Tanda Ingin Bersalin, Apa Perlu Dilakukan?
Bila Perlu Ke Hospital?
Jika ini kehamilan pertama anda, anda mungkin merasa tidak pasti tentang bila anda perlu pergi ke hospital kerana tiada pengalaman. Jalan terbaik ialah datang saja ke hospital dan biarkan bidan menilai tahap ‘labour’ anda. Sekiranya anda masih di peringkat awal, anda akan dibenarkan pulang dan menunggu sehingga sakit menjadi lebih kuat.
Jika air ketuban anda sudah pecah, anda dinasihatkan pergi ke hospital seberapa segera tanpa berlengah lagi. Ketuban pecah sebelum sakit bermula cuma berlaku pada segelintir 15% wanita hamil sahaja.
Anda berada di tahap aktif ‘labour’ sekiranya kontraksi menjadi:
- Tetap
- Semakin kuat
- Satang setiap lima minit sekali
- Berterusan kira-kira 40 saat
Bagi mereka yang tinggal jauh dari hospital, anda mungkin perlu datang sebelum anda sampai ke peringkat ini.
Bagi mereka yang hamil anak kedua dan seterusnya, anda dinasihatkan datang ke hospital sebaik sahaja sakit bermula ia tempoh bersalin yang lebih cepat dari kandungan pertama.
Bawa semua bahan keperluan yang perlu di bawa sahaja seperti surat kemasukan ke wad, buku antenatal, kad pengenalan atau kad insuran jika ada. Elak dari membawa barang kemas, wang yang banyak atau sebarang barangan berharga yang lain.
Apa yang akan terjadi di bilik bersalin?
Wad bersalin berbeza-beza diantara satu sama lain, jadi berikut adalah panduan kepada apa yang mungkin berlaku semasa anda tiba di hospital.
Ketibaan
Selepas mendaftar, anda akan dibawa ke bilik bersalin di mana anda akan diberikan gaun hospital. Gaun ini longgar dan diperbuat dari kapas supaya anda selesa dan memudahkan penyusuan susu ibu sebaik bayi dilahirkan nanti. Seterusnya pemeriksaan fizikal akan dilakukan oleh bidan ini termasuklah:
- Mengambil bacaan nadi, suhu dan tekanan darah anda
- Merasa perut anda untuk memeriksa kedudukan bayi dan merekodkan bunyi jantung bayi anda
- Mungkin melakukan pemeriksaan vagina untuk mengetahui berapa besar serviks anda telah terbuka, supaya bidan boleh memberitahu sejauh mana peringkat bersalin anda.
- Pemeriksaan akan di buat setiap 2-4 jam sekali bergantung kepada tahap ‘labour’ anda. Sekiranya sakit sudah ketara anda boleh berbincang dengan bidan tentang pilihan yang ada untuk mengurangkan sakit bersalin seperti Epidural dan sebagainya.
Memantau Degup Jantung Bayi
Kadar degup jantung bayi akan di pantau sepanjang sakit bersalin. Bidan akan memerhati teliti sebarang perubahan jantung bayi yang ketara. Terdapat beberapa cara yang berbeza dalam memantau degupan bayi.
Dengan menggunakan alat yang di-panggil doppler, dimana degup jantung akan dikira setiap 15-30 minit. Selalunya di buat pada peringkat awal bersalin. Pada masa ini anda masih boleh bebas bergerak dan mungkin masih berada di wad biasa.
Dengan mengunakan mesin CTG (cardiotocograph) dimana degup jantung bayi anda dan kontraksi rahim di pantau secara elektronik melalui monitor. Dua alat sensor akan di lekatkan pada perut anda . Anda masih boleh bangun dan bergerak jika tetapi dengan terhad. Selalunya pada saat ini anda sudah dalam peringkat lewat bersalin dan pesakit lebih memilih untuk berbaring dikatil disebabkan kesakitan yang sudah ketara.
Pantauan mengunakan internal CTG. Jikan signal jantung bayi sukar di kesan, doktor akan mencadangkan satu klip diletakkan pada kepala bayi secara terus melalui vagina. Ia selalunya dilakukan pada kelahiran berisiko tinggi dan tidak dibuat secara rutin.
Jika tempoh masa bersalin menjadi lama
Terdapat keadaan dimana proses bersalin menjadi perlahan dan tidak sebagaimana yang dijangkakan.
Ini terjadi disebabkan oleh kontraksi yang lemah atau kedudukan kepala bayi yang tidak rapat pada ruang pelvis. Dalam kes sebegini, doktor mungkin akan mencadangkan:
Pecah ketuban iaitu prosedur yang dipanggil ARM (artificial rupture of membrane). ARM dibuat melalui vagina dimana satu alat plastik akan digunakan untuk memecahkan selaput ketuban. Ia satu prosedur yang ringkas dan tidak menyakitkan.
Jika ARM tidak masih juga tidak berkesan, doktor akan mencadangkan penggunaan ubat syntocinon yang dimasukkan ke dalam vena di lengan anda untuk menguatkan kontraksi rahim.
Semasa Meneran
Apabila serviks anda sudah terbuka sepenuhnya, anda dikatakan berada di peringkat ke 2 bersalin, dan anda pada saat ini secara semulajadi akan mengalami satu perasaan untuk meneran. Selalunya bidan atau doktor akan membantu dengan memberikan dorongan dan galakan supaya anda dapat meneran dengan betul.
- Ambil dua nafas dalam sebelum kontraksi bermula dan teran sebaik kontraksi bermula
- Ambil satu lagi nafas apabila anda perlu.
- Teran beberapa kali sehingga kontraksi berakhir.
- Selepas setiap kontraksi, rehat untuk mendapatkan tenaga sebelum kontraksi seterusnya
Peringkat ini memerlukan usaha yang keras dan mengambil masa lebih kurang 1 jam. Ia memerlukan kesabaran dan semangat yang kuat kerana masa inilah yang paling penting dan genting kerana anda sudah berada di penghujung kelahiran.
Pada Saat Terakhir
Jika ‘labour‘anda keadaan yang baik dan anda meneran dengan efektif, kepala bayi akan bergerak ke bawah vagina sehingga ubun ubun kepalanya akan dapat dilihat. Apabila kepala bayi sudah hampir hendak keluar, doktor akan meminta anda berhenti meneran dan menggalakkan anda untuk menarik beberapa nafas pendek dengan cepat dan meniup keluar melalui mulut anda.
Ini untuk membiarkan kepala bayi anda boleh dilahirkan secara perlahan-lahan secara lembut, seterusnya memberikan kulit dan otot perineum masa untuk meregang tanpa koyak.
Kulit perineum biasanya meregang dengan baik, tetapi ia juga senang koyak. Sekiranya anda berisiko untuk koyak dengan teruk, doktor mungkin akan membuat episiotomi supaya luka lebih rata dan senang dijahit. Episiotomi juga boleh mempercepatkan tempoh bersalin anda.
Apabila bayi anda sudah dilahirkan, penat lelah anda berakhir. Doktor atau bidan akan mengelap badan bayi dan memotong tali pusat, atau anda boleh meminta suami anda untuk memotong tali pusat bayi anda. Pada masa ini anda boleh meminta untuk mendapatkan ‘skin to skin contact’ dengan bayi jika mahu.
Bayi anda mungkin dilahirkan dengan bahan berwarna putih pada meliputi keseluruhan badannya, bahan berminyak ini dikenali sebagai vernix, yang memberikan perlindungan untuk bayi semasa di dalam rahim.
Rahim anda akan mengalami kecutan yang kuat untuk menolak keluar uri dari rahim. Anda juga akan diberikan suntikan sintosinon akan membantu mengurangkan pendarahan faraj selepas bersalin.
Anda boleh meminta untuk menyusukan bayi anda secepat mungkin kerana ia akan membantu penyusuan anda disamping menolong mengecutkan lagi rahim anda untuk mengurangkan risiko pendarahan. Bayi sepatutnya pandai menghisap dengan serta merta secara semula jadi.
Credit: portal.alamhamil.com
Tanda Ingin Bersalin, Apa Perlu Dilakukan?
No Comment to " Tanda Ingin Bersalin, Apa Perlu Dilakukan? "