembang menjadi prihatin, bertimbang rasa dan bertanggungjawab apabila mereka dewasa adalah dengan memberi mereka tugas melakukan kerja-kerja rumah. Melalui tugas itu juga mereka belajar tentang kemahiran-kemahiran hidup yang akan diguna pakai apabila mereka telah mula hidup sendiri dan jauh daripada kita seperti apabila mereka melanjutkan pelajaran ke luar negeri dan sebagainya.

Namun, sering juga kita berhadapan dengan kerenah anak-anak yang liat apabila diminta untuk membantu melakukan kerja-kerja di rumah. Ibu bapa perlu bertindak bijak untuk mengatasi kerenah ini. Menjadi sifat semula jadi manusia bahawa kita perlu berasa dikehendaki atau diperlukan dalam sesuatu kumpulan begitu juga anak-anak kita, mereka perlu berasa dikehendaki atau dipandang penting dalam keluarga. Anak-anak ingin tahu bahawa mereka menjadi sebahagian daripada ahli keluarga yang diperlukan untuk menjaga rumah supaya semuanya berjalan dengan lancar. Anak-anak yang dihargai di dalam rumah kerana membantu, mereka menjadi kurang cenderung untuk beralih kepada rakan-rakan untuk mendapat pengesahan dan semangat kekitaan.

Berikut ialah enam petua bagaimana menggalakkan anak-anak untuk membantu dan menjalankan tugas-tugas di rumah.


1. Permintaan yang khusus

Jika anak-anak sukar untuk bekerjasama, kita boleh cuba memberikan mereka tugas yang lebih konkrit atau mempunyai tempoh masa yang terhad.

Daripada : "Kemaskan ruang tamu."

Cubalah: "Setiap orang perlu ambil dan simpan 10 mainan yang berselerak di ruang tamu.”

Daripada : "Kemas kain baju yang berselerak di bilik kamu."

Cubalah: " Mama nampak macam ada 5 helai baju yang perlu kamu gantung di dalam almari.” 

Daripada : “Kutip kain baju yang perlu dicuci.”

Cubalah: “Mama perlukan bantuan kamu selama 15 minit untuk mengutip semua pakaian yang perlu dicuci daripada semua bilik. Sekarang pukul 7, dan pada pukul 7.15, kamu boleh bermain di luar. "



2. Ambil masa untuk melatih

Anak-anak masih kurang kemahiran. Mereka tidak dilahirkan dan secara automatik pandai menyapu lantai dan mencuci pinggan. Wajar kita menunjuk ajar mereka melakukan sesuatu dengan cara yang menyeronokkan. 

"Okay Ella, masa untuk belajar menyapu. Dah sedia? Jom kita cuba. Pertama, kita tarik kerusi-kerusi ni keluar dari bawah meja supaya kita boleh sapu di bawah meja dengan mudah. Kemudian kita ambil penyapu dan sapu seperti ini. Kita sapu hingga ke sudut itu. Nah, Ella cuba sapu…” 



3. Menggalakkan bukan membebel

Ini mungkin petua yang paling penting. Apabila anak belajar buat pertama kalinya bagaimana memecahkan telur dan separuh daripadanya jatuh ke lantai, elakkan daripada marah sebaliknya cuba memahami bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. 

Elakkan daripada mengkritik secara negatif sebaliknya berikan galakan supaya mereka tidak takut untuk mencuba lagi dan lagi sehingga mereka menjadi mahir.

“Kesilapan ketika belajar memasak memang tidak boleh dielakkan, tetapi melalui kesilapan itu kita belajar bagaimana untuk melakukan sesuatu perkara dengan betul sehingga kita menjadi mahir.”

Elakkan daripada merungut tentang telur pecah yang mengotorkan lantai, sebaliknya ajar mereka untuk membersihkannya.

“Ella tolong ambik span itu dan mari kita bersihkan lantai ini sama-sama "

Berikan mereka peluang untuk mencuba lagi

“Boleh mama bagi cadangan? Ella boleh letakkan talam besar ini di bawah mangkuk.. Kalau telur pecah sebelum sempat Ella masukkan ke dalam mangkuk, ia akan jatuh ke dalam talam tersebut. 



4. Menyanyi atau berlagu

Ini lebih sesuai untuk anak-anak yang masih kecil. Jika kita ada CD lagu kanak-kanak tentang aktiviti mengemas, mungkin kita boleh pasangkan supaya anak-anak akan lebih ceria dan seronok. Jika tidak ada, mungkin kita sendiri boleh mencipta lagu dan senikatanya dan nyanyikan bersama anak-anak sambil melakukan kerja. Ia akan menceriakan keadaan dan kerja-kerja rumah akan menjadi lebih seperti permainan yang menyeronokkan.

Menyanyi sambil melakukan kerja juga adalah cara yang baik untuk menggalakkan perkembangan bahasa dan menarik perhatian. Bukan itu sahaja, muzik meningkatkan mood ceria , mengurangkan ketegangan otot dan meningkatkan perasaan bersantai.



5. Tunjukkan Penghargaan

Bagaimana perasaan kita jika usaha keras kita dihargai? Kita akan berasa puas hati, gembira dan seronok. Anak-anak kita juga akan merasai perkara yang sama. 

“Mama benar-benar menghargai kerja yang Ella lakukan. Apabila semua orang melakukan tugas dan tanggung jawab masing-masing, tentu rumah kita berada dalam keadaan yang kemas dan selesa. Terima kasih Ella. "

Penghargaan bukan sahaja membina harga diri anak-anak kita, bahkan ia juga boleh menjadi model bagaimana untuk mengucapkan terima kasih, rasa bersyukur dan menghargai orang lain.



6 Jangan menjadi lembut hati dengan aduan/alasan dan pujukan.

Anak-anak sering akan mengeluh apabila diminta untuk melakukan kerja mereka. Mereka akan memberi macam-macam alasan untuk mengelak seperti letih, tidak sihat, banyak kerja sekolah dan sebagainya. Alasan yang diberikan perlu kita teliti samada ia benar atau sekadar alasan untuk melepaskan diri. Kita perlu ada garis panduan untuk kekal fokus kepada matlamat iaitu mengajar anak-anak kemahiran hidup dan menjadi seorang yang bertanggung jawab. 

Apabila anak berkata:

“Mengapa asyik Ella aje yang kena buat kerja? Adik relax aje..tak payah buat apa-apa”

Kita boleh menjawab :

" Dalam keluarga ini, kita saling membantu antara satu sama lain”

"Papa dan mama cuba sebaik mungkin untuk memberi setiap orang dalam keluarga ini apa yang mereka perlukan.”

"Kadang-kadang Ella kena buat kerja lebih , kadang-kadang adik. "

"Kerja-kerja yang ditugaskan kepada setiap orang adalah mengikut tahap umur dan keupayaan masing-masing. Kerja yang mama suruh Ella buat ialah kerja yang Ella mampu buat sedangkan adik tidak mampu kerana dia masih kecil.”


Mengajar anak-anak membuat kerja rumah boleh membantu mereka untuk menilai diri mereka sendiri dan keupayaan mereka untuk menyumbang kepada sesuatu yang lebih besar kepada diri mereka sendiri, keluarga dan masyarakat. Semuanya hendaklah bermula seawal yang mungkin, di peringkat mereka masih kecil.


Petua Bagi Menggalakkan Anak Membantu Kerja Rumah 

Share This:

Post Tags:

PENAFIAN

Segala penulisan dan testimoni berkenaan produk yang dikongsi di laman ini bukan bertujuan untuk mendiagnosis, merawat atau menyembuhkan apa jenis penyakit dan masalah kesihatan. Pembaca yang mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan terlebih dahulu


Sebahagian artikel adalah dari sumber luar yang dinyatakan punca sumbernya.

No Comment to " Petua Bagi Menggalakkan Anak Membantu Kerja Rumah "

  • To add an Emoticons Show Icons
  • To add code Use [pre]code here[/pre]
  • To add an Image Use [img]IMAGE-URL-HERE[/img]
  • To add Youtube video just paste a video link like http://www.youtube.com/watch?v=0x_gnfpL3RM